Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Tuesday, June 18, 2013

Cadangan dedah identiti: Blogger berbelah bahagi




 
Pengamal media sosial menampilkan pelbagai reaksi berhubung cadangan kerajaan untuk mewujudkan peraturan kawalan kendiri yang menyaksikan setiap pengendali blog dan laman portal antara lain perlu mendedahkan identiti sebenar mereka.

Cadangan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 minggu lalu bertujuan untuk mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih serta berunsur fitnah daripada berleluasa di negara ini.

Pengendali laman 'Minaq Jinggo Fotopages' yang hanya mahu dikenali sebagai Bani mengalu-alukan cadangan itu sambil menegaskan tiada apa yang perlu ditakuti oleh seseorang blogger yang bertanggungjawab di dalam mendedahkan identitinya.

Dihubungi Antarapos, beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai satu cadangan yang baik selain secara tidak langsung dapat meningkatkan kredibiliti sesebuah blog itu.

"Mengenai cadangan Perdana Menteri untuk memperkenalkan sistem supaya blogger dikenali itu saya amat alu-alukan kerana blogger yang bertanggungjawab, tidak ada apa yang harus mereka takutkan.

"Ianya cadangan yang baik..Jadi apa saja yang kita baca (sama ada) dalam Twitter, dalam blog, kita boleh terima dengan kadar keyakinan yang sewajarnya," ujar beliau.

Mengenai risiko ancaman terhadap keselamatan seseorang pengendali laman blogger itu sekiranya identiti mereka terdedah, beliau menasihatkan para blogger supaya sentiasa berwaspada ataupun 'pandai membawa diri' sambil menegaskan bahawa risiko sentiasa ada di mana-mana walaupun seseorang itu tidak bergelar blogger.

"Blogger ini masing-masing kena pandai bawa dirilah..macam profesion yang lain juga..atau jika anda anggap ia bisnes, anggap sahaja ia macam bisnes.

"Risiko sentiasa ada di mana-mana tak kira apa juga yang ingin kita lakukan," katanya.

Turut selari dengan pendapat tersebut ialah SM Amin yang menggunakan nama pena 'Megat Terawis' ketika berblog.

Berpendapat cadangan tersebut mempunyai kebaikan dan keburukannya, namun beliau melihat tiada masalah sekiranya ia dilaksanakan.

Menurut beliau, hanya blogger yang tidak yakin dengan apa yang ditulis atau selalu membuat fitnah sahaja yang tidak akan bersetuju untuk mendedahkan identiti mereka.

"Dari segi yang baiknya, jika kita kenal siapa orang (yang menulis) itu, cerita itu lebih berkredibiliti maklumatnya.

"Orang yang tak dedahkan diri ini, kebanyakannya kita tak tahu siapa dia ini.

"Mungkin benda yang tak ada tapi diada-adakan, mungkin dia pakai satu nama tapi dia ada banyak blog. Kalau yang ada nama ini biasanya satu sahaja... memang dia buat apa yang dia rasa, apa yang dia nak buat, apa yang dia perjuangkan.

"Kalau dia yakin apa yang dia tulis itu benar, apa masalah untuk dia dedahkan diri?

"Kalau dia tak yakin, selalu buat fitnah, itulah punca tak nak dedahkan diri sebab dia tahu apa yang dibuat itu salah," katanya kepada Antarapos.

Namun beliau akui faktor keselamatan turut menjadi kerisauan serta pertimbangan dikalangan bloggers untuk sama ada mendedahkan identiti mereka kepada umum atau tidak.

"Kalau dari segi negatifnya, kalau dedah identiti blogger ini takut musuh banyak.

"Dari segi keselamatan diri itu bahaya jugalah untuk dia dan keluarga..agak merisaukanlah," tambah beliau.

Bagi pengendali blog Malay Delima pula, walaupun cadangan tersebut dialu-alukan namun beliau masih belum bersedia untuk mendedahkan identitinya kepada umum buat masa ini.

Menurut beliau, cadangan kerajaan itu dilihat berupaya untuk mengawal penyebaran fitnah yang berleluasa terutamanya dikalangan blogger-blogger pembangkang.

Beliau turut menasihatkan para pengendali blog ataupun akaun-akaun Twitter dan Facebook supaya lebih berhati-hati di dalam mengkritik dan sentiasa memastikan tidak berlakunya salah faham dikalangan pembaca.

