Sikap tidak berkompromi antara satu sama lain di antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 awal bulan depan mungkin akan memberikan impak negatif terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan) secara keseluruhannya yang turut membabitkan DAP di dalam usaha mereka untuk membentuk sebuah kerajaan persekutuan menggantikan Barisan Nasional (BN).
Seperti mana yang sedang hangat diperkatakan ketika ini, pertembungan sesama sendiri PAS dan PKR di satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihanraya nanti adalah sesuatu yang tidak masuk dek akal akan berlaku terhadap dua rakan sepakatan ini yang berkongsi cita-cita dan agenda yang sama iaitu menundukkan BN.
Bunga-bunga ke arah bertambah buruknya situasi ini sudah boleh dilihat sejak dari hari penamaan calon Sabtu lalu sebenarnya. Laman Facebook Calon PKR di kerusi DUN Sungai Acheh, Badrul Hisham Shaharin @ Chegu Bard, iaitu page N21 Sg Acheh mendakwa pemimpin muda ini telah dihalang dengan sengaja oleh pasukan Unit Amal PAS selain cuba dipukul dan anak serta isterinya telah ditolak. Ia dipercayai sebagai usaha untuk menghalang Chegu Bard daripada menghantar borang pencalonan di DUN tersebut.
Dan sejajar dengan itu, beliau menuntut agar pihak Chegu Bard dapat mengemukakan bukti di atas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap unit amal PAS dan pemuda parti itu yang amat dikesali beliau.
Ini baru cerita di Sungai Acheh. Barang diingat, pertindihan di antara mereka turut berlaku di enam kerusi yang lain yang mana di Terengganu sahaja, tiga DUN terlibat. Kerusi-kerusi yang terlibat adalah kerusi Parlimen Labuan, DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang), DUN Kota Damansara (Selangor), DUN Panti (Johor), DUN Bukit Besi (Terengganu), DUN Kota Putera (Terengganu) dan DUN Seberang Takir (Terengganu).
No comments:
Post a Comment