Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, January 24, 2013

Menjelang PRU13: Sokongan Masyarakat Cina Terhadap BN Kritikal



Angin Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 semakin kencang dapat kita rasakan apabila saban hari sejak kebelakangan ini heboh di sana-sini pelbagai pihak memperkatakan tentangnya. Pelbagai spekulasi, ramalan, komentar dan juga diskusi yang disajikan kepada kita rakyat Malaysia yang seterusnya akan dijadikan sebagai rujukan untuk kita pertimbangkan sebelum memilih pihak yang dirasakan berpatutan diberikan mandat mentadbir negara kita yang tercinta ini.

Dan semalam berlokasi di Universiti Malaya (UM), Ketam telah berkesempatan pula untuk mengikuti presentasi kajian ahli akademik berhubung perihal ‘ibu segala pilihan raya’ ini. Presentasi oleh Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) ini mengupas mengenai ‘Isu dan Kecenderungan Pengundi Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13’.

Pelbagai perkara berkaitan pilihan raya yang rapat dengan pengundi telah dikupas dengan baik sekali. Antaranya adalah soal populariti seseorang pemimpin, dasar-dasar yang dikemukakan dan juga hubungan di antara sesama angkatan.

Dan dalam banyak-banyak perkara yang telah dikupaskan, Ketam terasa sedikit tertarik untuk mengulas mengenai pandangan pengundi Cina tentang isu-isu yang mereka rasakan boleh menjejaskan sokongan kepada Barisan Nasional dalam PRU13 nanti.

Kajian yang dijalankan terhadap 1409 orang responden pelbagai agama, budaya dan bangsa itu pada pendapat Ketam memperlihatkan betapa pengundi-pengundi Cina ketika ini mempunyai persepsi yang agak negatif terhadap BN yang telah memerintah negara ini sejak ia mencapai kemerdekaannya.

Ini kerana daripada lapan isu yang diajukan kepada responden Cina, kesemuanya mencatatkan peratusan yang tinggi, iaitu lebih daripada 50 peratus di mana sekaligus menunjukkan imej BN di mata kaum ini sebenarnya tidak begitu memberangsangkan.

Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa dilihat terus menghantui kepimpinan BN apabila 96 peratus kaum Cina percaya ia akan memberi kesan kepada parti itu pada PRU13 nanti.

Pandangan pengundi Cina berdasarkan isu-isu berkaitan BN yang diajukan:

a)    Penyalahgunaan institusi kerajaan bagi kepentingan parti
-    62 peratus
b)    Sudah terlalu lama memerintah Malaysia dan inginkan perubahan yang baru
-    70 peratus
c)    Kegagalan mengawal kenaikan harga barang
-    82 peratus
d)    Kelemahan dalam mengurus ekonomi negara sehingga berlakunya peningkatan hutang
-    89 peratus
e)    Kegagalan mengurangkan kadar jenayah daripada berleluasa
-    76 peratus
f)    Lynas
-    86 peratus
g)    NFC
-    67 peratus
h)    Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan pemimpin BN
-    96 peratus

Rujuk juga rajah di bawah -




Hal ini diperkukuhkan lagi apabila 61 peratus kaum Cina memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang paling layak menjadi Perdana Menteri selepas PRU13 dengan 50 peratus tidak setuju jawatan tersebut dipegang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berdasarkan kepada fakta ini, BN terutamanya MCA dan Gerakan yang merupakan parti dominasi kaum Cina perlu menggandakan lagi usaha mereka bagi memulihkan reputasi mereka di mata pengundi-pengundi Cina.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...