Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Sunday, June 23, 2013

Siapa Kata Mutu Perkhidmatan Teksi Negara Teruk?




Salah satu kemudahan infrastruktur yang memainkan peranan yang amat penting bagi mana-mana negara dalam dunia ini adalah sistem pengangkutan. Ia memainkan peranan yang amat penting bukan sahaja di dalam memudahkan pergerakan manusia dari satu tempat ke satu tempat, tetapi juga proses untuk membawa sesuatu barangan ke merata lokasi yang diingini.

Selain itu sistem pengangkutan juga berperanan mencorak penggunaan tanah dan paten pembangunan sesuatu negara itu. Tidak ketinggalan, sistem pengangkutan yang baik menghasilkan pertumbuhan ekonomi serta penjanaan pekerjaan dan menyokong dasar awam yang berkaitan dengan penggunaan tenaga, kualiti udara dan seterusnya pengeluaran karbon.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak terutamanya di beberapa negara maju, pelaburan dalam sistem pengangkutan memberi kesan signifikan kepada ekonomi sesuatu negara itu dari segi penyediaan pekerjaan, sistem penggajian dan pendapatan perniagaan.

Malaysia diakui di mata dunia sebagai salah satu negara yang sedang pesat membangun dan dilihat hampir memenuhi syarat untuk setanding dengan negara maju lain di dunia.Sistem pengangkutan awam di negara ini turut tidak ketinggalan daripada mengalami proses penambahbaikan sejajar dengan perkara tersebut.

Ramai yang tidak menyedarinya ataupun tidak mahu mengakui bahawasanya Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur pengangkutan yang baik setanding dengan apa yang terdapat dalam kebanyakan negara maju. Hal ini diakui banyak pihak terutamanya di kalangan pelancong-pelancong asing yang datang ke negara ini.

Dari segi pengangkutan darat, Malaysia mempunyai rangkaian lebuh raya dan jalan raya sepanjang lebih kurang 6,3000 kilometer yang baik dengan lebih kurang 2.6 peratus daripadanya adalah lebuh raya yang setanding dengan yang ada di negara maju lain.

Selain daripada rangkaian lebuhraya/jalanraya yang bertaraf antarabangsa, pengangkutan darat di negara ini terutamanya pengangkutan manusia dan barangan berat juga boleh dilakukan melalui rel yang menyambungkan beberapa bandar utama dari utara hingga pantai timur dan selatan Semenanjung.

Seperti yang boleh kita lihat dengan mata kita sendiri, kebanyakan bandar utama di seluruh negara juga dihubungkan melalui rangkaian udara yang baik oleh tiga syarikat penerbangan tempatan. Enam daripada lapangan terbang bertaraf antarabangsa negara pula menyediakan hubungan udara ke berbagai destinasi bandar raya utama dunia.

Semua ini sebenarnya mencerminkan betapa kerajaan sebenarnya begitu menitik beratkan soal penyediaan sistem pengangkutan yang berkesan dan cekap di negara ini.

Dan untuk menunjukkan lagi betapa seriusnya kerajaan di dalam isu ini, antara perkara utama yang terawal dilakukan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri adalah mewujudkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Lebih tepat lagi, SPAD selaku sebuah badan berkanun ditubuhkan secara rasminya pada 3 Jun 2010 di bawah akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Penubuhannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan sistem pengangkutan awam darat di negara ini dikawal selia dengan lebih teratur dan terancang.

Fungsi utama suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar ini adalah untuk merancang dan membuat polisi serta mengawalselia pengangkutan awam darat di negara ini seperti keretapi, bus dan teksi serta pengangkutan barang yang menggunakan jalan raya atau rel keretapi.

Untuk memastikannya dapat melaksanakan tugas dan objektif penubuhannya secara lebih efisyen dan efektif, SPAD telah diletakkan di bawah pengawasan Perdana Menteri sendiri.

Diakui penubuhan suruhanjaya ini di peringkat awalnya mendapat tentangan serta kritikan yang begitu hebat sekali terutamanya daripada pihak pembangkang yang melihat tiada kepentingan untuk ia diwujudkan.

Namun setelah genap tiga tahun ia ditubuhkan awal bulan ini, SPAD telah setidak-tidaknya berjaya menutup mulut-mulut separuh pengkritik-pengkritiknya yang selama ini tidak henti-henti membawa mulut menyebarkan maklumat yang salah mengenai sistem pengangkutan negara.

