Rakyat Malaysia diseru supaya memanfaatkan fadhilat dan keberkatan bulan Ramadan ini untuk mendedikasikan diri beribadat kepada Allah swt seolah-olah ianya adalah Ramadan yang terakhir yang dilalui.
Seruan tersebut dibuat oleh pemimpin nombor satu negara, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam ucapannya pada Majlis Iftar Perdana Peringkat Negeri Selangor di Masjid Jamiur Ridhuan, Pekan Jeram, Kuala Selangor malam tadi.
Ketam telah berkesempatan untuk menyertai majlis tersebut yang boleh dikatakan menampilkan sedikit kelainan berbanding majlis-majlis yang dihadiri Perdana Menteri sebelum ini.
Pemerhatian Ketam mendapati majlis tersebut dianjurkan dalam suasana yang dapat dirasakan kesederhanaannya. Mungkin atas semangat Ramadan dan kesederhanaan yang dituntut Islam itu sendiri, namun harmoninya tetap dapat dirasakan.
Berbalik kepada seruan Perdana Menteri tadi, menegaskan fadhilat di bulan Ramadan itu begitu besar, rakyat tanpa mengira latar belakang politik mereka digesa agar sama-sama dapat mengimarahkan kehadiran Ramadan ini dengan meningkatkan ibadah mereka.
"Fadhilat dan keberkatan bulan Ramadan ini sangat-sangat besar..
"..oleh itu, marilah kita sama-sama sebagai umat Islam tidak kira dari mana kefahaman politik, sama-samalah kita mengimarahkan bulan Ramadan ini dengan melakukan ibadat-ibadat samada secara khusus ataupun ibadat secara amnya agar kita akan dapat memanfaatkan bulan Ramadan ini seolah-olah inilah bulan Ramadan yang terakhir yang kita dapat temui," ujar beliau.
Di dalam ucapannya itu, Najib turut memberikan jaminannya bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya yang diberikan semula mandat di peringkat persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini akan terus mempertahankan kesucian Islam daripada diperlekehkan.
Ini katanya termasuklah untuk mempertahankan dan memperjuangkan kedudukan kalimah Allah sebagai hak ekslusif bagi penganut agama Islam.
"Dengan mandat yang telah diberikan bagi kita menubuhkan kerajaan pimpinan Umno dan BN di peringkat Persekutuan meskipun kita tidak berjaya di peringkat negeri (Selangor), kita akan cuba mengurustadbirkan negara kita dengan sebaik-baiknya supaya pembangunan yang bersifat holistik dan menyeluruh seperti yang dituntut oleh agama Islam akan terus diperjuangkan oleh kerajaan Umno dan BN.
"Ini bererti bahawa meninggikan syiar Islam, menjaga akidah Islam, mempertahankan kesucian Islam, termasuk mempertahankan kalimah Allah akan terus diperjuangkan oleh kerajaan pimpinan Umno," tegasnya.
Kata-katanya itu dilihat berkait rapat dengan kontroversi kenyataan Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino yang secara terbuka menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan penganut agama Islam di negara ini.
Tindakan Marino itu telah mengakibatkan polemik mengenainya kembali hangat sehingga telah membangkitkan kemarahan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan Melayu di negara ini yang mendesak kerajaan supaya mengusir Marino sekiranya beliau tidak menarik semula kenyataannya itu.
Secara jujurnya Ketam pasti akan merasa puas hati sekiranya Marino benar-benar diusir keluar dari Malaysia. Namun melihat dari sudut realistik, Ketam sekadar berharap agar Najib benar-benar melaksanakan jaminannya itu dan bukan sekadar retorik semata-mata.
No comments:
Post a Comment