Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, June 27, 2013

KM Melaka nafi arah tutup Jonker Walk





Kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan perniagaan di Jonker Walk di sini, ditutup bagi aktiviti penjualan pelbagai barangan cenderamata setiap hujung minggu.

Sebaliknya, Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, kerajaan negeri hanya membuat keputusan membuka semula jalan raya di sekitar Jonker Walk yang sebelum ini ditutup setiap Sabtu dan Ahad bermula dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

"Ada kekeliruan kerana kenyataan saya sebelum ini disalah tafsir, mesyuarat Exco sebelum ini tidak pernah mengarahkan operasi perniagaan di sepanjang jalan raya di Jonker Walk ditutup.

"Saya hanya mengarahkan jalan raya yang sebelum ini ditutup setiap Sabtu dan Ahad dibuka semula kepada lalu lintas bagi mengelak kesesakan di bandar raya Melaka," katanya kepada Utusan Malaysia yang disiarkan hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal yang memetik dakwaan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong bahawa penutupan Jonker Walk adalah 'pembalasan' kepada pengundi Cina yang menyokong pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kwong Wah Daily hari Isnin lalu pula memetik kenyataan Idris yang berkata, mesyuarat anggota Exco pada 12 Jun lalu memutuskan menutup pasar malam berkenaan demi memenuhi hasrat rakyat.

Mengulas lanjut, Idris berkata, keputusan membuka semula jalan raya yang ditutup itu kerana kerajaan negeri menerima banyak rungutan daripada pengguna berhubung kesesakan teruk di sekitar laluan masuk ke bandar raya Melaka berhampiran Jonker Walk setiap hujung minggu.

"Ada pengguna mendakwa untuk sampai ke bandar raya Melaka dari Plaza Tol Ayer Keroh memakan masa sehingga empat jam," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan membuka jalan raya yang sebelum ini ditutup di Jonker Walk sebagai percubaan melihat sejauh mana keberkesanannya dalam mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang serius di sekitar Bandar Hilir.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...