Orang ramai diminta tidak cepat menyimpulkan pelancaran Kereta Mampu Milik Saga SV oleh Proton baru-baru ini sebagai tanda kegagalan kerajaan untuk menunaikan janji manifesto pilihan rayanya untuk menurunkan harga kereta sebanyak 20-30 peratus secara berperingkat.
Sambil menegaskan varian terbaru Proton itu sebagai tetap berkualiti, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hamim Samuri menjelaskan bahawa ia adalah salah satu langkah kerajaan untuk mendorong pengusaha-pengusaha automobil lain menawarkan kenderaan pada harga yang lebih mampu milik.
"Yang Proton tawarkan itu, tetap berkualiti tinggi..cuma, dia tidak mempunyai ciri-ciri sebagaimana kereta Proton yang model mahal..yang harga biasa.
"Dan yang disebut oleh orang ramai tentang manifesto, kita mesti ingat manifesto tersebut disebut ialah 20 - 30 peratus berperingkat dalam masa lima tahun.
"Kerajaan ada cara dia..dan ini adalah salah satu kaedah yang kerajaan buat untuk mendorong harga pasaran kenderaan.
"Maknanya bukan mendorong supaya menjadi mahal, tapi menjadi murah. Sebab kalau ada 'market force', mengarah kepada murah, dengan adanya satu faktor tersebut yang dibuat oleh Proton, sudah tentu kereta-kereta lain juga akan dipengaruhi oleh faktor tersebut," ujar beliau.
Hamim berkata demikian ketika diminta Antarapos untuk mengulas mengenai cakap-cakap di kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa janji untuk menurunkan harga kereta yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu hanya sekadar omong kosong.
Mengulas lanjut, Hamim yang juga merupakan ahli Parlimen Ledang turut menempelak pihak tertentu yang mudah mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan permit import (AP) sebagai langkah menurunkan harga kereta.
Menurut beliau, penghapusan AP semata-mata tidak menjamin kepada penurunan harga kereta.
Sebaliknya beliau menjelaskan bahawa penurunan harga kereta dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kawalan harga oleh pemain industri jualan kereta.
Kenyataannya itu dibuat berdasarkan dapatan kajian yang dijalankan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI) yang menyimpulkan bahawa harga kereta yang terlalu tinggi bukan disebabkan oleh eksais duti mahupun AP.
Justeru ujar beliau, walaupun kerajaan mengambil langkah menghapuskan AP yang jumlahnya cuma RM10,000, namun harga kenderaan akan tetap mahal berdasarkan kepada faktor kawalan tersebut.
"Daripada kajian yang dibuat oleh MAI, harga kereta ini bukannya mahal disebabkan oleh eksais duti, bukannya mahal disebabkan oleh AP.
"Faktor lain yang dikawal oleh industri ataupun oleh penjual ataupun oleh industri jualan kereta.
"Maknanya lebih kurang 30 peratus harga kenderaan tersebut adalah dalam kawalan penjual-penjual kereta.
"Katakanlah kerajaan mansuhkan AP, kerajaan buang AP, tetapi kalau kawalan harga dikawal oleh industri jualan kereta ini, harga tetap mahal," jelas beliau.
Justeru itulah tegas beliau kerajaan melalui Proton, menawarkan varian pada harga yang rendah.
"Jadi dengan Proton menurunkan harga, ini adalah salah satu 'market force' yang dibuat oleh kerajaan. Proton sebagai peneraju yang boleh mempengaruhi harga kereta lain," katanya.
Kerajaan juga katanya mempunyai beberapa kaedah lain di dalam usahanya untuk menurunkan harga kenderaan.
Namun ianya tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa dengan mengambil kira kesannya kepada individu-individu yang baru membeli kereta dengan harga yang lebih tinggi.
"Dan sebenarnya kerajaan ada lagi kaedah-kaedah seterusnya. Cuma tak bolehlah tergesa-gesa sebab kerajaan juga memikirkan sebab pemegang ataupun tuan punya kereta sedia ada yang baru beli, yang hutang bank dengan harga yang mahal sebelum ini dan sebagainya.
"Kerajaan memantau harga..tetapi kerajaan sedang buat satu pendekatan supaya harga kereta ini dipengaruhi oleh market force tadi," ujarnya lagi.
Proton baru-baru ini telah melancarkan Kereta Mampu Milik Saga SV Pada Harga RM33,438 sebagai menyahut seruan kerajaan untuk memperkenalkan kereta mampu milik kepada rakyat Malaysia.
Saga SV dikuasakan dengan enjin 1.3 litre CamPro IAFM dan disertakan dengan pengesan di bahagian belakang selain rim 13-inci.
Model terbaru yang dipertingkatkan dari segi keselamatan dan kualiti itu juga dijual pada harga RM33,438 hingga RM36,888, iaitu pengurangan harga sehingga 12 peratus berbanding model Saga sebelum ini.
Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum PRU13 yang lalu mengumumkan manifesto parti itu untuk mengurangkan harga kereta secara berperingkat dari 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun.
Sumber
No comments:
Post a Comment