Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, May 28, 2015

Kerajaan Perpaduan Sekadar ‘Mimpi’, Empat Sebab PAS Semakin Hilang Kepercayaan



Cerita mengenai ura-ura kononnya PAS dan Umno bakal bergabung telah berkali-kali menjadi topik perbincangan di kalangan khalayak politik di negara ini. Macam musim buah-buahan, cerita ‘perpaduan’ dua parti majoriti Melayu dan Islam ini juga seolah-olah macam ada musim.

Terkini, cerita perpaduan PAS dan Umno ini disurutkan sekali dengan surutnya banjir yang melanda di beberapa negeri di pantai timur baru-baru ini. Perpaduan yang dicanang-canang ceritanya itu berlalu ‘musim’ nya dengan sekadar kerjasama menangani bencana banjir, itupun hanya sekadar di negeri Kelantan sahaja. Seolah-olahnya PAS itu tidak wujud dan tiada ahlinya di negeri-negeri lain yang turut ditimpa musibah yang sama.

Memikirkan perihal ini membuatkan penulis sebenarnya tertanya-tanya apakah para pimpinan PAS ini sebenarnya faham ataupun tidak pengertian ‘perpaduan’ dan ‘permuafakatan’? Ataupun ustaz-ustaz dan ulama-ulama hebat parti Islam ini sekadar pandai mengenai maksud perkataan-perkataan tersebut tetapi tidak dari segi penghayatannya. Dari apa yang penulis nampak, PAS ini lebih tertarik kepada ‘berpakatan’, walaupun umat Islam umumnya mengetahui yang berpakat atau berbisik ini amalan syaitan.

Seperkara lagi yang menjadi persoalan penulis adalah apakah cerdik pandai di dalam PAS itu pernah belajar mengenai ‘toleransi’? Rasanya antara salah satu konsep asas yang agak penting dalam ajaran Islam adalah untuk bertoleransi tidak sesama Islam semata-mata, sebaliknya kepada bukan Islam juga. Tapi nampak gayanya PAS ini semacam tidak berapa seimbang pertimbangan mereka. Apakah yang menjadi agenda PAS sebenarnya?

Nak kata tak tetap pendirian, layak juga sebenarnya kita kata pemimpin-pemimpin PAS ini sebagai tak tetap pendirian. Atau perkataan lainnya, ‘istiqamah’. Ada masa nampak macam garang sangat dengan rakan kerjasamanya dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) terutamanya DAP. Tapi dalam sekejap sahaja mereka ‘swing’ semula jadi lembut menikus menuruti kehendak parti popular kaum Cina itu. Macam ‘laki-bini’ bergaduh pun ada kalau tengok pemimpin dua-dua parti ini bertelagah. Balik kepada hal istiqamah itu, kalau tak silap penulis sesiapa yang tak tetap pendirian/istiqamah itu termasuk dalam golongan munafik. Kalau tak silap penulislah, kalau silap mohon diperbetulkan.

Dan setahu penulis juga, kriteria yang perlu ada bagi seseorang pemimpin adalah bersikap tegas dan tetap pendirian. Beristiqamah dalam setiap keputusan yang diambil tanpa mengambil pusing kritikan-kritikan yang dilontarkan. Justeru penulis agak terkeliru memikirkan di manakah rasionalnya untuk mewajarkan PAS layak diangkat memimpin negara apabila selalu sangat ‘menurut bontot’ DAP.

Bandingkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai pentadbiran kerajaan persekutuan dan juga Barisan Nasional (BN), biarpun diasak dari pelbagai arah termasuk ahli keluarganya yang turut menjadi mangsa fitnah-fitnah liar dan jahat, beliau tetap beristiqamah dengan kerja-kerja memberikan perkhidmatan yang sehabis baik buat rakyat Malaysia yang telah memberikan mandat serta kepercayaan kepadanya. Kualiti yang diperlukan bagi seorang pemimpin yang berdedikasi dan berkaliber.

Berbalik kepada soal PAS semula, penulis suka untuk merujuk kenyataan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin sedikit waktu dahulu mengenai empat sebab yang menjadi punca kepada kegagalan PAS di dalam mendapatkan kepercayaan majoriti rakyat.

Pertama menurut beliau adalah kesanggupan PAS untuk lebih bersekongkol dengan DAP. Menurutnya, walaupun perkara-perkara serta keputusan-keputusan yang dilakukan didapati bertentangan dengan Islam selain turut mendapat tentangan dari kalangan ahlinya sendiri, pemimpin PAS tetap tidak mahu mengubahnya kerana percaya kononnya ia direstui majoriti umat Islam di negara ini.

Kedua seperti yang dinyatakan Dr Abdullah adalah kegagalan PAS menyelesaikan ataupun merungkaikan pertikaian ramai mengenai kewujudan “Amanat Haji Hadi” yang walaupun telah lapuk, tetapi kesannya masih menyebabkan masyarakat Islam berpecah sehingga kini.

Ketiga, elemen Khawarij yang masih diamalkan dalam PAS yang mudah menyalahkan orang lain tanpa memandang secara positif akan sesuatu isu atau perkara.

Keempat menurut bekas ahli Parlimen Besut itu adalah keengganan PAS bersatu dengan Umno yang dituduh tidak Islamik sebaliknya memilih DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menjadi tanda tanya masyarakat Islam berhubung pendirian parti itu.

Sedikit tambahan, jika diimbas kembali kepada tindakan memecat beberapa tokoh agama dalam PAS yang dibuat tanpa soal selidik dan keadilan yang sewajarnya oleh parti yang berpegang teguh kepada ajaran Islam ini, kononnya, juga seharusnya telah membuka mata bukan sahaja umat Islam, sebaliknya seluruh lapisan masyarakat akan sifat sebenar para pimpinannya.

Oleh: Aidil Syukri

Dipetik daripada portal PostMetro.Net

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...