Sebagai contoh, berkat ketekunan dan kesabaran yang tinggi yang diterapkan pasukan suruhanjaya ini telah berjaya menyelesaikan masalah-masalah berbangkit yang selama ini menghantui pemandu-pemandu teksi. Ya, mungkin tidak seperti yang diharapkan tetapi setidak-tidaknya pemandu-pemandu teksi di negara ini tidak lagi merasakan diri mereka diabaikan dan tidak dipedulikan oleh kerajaan.

Lihat sahaja inisiatif yang diambil kerajaan susulan daripada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh suruhanjaya ini. Pemberian baucar tayar contohnya dan juga lesen individu..

Mulut-mulut puaka memang tidak akan berhenti daripada mencari benda yang negatif untuk diwar-warkan berbanding mengambil iktibar dari perkara-perkara baik yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan. Namun begitu orang kita sekarang ini tidak bodoh. Begitu juga kebanyakan pemandu-pemandu teksi di negara ini yang terang hati dapat melihat usaha bersungguh-sungguh kerajaan di dalam menaik taraf mutu perkhidmatan teksi di negara ini.

Kesannya dapat kita lihat dengan jelas..Serius..Lihat sahaja di mana-mana terminal ataupun 'port' pemandu-pemandu teksi ini terutamanya di Kuala Lumpur ataupun Lembah Klang lebih tepat lagi. Buta hatilah siapa yang tak dapat lihat atau merasakan disiplin pemandu-pemandu teksi ini di dalam menunggu giliran bagi mendapatkan penumpang. Tanpa ada rasa cemburu atau iri hati, mereka menunggu giliran dengan begitu sabar sekali dan boleh meremang bulu roma melihat betapa mereka saling bantu-membantu di antara satu sama lain dengan me'rekemen' rakan-rakan pemandu yang lain tanpa ada rasa hasad dengki.

Tahap profesionalisme yang ditonjolkan kumpulan pemandu teksi ini tidak terhenti sekadar di situ, lihat sahaja bagaimana petahnya mereka melayan penumpang-penumpang mereka. Sambil melayan, mereka dengan bangganya berkongsikan betapa bertuahnya mereka menjadi anak Malaysia yang dikurniakan kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyatnya.

Diakui tidak semua pemandu teksi yang begini. Masih terdapat laporan mengenai segelintir pemandu teksi yang tidak bertamadun, kurang ajar terhadap penumpang dan sebagainya. Tapi tidak keterlaluan jika dikatakan puak-puak ini adalah puak-puak yang kutuk pemberian baucar tayar teksi, tapi terhegeh-hegeh pergi tukar jugak tayar teksi mereka. Jujur..takda double standard..Tak percaya kata Ketam, anda boleh survey sendiri.

Satu lagi bukti, media sosial. Ramai sahabat-sahabat Ketam yang menerusi laman sosial masing-masing tidak kiralah samada Facebook mahupun Twitter mahupun Instagram, yang post gambar sikap biadap pemandu teksi yang memaparkan sticker 'Bersih', 'Suara Rakyat Suara Keramat' ataupun logo parti-parti pembangkang yang samada melanggar lampu isyarat, memandu secara melulu, menunjukkan isyarat lucah dan sebagainya.

Bak kata pepatah, 'kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga'. Dan tindakan segelintir 'pemandu haluan kiri' inilah yang sebenarnya menjadi punca mengapa industri perkhidmatan teksi di negara ini diberi tanggapan negatif. Mereka ini sebenarnya boleh diibaratkan sebagai 'pemandu teksi part-time' di mana kerja full time mereka ini sebenarnya adalah menyebarkan info salah mengenai kerajaan selain menimbulkan isu bagi pihak pemimpin-pemimpin mereka yang sama level kurang ajar seperti mereka. Mudah kata, jurucakap pemimpin-pemimpin tidak bermoral mereka.

Apa yang boleh kita harapkan adalah agar satu hari nanti akan terbuka hati puak-puak yang cuma segelintir ini untuk menerima dan mengakui akan segala inisiatif yang telah dijalankan oleh kerajaan melalui SPAD sejak kebelakangan ini untuk kebaikan mereka juga.

Apapun, secara jujurnya Ketam memang meremang bulu roma melihat disiplin dan kerjasama tolong-menolong kebanyakan pemandu-pemandu teksi ini. Syabas Ketam ucapkan!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...