Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Wednesday, April 26, 2017

Tak Jadi Mansuh GST, Penyokong Pembangkang ‘Kena Main’ Lagi



PADA 2 April, 2016, ‘Himpunan Mansuh GST’ telah dianjurkan oleh pakatan pembangkang di ibu negara. Maka berduyun-duyun penyokong mereka turun untuk menyatakan sokongan terhadap ‘perjuangan’ yang digerakkan oleh pimpinan mereka itu. Di dalam ucapan pemimpin-pemimpin pembangkang ketika itu masing-masing mengeluarkan pelbagai bentuk hujah untuk menghasut penyokong mereka menolak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Penentangan puak pembangkang ini terhadap pelaksanaan GST sebenarnya bukan setakat itu sahaja. Bahkan sebelum ini siap dinyatakan kononnya sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengambil alih Putrajaya, ia akan menghapuskan GST.

Selain itu sekitar Januari tahun ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata bahawa pembangkang akan menghapuskan GST jika ia mengambil alih kawalan kerajaan Persekutuan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 2015 juga mencadangkan bahawa gabungan itu akan mencadangkan untuk memansuhkan GST dalam Bajet Alternatif untuk 2016.

Tun Dr Mahathir Mohamad pula pada majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) awal tahun ini juga telah mengisytiharkan bahawa jika pembangkang memenangi pilihan raya umum, GST akan dimansuhkan secara beransur-ansur dan digantikan dengan cukai jualan ‘mengikut kehendak rakyat’.

Tiba-tiba semalam lain pula ceritanya. Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengumumkan yang Pakatan Harapan tidak akan memansuhkan GST jika berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Nada ini jauh berbeza sama sekali dengan pandangan awal pakatan pembangkang berhubung GST ini. Jika sebelum ini bermati-matian mereka menolak GST sehingga sanggup menghasut penyokong mereka turun berdemo, tiba-tiba sekarang mereka kata akan teruskan pula pelaksanaan sistem cukai tersebut.

Selain itu, jika sebelum ini pelbagai alasan telah dikemukakan mereka bagi menolak GST, nampak gayanya dengan pengumuman terbaru oleh Nurul Izzah itu maka pakatan pembangkang kini ‘berhutang’ dengan para penyokong mereka. Pemimpin pembangkang sekarang ini perlu menjelaskan kepada penyokong mereka kenapa pula mereka hendak meneruskan pelaksanaan sistem cukai yang sebelum ini mereka dakwa sebagai membebankan rakyat. Adakah kerana pemimpin pembangkang sudah mula sedar akan kebaikan pelaksanaan GST? 

Satu perkara yang lebih penting untuk ditegaskan di sini adalah nampak gayanya penyokong pembangkang sudah ‘kena main’ sekali lagi dengan pemimpin yang mereka sanjung. Perkembangan semasa hanya menampilkan yang pimpinan pembangkang ini sebenarnya sangat tidak konsisten dengan perjuangan mereka selain cakap tak serupa bikin. Yang jadi mangsa diperbodohkan adalah para penyokong yang setia menjadi tunggangan. Disuruh turun berdemo, penyokong pun bermatian turun untuk berdemo. Tup tup, pimpinan buat u-turn.

Seharusnya para penyokong puak pembangkang ini bermuhasabah dan tanya pada diri sendiri sampai bila hendak biarkan diri untuk terus kena game dengan pemimpin pembangkang ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...