Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, March 21, 2013

Lapan warga Filipina berdepan hukuman mati




Lapan warga Filipina yang berdepan dengan hukuman mati dan penjara seumur hidup atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas, hari ini didakwa di Mahkamah Tinggi di sini.

Semalam kelapan-lapan mereka didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan kes itu diperintah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau hari ini.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Hakim P.Ravinthran.
Mereka dikawal ketat sepanjang prosiding dan tujuh daripada mereka dipakaikan 'straight jacket' berwarna putih.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 66 tahun itu didakwa atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua menjadi ahli kumpulan pengganas, mereka didakwa di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dengan dibantu Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Mahkamah menetapkan 12 April untuk sebutan bagi mengetahui perkembangan perbincangan peguam negara untuk melantik peguam bagi tertuduh, sama ada dilantik oleh Majlis Peguam, kerajaan Filipina ataupun tertuduh sendiri.


Sumber




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...