Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Saturday, April 20, 2013

Menjelang Penamaan Calon PRU13 - Imbasan nama ‘Otai-otai’ yang Pencen atau ‘dipencenkan’ Parti Masing-masing




Sebentar sahaja lagi, akan secara rasminya ‘peperangan’ di kalangan parti-parti politik di negara ini akan bermula. 20 April 2013, hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan berlangsung pada 5 Mei depan. Hari ini adalah harinya yang mana baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, bakal menampilkan barisan terkuat mereka untuk menghadapi ‘ibu segala pilihanraya’, PRU13.

Pastinya Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang serta barisan kepimpinan masing-masing telah bersedia dengan strategi ampuh bagi mengukuhkan kedudukan mereka di dalam arena politik negara.

Setelah negara dikejutkan dengan ‘tsunami’ politik pada tahun 2008 yang menyaksikan BN kehilangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat yang tradisinya mudah dicapai mereka sejak pilihanraya yang pertama lagi, landskap politik negara telah mengalami perubahan yang begitu signifikan.

Najib yang menerajui BN dengan dasar-dasar transformasinya bakal berhadapan dengan tugas getir pada pilihanraya kali ini iaitu untuk bukan setakat mengekalkan kedudukan parti itu sebagai pemerintah, tetapi juga melonjakkan semula imej BN yang teruk tercalar pada 2008 dengan mencatatkan kemenangan majoriti 2/3 di Parlimen.

Sementara di pihak Pakatan pula, cabaran yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim juga tidak kurang hebatnya. Setelah mencatatkan keputusan membanggakan pada 2008, beliau dilihat bergelut untuk mengekalkan momentum Pakatan itu yang dicapai melalui gagasan kerjasama di antara partinya, PKR dengan DAP dan PAS. Selain itu, beliau juga dilihat bergelut di dalam meyakinkan rakyat di negara ini berhubung dengan kerjasama di kalangan parti-parti komponen Pakatan yang dilihat rapuh terutama sekali di antara DAP dan PAS.

Dan bagi memastikan sasaran mereka itu berjaya dicapai, pastinya ia tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Justeru di dalam menyediakan sebuah pasukan yang kuat, pastinya akan ada nama-nama yang tercicir samada kerana prestasi yang kurang memberangsangkan ketika diberi peluang memikul amanah, ataupun secara sukarela memberi laluan kepada muka baru untuk diketengahkan.

Bersempena dengan penamaan calon hari ini, berikut adalah antara nama-nama besar parti masing-masing yang tidak akan menyertai peperangan ‘epik’ ini samada secara sukarela berundur ataupun digugurkan daripada senarai calon.


United Malays National Organization (UMNO)

Sebaik sahaja senarai penuh BN dikemukakan, tidak dinafikan antara yang paling diberikan perhatian adalah mengenai kedudukan Parlimen Jelebu yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Rais Yatim tidak tersenarai mempertahan kerusi tersebut. Dan perkara ini dengan segera dijadikan modal serangan oleh Pakatan di dalam ceramah mereka memandangkan Rais beberapa hari sebelumnya, sedikit lantang mengkritik tindakan pembangkang itu yang telah menolak tawaran untuk menyiarkan manifesto mereka di televisyen.

Selain Rais, Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil turut digugurkan. Namun begitu pengguguran beliau ini sudah dijangka berdasarkan kontroversi yang melandanya sepanjang penggal ke-12 yang lalu selain kekalahan beliau di kerusi Parlimen Lembah Pantai kepada anak sulung Anwar, Nurul Izzah. Turut digugurkan adalah bekas guru, Datuk Wira Abu Seman. Penyandang Timbalan Menteri Dalam Negeri ini bakal digantikan oleh muka baru di Parlimen Masjid Tanah iaitu Mas Emieyati Samsuddin.

Sementara itu dua orang pemimpin veteran yang dianggap ‘lelaki dan wanita besi’ Umno iaitu Tan Sri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Rafidah Aziz pula masing-masing mengundurkan diri secara sukarela bagi memberi ruang kepada muka baru.

Datuk Seri Rais Yatim – Penyandang Menteri Komunikasi
Datuk Seri Shahrizat Jalil – Ketua Wanita Umno Malaysia
Datuk Wira Abu Seman Yusop – Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri
Tan Sri Rafidah Aziz – Bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar
Tan Sri Syed Hamid Albar – Bekas Menteri Dalam Negeri


Malaysia Chinese Association (MCA)
dan Gerakan

PRU13 ini juga agak menarik apabila Presiden MCA dan juga Gerakan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon masing-masing menarik diri daripada menjadi calon. Selain memberi ruang kepada calon yang lebih ‘winnable’ diketengahkan BN, masing-masing menegaskan tumpuan mereka adalah kepada berusaha ke arah mengembalikan kegemilangan parti itu di mana tidak semestinya ia hanya boleh dicapai dengan menjadi calon semata-mata.

Selain Soi Lek, dua orang Naib Presidennya juga telah tidak tersenarai iaitu Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang memberi laluan kepada muka baru dan juga Senator Gan Ping Sieu yang digugurkan. Namun begitu, keputusan untuk tidak membariskan bekas Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan dilihat kebanyakan pihak sebagai kurang bijak. Namun begitu, Soi Lek yang diketahui umum bermusuh dengan Tee Keat pasti mempunyai alasan yang kukuh di sebalik keputusan tersebut.


