Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Monday, February 25, 2013

Senarai terkaya dan kejayaan Syed Mokhtar Albukhary





Johan Jaaffar

Syukurlah, sekurang-kurangnya daripada senarai 40 rakyat Malaysia yang terkaya, terdapat tujuh orang Melayu. Dalam senarai terbaru majalah Malaysian Business, tiga daripada mereka berketurunan India, tujuh orang Melayu dan 30 orang Cina. Majalah perniagaan yang dihormati terbitan Berita Publishing Sdn Bhd itu pertama kali terbit pada tahun 1972. Selama lebih 40 tahun Malaysian Business telah merakamkan denyut nadi dunia perniagaan tanah air dengan segala drama, suka duka dan jatuh bangunnya.

Menurut majalah itu, sejak senarai itu bermula pada tahun 2002, 81 ahli perniagaan telah disenaraikan tetapi hanya 15 orang yang bertahan dalam senarai itu sepanjang masa 12 tahun. Kedudukan kekayaan mereka bergantung pada pasaran saham dan ekonomi negara. Bagi senarai kali ini secara terkumpul 40 orang yang tersenarai itu bernilai RM194.8 bilion pada bulan Januari 2013, yang menampakkan peningkatan nilai kekayaan mereka.
Bagi keluaran kali ini, ahli perniagaan Malaysia yang bertapak di Hong Kong, Robert Kuok Hock Nien dari Kumpulan Kerry/Kuok berada dalam senarai teratas. Beliau dikatakan bernilai RM46.1 bilion. T. Ananda Krishnan (Usaha Tegas) berada di tempat kedua dengan nilai RM32.9 bilion. Tan Sri Teh Hong Piow (Public Bank) dan Tan Sri Quek Leng Chan (Kumpulan Hong Leong) masing-masing bernilai RM13.7 bilion dan RM11 bilion, berada pada tempat ketiga dan keempat.

Tidak mudah untuk menjadi kaya dan lebih sukar untuk mengekalkan kekayaan. Syed Mokhtar menjadi kebanggaan orang Melayu dengan dedikasi dan semangatnya. Beliau tidak akan bertahan di tempat kelima dalam senarai individu terkaya Malaysia sekiranya beliau mudah patah hati atau kecewa.

Tokoh perniagaan Melayu yang tidak asing lagi, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary merupakan orang Melayu terkaya, dan nombor lima dalam senarai itu dengan nilai RM10.6 bilion. Tan Sri Azman Hashim (AmBank Group) pada kedudukan nombor 11 dengan nilai RM3.8 bilion. Datuk Mokhzani Mahathir (Sapura/Kencana Petroleum ) di tempat ke-13 dengan RM2.6 bilion. Dua beradik dari Kumpulan Sapura, Datuk Shahril Shamsuddin dan Datuk Shahriman (kedua-duanya bernilai RM1.6 bilion tiap seorang) berada di tempat ke-19 dan 20. Dua orang ahli perniagaan Melayu lain yang tersenarai ialah Datuk Kamaruddin Meranum (AirAsia) di tempat ke-29 dan Datuk Abdul Hamid Sepawi (Ta Ann Holdings) di tangga ke-38.

Di kalangan orang Melayu yang tersenarai, Datuk Shahriman merupakan yang termuda (44 tahun) dan Azman (73) yang tertua. Di kalangan mereka hanya Kamaruddin yang mencatatkan penurunan kedudukan, daripada 22 ke 29 (RM1.4 bilion kepada RM1.3 bilion). Bagi kedua beradik dalam kumpulan Sapura, menampakkan peningkatan daripada 24 dan 25 kepada 19 dan 20. Syed Mokhtar, Azman dan Mokhzani kekal pada kedudukan yang sama seperti tahun lalu.

Kedudukan ekonomi dunia, setempat

Memanglah kekayaan rakyat Malaysia relatif kecil berbanding dengan individu lain di dunia. Malah mungkin seorang atau berdua rakyat kita yang tersenarai dalam 100 individu terkaya di dunia. Tiga orang yang terkaya di dunia hari ini menurut senarai majalah Forbes, Carlos Sim Helu (syarikat telekomunikasi), Bill Gates (Microsoft) dan Warren Buffet (Berkshire Hathaway) masing-masing bernilai RM234.6 bilion, RM207.4 bilion dan RM149.6 bilion.

Kedudukan ekonomi dunia dan setempat boleh menjejaskan prestasi mereka. Tidak semuanya boleh bertahan pada kedudukan yang sama sepanjang masa. Menurut majalah itu, T. Ananda Krishnan mencatatkan penurunan nilai yang tertinggi di kalangan mereka yang tersenarai, yakni sebanyak 23.5 peratus berbanding tahun lalu. Namun demikian beliau masih berada pada kedudukan nombor dua seperti tahun lalu.

Sudah tentulah ada pihak akan mempersoalkan kejayaan sesetengah orang Melayu dalam bidang perniagaan. Ada yang mengatakan mereka terhasil akibat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menguntungkan mereka atau kaitan politik yang kuat. Malang sekali, tuduhan yang sama jarang dilemparkan pada ahli perniagaan Cina, 30 orang dalam senarai itu.

Kebanggaan orang Melayu

Dunia perniagaan penuh dengan cerita suka duka. Bagi ahli perniagaan seperti Syed Mokhtar dan Azman, soal jatuh bangun bukan perkara baru. Syed Mokhtar yang terbabit dalam banyak bidang perniagaan selalu menarik perhatian banyak orang. Banyak orang lupa bagaimana beliau bermula. Buku Biografi Syed Mokhtar Albukhary yang ditulis oleh Premilla Mohanlall sepatutnya dijadikan rujukan oleh semua ahli perniagaan Melayu. Buku ini secara jujur menggariskan bagaimana beliau yang tidak berpelajaran tinggi mula berniaga secara kecil-kecilan di Kedah. Bukan rahsia lagi bahawa perniagaan pertama yang sebenar bagi Syed Mokhtar ialah jual beli lembu. Syed Mokhtar tidak disediakan dulang emas. Beliau bersakit-sakit bertahun-tahun, membina jati diri dan belajar daripada kesilapan untuk menjadi anak Melayu paling berjaya dalam dunia perniagaan hari ini.

Beliau tidak menafikan peranan yang dimainkan oleh DEB bagi memudahkan usaha beliau pada peringkat awal. Malah beliau mengakui menerima rahmat atau menjadi benefisiari dasar itu. Ribuan yang lain juga menikmatinya tetapi berapa banyaklah daripada kalangan ini yang benar-benar berjaya?

Cerita kejayaan Syed Mokhtar seharusnya diteladani oleh ahli perniagaan Melayu atau mereka yang ingin berniaga. Tidak mudah untuk menjadi kaya dan lebih sukar untuk mengekalkan kekayaan. Syed Mokhtar menjadi kebanggaan orang Melayu dengan dedikasi dan semangatnya. Beliau tidak akan bertahan di tempat kelima dalam senarai individu terkaya Malaysia sekiranya beliau mudah patah hati atau kecewa.

Itulah pengajaran terbaik daripada senarai Malaysian Business yang terbaru ini.


Dipetik daripada Berita Harian




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...