Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Insiden menghina amalan agama Islam membabitkan Alvin Tan dan Vivian Lee masih jauh dari berakhir. Malah kemungkinan ia semakin marak jika tiada tindakan jangka panjang diambil.
Langkah paling utama dalam kes seumpama ini haruslah diambil oleh kerajaan. Namun beban yang lebih besar terletak di bahu pemimpin-pemimpin pelbagai agama. Ini kerana isu agama lazimnya berkait rapat dengan soal emosi. Hanya pendidikan luhur menurut ajaran masing-masing boleh mengawalnya.
Hakikat ini mesti diinsafi kerana penganut setiap agama meyakini falsafah dan ajaran agama mereka adalah yang paling baik dan benar. Lantas jika pemimpin setiap agama tidak mengambil berat isu ini, adalah mudah untuk menyemarakkan api kecurigaan dan kebencian di kalangan agama di negara ini.
Harus diinsafi juga bahawa bukan perkara baru bagi pihak-pihak tertentu untuk menggunakan sentimen agama demi mencapai pelbagai cita-cita mereka. Paling lazim ia dilakukan oleh pihak atau entiti politik.
Maka bersenjatakan sentimen agama dapat disaksikan bahawa bukan sukar untuk mengadu-domba sesama manusia; tidak kira seagama atau pelbagai agama.
Tindakan tegas daripada kerajaan
Lantas kerajaan perlu tegas menangani kecenderungan memainkan sentimen agama ini. Setiap insiden mesti diteliti dengan adil menurut lunas undang-undang. Lebih penting lagi, setiap peraturan dan undang-undang harus dikaji semula supaya ia benar-benar mematuhi neraca keadilan agama sejagat.
Sebenarnya bagi umat Islam perkara ini bukanlah sesuatu yang sukar ditangani. Ini kerana Allah telah menetapkan garis sempadan bagi mengelak umat terjebak dalam penjara emosi ketika berinteraksi sesama sendiri mahupun dengan manusia sejagat.
“Wahai orang-orang yang beriman jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa sesuatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan) yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” (Al Hujurat ayat 6).
Sentimen agama paling mudah menjadi sumbu api perpecahan. Sebaiknya, dalam menangani dan menguruskan soal sentimen agama setiap sumber maklumat wajib diteliti. Perkara ini kerap diabaikan oleh umat Islam hari ini hingga mudah merebak menjadi pertikaian maut dan berdarah.
Namun dalam kes hubungan kaum dan antara agama, peringatan Allah adalah lebih jelas lagi. Sebelum menyusun langkah untuk bertindak balas terhadap sebarang provokasi terhadap kesucian agama Islam setiap mukmin diingatkan:
“Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.” (Al An’aam ayat 108).
Tiada penganut suka Tuhan mereka dihina
Bagi setiap mukmin ini bukan sekadar bahan renungan; ia adalah perintah. Mesejnya ialah jangan sekali-kali cuba menghina kepercayaan dan apatah lagi sistem ketuhanan penganut agama lain. Sampai mati pun penganut agama bukan Islam akan meyakini agama mereka adalah yang terbaik dan sempurna.
Tidak boleh sama sekali umat Islam menghina tuhan-tuhan yang diimani oleh bukan Islam. Allah Maha Bijaksana. Jika mahu diturutkan emosi apa yang perlu dikhuatiri oleh Allah jika ada umat Islam menghina tuhan lain? Bukankah itu satu hakikat?
Namun Allah Maha Pencipta tahu betapa pendeknya akal manusia. Lantaran nafsu dan ego mereka enggan menerima hakikat. Seperti yang dinyatakan Allah: “Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka”
Natijahnya tiada seorang penganut agama apa jua yang rela Tuhan mereka dicaci maki. Perasaan dendam dan dorongan kebencian akan bersarang dalam jiwa mereka jika ada yang menghina tuhan mereka. Paling tidak, mereka akan membalas penghinaan, cacian dan maki hamun terhadap Allah (jika yang memaki itu orang Islam).
No comments:
Post a Comment