Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, May 28, 2015

Tahukah Pimpinan Pakatan Rakyat Apa Itu Toleransi?



Cerita mengenai kerapuhan kerjasama di kalangan parti-parti komponen Pakatan Rakyat (Pakatan) iaitu PAS, PKR dan DAP bukanlah satu cerita baru. Boleh dikatakan sejak dari hari pertama menjalinkan kerjasama lagi sudah kedengaran cerita-cerita yang berintipatikan soal tak puas hati di kalangan pimpinan dan ahli-ahli ketiga-tiga parti tersebut. Bahkan konflik antara mereka sekiranya anda masih ingat lagi, semakin menjadi-jadi ketika menjelangnya Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Walaupun cerita mengenainya bermati-matian dinafikan oleh para pimpinan Pakatan, namun hakikatnya semakin hari semacam makin kritikal kelihatannya hubungan mereka terutamanya di antara PAS dan juga DAP.

Jalan cerita episod terbaru drama konflik parti-parti ini antara lainnya berkisarkan mengenai ketidakpuasan hati DAP, parti yang majoriti keahliannya Cina, terhadap hasrat PAS, parti yang teras perjuangannya berlandaskan Islam, untuk menguatkuasakan undang-undang Hudud. Bukan isu baru sebenarnya. Rata-rata semua orang tahu akan pendirian DAP yang sudah lama menentang pelaksanaan Hudud tersebut yang ‘kebetulan’ adalah merupakan misi utama PAS.

Dan hakikatnya juga, setiap kali berlakunya perbalahan di antara kedua-dua parti ini, hampir kesemuanya berkisarkan kepada hal Hudud. 2015 ini, masih lagi isu yang sama juga menjadi perbalahan. Penulis tertanya-tanya juga apakah mungkin ia akan berlanjutan selama-lamanya memandangkan daripada gayanya, nampak semacam takkan berkesudahan.

Konflik dalaman di antara kedua-dua parti itu berhubung isu berkaitan agama itu turut diburukkan lagi dengan tindakan PKR pula yang mengumumkan pendiriannya untuk menolak cadangan bagi membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah yang dikemukakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Seterusnya adalah mengenai Kabinet Bayangan atau suka penulis rujuk sebagai ‘Kabinet Angan-angan’ Pakatan. Juga bukan cerita baru. Ingin penulis ungkit di sini mengenai kisah membabitkan Ustaz Hadi sekali lagi kali ini sekitar PRU-13 lalu memandangkan mungkin ramai yang dah lupa. Jika anda masih ingat lagi, Ustaz Hadi ketika itu ‘merajuk nak ke laut’ gara-gara khabar angin mengatakan DAP menerusi pemimpin veterannya, Lim Kit Siang, enggan terima sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri andai kata Pakatan berjaya pada PRU itu.

Berikut petikan kenyataan Ustaz Hadi berhubung perkara tersebut:

“Ada orang takut saya jadi Perdana Menteri, takpa saya tak ambil (jawatan) Perdana Menteri..ada orang takut sangat. Saya ke laut takpa..,” 24 April, 2013, Setiu.

Memang selama ini kebanyakan rakyat Malaysia sudah naik muak mendengar cerita tentang betapa tak sebulunya mereka ini sesama sendiri. Masing-masing main wayang tunjuk konon-kononnya betapa mesranya, akrabnya, sejatinya persahabatan yang terjalin antara mereka ini. Siap ada video ‘Mat dan Lim’ jika anda masih ingat lagi nak tunjukkan kononnya keakraban ‘adik abang’ dalam gagasan mereka itu.

Tapi sekali naik dengan publisiti yang cuba dipropagandakan adalah elemen ‘balun-membalun’ antara satu sama lain di kalangan mereka. Bahkan sindrom membalun itu dah ke tahap tak ‘cover line’ lagi, terang-terang!

Satu contoh adalah mengenai kenyataan Ustaz Hadi sedikit waktu dulu yang telah menggemparkan ‘seantero Malaya’. Selepas hari penamaan calon PRU-13 lalu yang menyaksikan PAS dengan slumber telah letak calon di kerusi-kerusi yang sepatutnya ditandingi oleh PKR, tanpa ada rasa bersalah sikit pun Ustaz Hadi dalam ceramahnya mendakwa tindakan tersebut sebagai untuk menyelamatkan Pakatan daripada anasir-anasir ‘SYAITAN’ yang ‘menjelma’ dalam bentuk ‘penjual parti’, ‘pengedar pil kuda’ dan juga ‘komunis’.

Selain itu, jangan lupa yang ketika penamaan calon itu juga, calon PKR di DUN Sungai Aceh, Chegu Bard, mendakwa wujudnya usaha untuk menghalang beliau dari menyerahkan borang pencalonan hingga ke peringkat mengkasari. Pihak yang cuba menghalang itu dakwa beliau adalah daripada Unit Amal PAS.

Ingin ditegaskan di sini, insiden-insiden yang dikemukakan dalam artikel ini hanyalah secebis kecil dari bertimbun-timbun ‘fail’ konflik yang wujud ataupun telah berlaku di dalam Pakatan. Justeru, semua yang boleh berfikiran rasional pastinya setuju sekiranya dikatakan krisis dalaman Pakatan ini bukan benda kecil sebaliknya semakin meruncing.

Sikap tidak mahu mengalah dan cuba menonjolkan yang parti masing-masing lebih dominan serta tiadanya toleransi yang ikhlas di antara ketiga-tiga parti tersebut bukanlah suatu perkara yang sihat selain tidak mencerminkan kredibiliti mereka untuk diangkat sebagai peneraju pentadbiran negara.

Dan hakikat yang mereka masih gagal untuk mendaftarkan kerjasama mereka secara rasmi juga secara tidak langsung membuktikan akan begitu rapuhnya pakatan mereka itu. Kegagalan menyelesaikan isu-isu yang sudah begitu lama berlarutan yang menyaksikan kita asyik dihidangkan dengan jalan cerita sama untuk sekian waktu, ibarat menonton Wrestling, dah naik hafal jalan ceritanya, juga wajar dijadikan sebagai kayu pengukur akan sejauh mana layaknya mereka-mereka itu diangkat memimpin negara.

Secara peribadi, penulis tak sanggup untuk merisikokan masa depan negara dengan mengangkat kumpulan yang ‘tak mampu’ dan ‘tak pandai’ sebagai peneraju negara. Tak pernah walau sekali pun penulis berjaya untuk membayangkan bagaimana parti-parti yang begitu ketara perbezaannya dari segi ideologi dan fahaman yang tidak selari terutamanya di antara PAS dan DAP, akan mampu untuk menterjemahkan satu pentadbiran kerajaan yang stabil dan dihormati di peringkat antarabangsa seperti yang telah dibuktikan oleh kerajaan yang diterajui Umno dengan berbelas-belas parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN).

Oleh: Aidil Syukri

Dipetik dari portal PostMetro.Net

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...