Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Tuesday, June 18, 2013

Pakatan pembangkang wajar cari ketua baru?




Oleh Abu Hassan Adam

[ULASAN] ADAKAH Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah semakin luntur pengaruhnya dalam Pakatan Rakyat? Sejak akhir-akhir ini beberapa inisiatif politik beliau nampaknya semacam kurang mendapat perhatian kerabat pembangkang.

Contoh pertama ialah isu pelantikan pegawai seranta politik daripada partinya untuk menjalin hubungan politik lebih intim di antara kerajaan negeri dengan parti. Inisiatif ini diumumkan Anwar dalam kongres PKR dua bulan lalu.

Untuk menunjukkan betapa penting, perlu dan seriusnya beliau menangani isu komunikasi di antara kerajaan negeri Selangor dengan PKR, Anwar menamakan Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution sebagai calon jawatan berkenaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan senang hati menerima arahan itu. Beliau berjanji pada kongres berkenaan bahawa arahan itu akan dilaksanakan segera. Malangnya, hingga kini belum ada pelantikan dibuat. 

Tindakan tegas Khalid cuba matikan isu pelantikan pegawai seranta politik MB 

Lantas seperti lumrah politik, kelewatan ini segera menjadi isu. Rimas dengan pelbagai ungkitan dan persoalan berhubung isu ini, Khalid membuat kenyataan tegas bahawasanya isu itu adalah hak kerajaan negeri menentukan.

Ketegasan itu bagi mematikan segala usaha untuk menjadikan perkara itu isu politik tidak terkawal. Lantas beliau memilih cuba membezakan soal kuasa dan hak kerajaan negeri milik rakyat dengan hak parti milik ahli parti. 

Maka terkelu seketika ahli-ahli parti PKR yang cuba mempertikaikan wibawanya mengurus negeri Selangor. Terselit pada kenyataannya itu ialah isyarat bahawa beliau tidak gemar parti (PKR) mencampuri soal urusan kerajaan negeri.

Saifuddin dedah Khalid belum keluarkan surat rasmi berhubung pelantikan beliau  

Ketegasan itu juga dilapik dengan kenyataan bahawa beliau akan menemui Saifuddin Nasution Ismail bagi membincangkan ruanglingkup tugas-tugasnya kelak minggu ini.

Bagaimanapun tiada banyak perkembangan berlaku dalam isu ini. Perbincangan Khalid-Saifuddin tidak berlaku dan tiada surat pelantikan dikeluarkan. Mungkin proses ini diganggu oleh tuntutan rasmi DAP dan PAS mahu jawatan yang sama diberikan kepada calon mereka – Teresa Kok dan Dr Dzulkefly Ahmad. 

Tuntutan rasmi PAS dan DAP bayangkan rasa hormat terhadap Anwar semakin menipis 

Tindakan PAS dan DAP ini agak memeranjatkan Anwar. Mungkin pada Anwar pelantikan jawatan pegawai seranta politik itu dibuat untuk menyelesaikan isu dalam PKR sahaja. Bagaimanapun, tuntutan rasmi ini membayangkan bahawa rasa hormat DAP dan PAS terhadap Anwar semakin menipis.

Atau, adakah ini juga mencerminkan bahawa DAP dan PAS kini mula menyedari bahawa Anwar bukanlah seorang pemimpin berwawasan yang mereka sangka selama ini? Visi apa namanya jika dalam soal menguruskan sebuah kerajaan negeripun Anwar nampaknya kurang peka akan sensiviti politik kerabat pembangkang?

Dengan menuntut hak yang sama dalam jawatan pegawai seranta politik di Selangor cukup untuk membayangkan bahawa PAS dan DAP curiga akan niat politik Anwar dan PKR.

Lebih menguja ialah persoalan jika demikian sikap ketiga-tiga parti pembangkang, bagaimanakah agaknya gelagat mereka jika diberi peluang untuk memerintah negara? 

Tiada keikhlasan dalam Pakatan 

Yang pasti debat, pertikaian dan cemburu politik untuk menubuhkan kabinet dan juga jawatan-jawatan strategik dalam perkhidmatan awam, dan syarikat-syarikat kaitan kerajaan (GLC) akan berlarutan. Yang jelas tiada keikhlasan dalam pakatan ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...