Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Wednesday, April 03, 2013

Parlimen Malaysia dibubar!!




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sebentar tadi mengumumkan pembubaran Parlimen Malaysia bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan.

Berucap secara langsung di saluran televisyen tempatan sebentar tadi, Najib berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen yang ke-12.

"Pada pagi ini saya telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan memohon perkenan untuk Parlimen Malaysia dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013.

"Sehubungan dengan itu baginda telah memperkenankan Parlimen ke-12 dibubarkan berkuatkuasa hari ini.

"Saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri untuk mengadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapat pekenan pembubaran dewan undangan negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak seluruh negara," kata Najib.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan mengadakan mesyuarat menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Pilihan raya umum ke-12 (PRU12) diadakan pada tahun 2008 dan Parlimen yang ke-12 akan genap lima tahun pada 30 April ini.

Pada PRU12, Barisan Nasional (BN) memenangi 140 kerusi untuk mengekalkan kuasa di peringkat persekutuan secara terus menerus sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pakatan Rakyat memenangi 82 kerusi.

BN juga menguasai dewan undangan negeri di semua negeri kecuali Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan. Perak kemudian jatuh ke tangan BN.


Sumber




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...