"Ada baiknya untuk kerajaan jugalah untuk menjaga tak nak bagi orang mengkritik terlampau lebih ataupun menyebarkan fitnah macam yang blogger-blogger Pakatan lakukan..ada baiknya juga.

"Kena berhati-hatilah kalau nak mengeluarkan sesuatu artikel dan untuk membuatkan orang faham setiap artikel itu. Tapi tak payahlah terlampau keras sangat artikel itu," katanya.

Namun begitu pengendali laman blog Gelombang Wangsa Maju yang hanya mahu dikenali dengan nama pena 'Melayu Atas Pagar' secara dasarnya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Ini kerana beliau berpendapat pelaksanaan cadangan itu sebenarnya secara tidak langsung bakal menyekat kebebasan para blogger di dalam mengemukakan pendapat mereka.

Kebanyakan negara luar juga katanya tidak mengaplikasikan perkara tersebut selain menyatakan kebebasan blogger akan tersekat dengan terdedahnya identiti mereka.

"Secara dasarnya memang saya tak berapa setujulah apa yang telah dicadangkan oleh Perdana Menteri.

"Kerana blogger di luar negara pun tidak pernah pun diarahkan untuk didaftarkan. Beberapa negara sahaja... jadi kita tak perlulah nak ikut apa yang mereka buat.

"Secara tak langsung, tujuannya untuk mengawal pengendali laman blog. Ataupun dengan bahasa yang agak kasar, untuk pulas tangan blogger.

"Dengan daftar (atau) dengan mendedahkan identiti itu sudah cukup untuk tidak memberi kebebasanlah... maksudnya blogger tidak boleh memberi kebebasan pandangan," katanya.

Pendapatnya itu disokong oleh pengamal media sosial, Helme Hanafi.

Beliau yang aktif di Twitter dengan nama @ayathelme berpendapat tiada keperluan untuk para blogger untuk mendedahkan identiti mereka sebaliknya penguatkuasa atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu mempunyai satu mekanisme untuk mengenali para blogger yang ada di negara ini.

Selain itu beliau turut membangkitkan mekanisme pelaksanaan cadangan tersebut sama ada melibatkan setiap orang yang mempunyai blog ataupun terdapat kriteria-kriteria tertentu yang menyebabkan seseorang blogger itu perlu mendedahkan identiti mereka.

"Mendedahkan identiti itu melalui macam mana? Apa kaedahnya?

"Bagaimana, apa mekanismenya, apa kriterianya yang menentukan orang ini (perlu) dedah (identiti) atau tidak? Apakah semua orang kena dedahkan?

"Yang lebih mustahak pada kerajaan adalah untuk mengidentifikasi individu-individu ini, bukan individu-individu ini dedahkan diri dia.

"Penguatkuasa undang-undang atau agensi-agensi kerajaan mesti berupaya untuk mengenali individu-individu ini. Bukan semestinya individu-individu ini kena mendedahkan diri," ujar beliau yang juga merupakan wartawan di portal berita Agenda Daily.

Selain itu, kerajaan juga perlu memberitahu apakah tindakan yang bakal diambil dalam berhadapan dengan blogger-blogger yang tidak mahu mendedahkan identiti mereka.

Ini kerana katanya beliau yakin akan ada sesetengah blogger yang akan berdegil dan berkeras untuk terus merahsiakan siapa mereka yang sebenarnya.

"Saya tiada masalah, saya boleh dedahkan..tapi kalau yang tak mahu dedah macam mana?

"Ada orang yang tak mahu dedah sebab mungkin dia buat kegiatan yang anti kerajaan ataupun dia buat kegiatan yang menyebabkan dia terdedah kepada tindakan undang-undang, jadi dia tak mahu.

"Pokoknya kerajaan mesti ada mekanisme untuk mengetahui siapa yang buat ini dan undang-undang untuk dikenakan terhadap orang yang melanggar peraturan ini.

"Akan tetap ada orang yang tidak akan dedahkan identiti dia..

"Untuk orang yang tak nak ni macam mana? Untuk orang yang sukarela, boleh... tapi untuk orang yang tak nak ni macam mana?" tegas beliau.


Dipetik Dari Portal Berita Antarapos



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...