MCA
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek – Presiden MCA
Datuk Seri Dr Ng Yen Yen - Naib Presiden MCA
Datuk Seri Ong Tee Keat – Bekas Presiden MCA
Senator Gan Ping Sieu – Naib Presiden MCA

Gerakan
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon – Presiden Gerakan


Parti Keadilan Rakyat (PKR)


Di kalangan Pakatan juga tidak kurang hangatnya. Yang paling mengejutkan pastinya keputusan pimpinan PKR yang ‘menghalang’ Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Ismail daripada bertanding walaupun isteri Anwar Ibrahim itu secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menjadi calon. Tindakan ini juga hadir di saat parti itu melaung-laungkan perjuangan membela hak kaum wanita di negara ini yang kurang diberikan perhatian.

Selain Wan Azizah, beberapa pemimpin lain yang turut digugurkan dari senarai calon parti itu adalah bekas Ahli Parlimen Kelana Jaya, Low Gwo Bourne, Bekas Exco Negeri Kedah, Lim Soo Nee, Bekas ADUN Bukit Selambau, Datuk S. Manikumar, Bekas ADUN Sidam, Tan Chow Kang dan yang paling mengejutkan sekali ialah bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

PKR
Datuk Seri Wan Azizah Ismail – Presiden PKR
Yusmadi Yusoff – Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau
Loh Gwo Bourne – Bekas Ahli Parlimen Kelana Jaya
Lim Soo Nee – Bekas Exco Negeri Kedah
Datuk S. Manikumar – Bekas ADUN Bukit Selambau
Tan Chow Kang – Bekas ADUN Sidam


Democratic Action Party (DAP)


Parti majoriti masyarakat Cina ini juga terpaksa mengharungi beberapa siri ‘drama’ menjelang PRU13 ini. Kedudukan CEC nya yang tidak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah menimbulkan spekulasi kononnya calon-calon mereka pada pilihanraya nanti akan tampil menggunakan logo PAS.

Dan sekiranya ia menjadi realiti, pastinya ia adalah satu kerugian buat bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu yang tidak akan mempertahankan kerusi DUN Pandamaran yang disandangnya. Ini berikutan pengguguran nama beliau selaku calon berdasarkan kontroversi yang tidak surut menyelubunginya sepanjang penggal ke-12 yang lalu. Antaranya adalah kematian Teoh Beng Hock di Plaza Masalam.

Selain Ronnie, beberapa nama lain turut digugurkan oleh pimpinan DAP di mana terdapat di kalangan mereka itu yang tidak menerima pengguguran tersebut. Antaranya adalah Bekas ADUN Teratai, Jenice Lee dan Bekas ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan. Selain itu, Bekas ADUN Kota Darul Aman, Lee Guan Aik turut digugurkan. DAP juga ketika ini dilihat menerima tekanan di peringkat akar umbi yang tidak bersetuju dengan pilihan pimpinan parti berhubung calon yang dikemukakan di kawasan mereka.

DAP
Ronnie Liu – Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor
Jenice Lee – Bekas ADUN Teratai
M. Manoharan – Bekas ADUN Kota Alam Shah
Lee Guan Aik – Bekas ADUN Kota Darul Aman


Parti Islam Semalaysia (PAS)

Penyebaran video seks individu mirip rupanya tatkala PRU13 semakin hampir dilihat telah memberikan kesan kepada pencalonan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali. Walaupun beliau memberikan alasan untuk memberi laluan kepada muka baru, tetapi banyak pihak berpendapat ia mempunyai kaitan dengan penyebaran video berkenaan.

Selain itu, seorang lagi pimpinan PAS yang tidak akan dicalonkan ialah Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Harun Taib. Kedua-dua pemimpin ini sebelum ini tampil dalam pilihanraya di negeri Terengganu. Menariknya lagi, selain mereka berdua terdapat juga nama-nama lain pimpinan dari negeri tersebut yang turut tidak akan dicalonkan iaitu Datuk Abu Bakar Chik, AJK PAS Pusat, Datuk Wan Mutalib Embong,  Timbalan Ketua J/Kuasa Disiplin PAS Pusat dan Haji Yahaya Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu.

Dan seperti yang dijangkakan, dua orang bekas Timbalan Presiden parti itu yang menimbulkan kontroversi sejak kebelakangan ini, Datuk Dr Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa, masing-masing digantikan dengan calon muka baru bagi mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang mereka sebelum ini.


PAS

Datuk Mustafa Ali  - Setiausaha Agung PAS
Datuk Harun Taib - Ketua Dewan Ulama PAS Pusat
Datuk Abu Bakar Chik - AJK PAS Pusat
Datuk Wan Mutalib Embong - Timbalan Ketua J/Kuasa Disiplin PAS Pusat
Haji Yahaya Ali - Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu
Datuk Dr Hassan Ali – Bekas Timbalan Presiden PAS
Nasharuddin Mat Isa – Bekas Timbalan Presiden PAS






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...