Siri kejadian-kejadian kemalangan jalanraya yang melibatkan kehilangan nyawa terutamanya yang membabitkan bas, jika hendak dihitung tak terkira jumlahnya. Banyak jiwa yang tidak bersalah telah menjadi mangsanya.
Rekod menunjukkan terdapat kejadian yang berlaku hanya diakibatkan oleh sedikit kealpaan sahaja.
Benar, malang tidak berbau..tapi tidak bermaksud kita boleh memandang ringan terhadap aspek-aspek yang boleh membawa kepada kecelakaan. Bukankah mencegah itu lebih afdal adanya..
Betapa mudah lupanya makhluk dari spesis manusia ini, sehinggakan memaksa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tampil memberi amaran kepada semua pengendali syarikat perkhidmatan bas dan lori supaya sentiasa memastikan para pemandu mereka mematuhi had laju yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Dan tahukah anda, sejak tahun 2010 sebenarnya bas persiaran dan bas ekspres telah diwajibkan untuk dilengkapi dengan Global Positioning System (GPS) sebagai salah satu perkara yang termaktub dalam syarat perlesenan.
Ia bertujuan untuk membolehkan para pengendali dan juga SPAD untuk memantau setiap perjalanan bas dari pelbagai aspek keselamatan termasuk di dalam mengesan pelanggaran had kelajuan.
Dan dalam soal pelanggaran had kelajuan ini sememangnya merupakan satu aspek yang begitu dititikberatkan oleh SPAD seperti yang ditegaskan oleh Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Memetik laporan media, aspek pematuhan kepada had kelajuan ujar Syed Hamid adalah merupakan salah satu agenda keselamatan yang paling kritikal dititikberatkan oleh badan tersebut.
Justeru ujar beliau, SPAD tidak akan lagi berkompromi di mana tindakan tegas ke atas pengendali dan pemandu akan dikuatkuasakan bagi setiap insiden pelanggaran had laju yang dapat dikesan.
SPAD juga katanya akan bekerjasama dengan lain–lain agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan JPJ di dalam mengesan dan menghukum mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan had laju yang melibatkan semua kategori bas dan kenderaan berat.
"Dalam hal ini, SPAD tidak akan teragak–agak untuk mengambil tindakan menggantung lesen pengendali di bawah seksyen 27, 45 atau 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, sekiranya kesalahan pelanggaraan had laju terbukti.
"Pekeliling mengenai perkara ini telah dikuatkuasakan pada 20 Ogos 2013 dan menjadikan pematuhan had kelajuan sebagai syarat wajib Lesen Pengendali," Syed Hamid dipetik sebagai berkata.
Dalam hal ini, Ketam mengambil pendirian untuk menyokong apa sahaja langkah yang diperkenalkan sebagai usaha untuk meminimumkan tragedi membabitkan bas.
Cumanya satu perkara yang Ketam kurang pasti adalah apakah wujud mana-mana peruntukan yang membenarkan penumpang untuk mengarahkan pemandu bas supaya memperlahankan pemanduan sekiranya didapati memandu melebihi had laju.
Berdasarkan pengalaman sendiri yang 'seriau' menaiki bas yang dipandu dengan laju, penumpang seolah-olah tiada hak untuk berbuat apa-apa dan hanya boleh berdoa/bertaubat menunggu apakah malaikat maut akan tiba mencabut nyawa mereka.
Sekurang-kurangnya jika ada peruntukan khas yang membenarkan mereka menegur/sound direct/selekeh/tubi pemandu bas yang degil itu, Ketam percaya sasaran untuk meminimumkan jumlah kejadian tidak diingini membabitkan bas akan berjaya dicapai dengan jayanya.
Dan sekiranya dah memang ada peruntukan yang seumpamanya, diharap pihak berwajib dapat jalankan kempen kesedaran terhadap para pengguna perkhidmatan ini yang jelas majoritinya bukan mereka yang berada dalam kelas 'orang senang' ataupun bangsawan.
Adios!!
No comments:
Post a Comment