Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubahnya sendiri. Firman Allah dalam surah Ar-Raad ayat 21 ini jelas menyarankan peri pentingnya kita sendiri berusaha di dalam mengubah nasib kita.
Konteks berusaha sendiri ini maksudnya ialah kita harus mengubah keadaan hidup kita dengan tidak boleh untuk terus bergantung harap atau mengharapkan orang lain, harus berani menongkah arus.
Menongkah arus pula bukanlah bererti kita boleh melakukan apa sahaja demi untuk mendapatkan apa yang kita ingini. Matlamat tidak menghalalkan cara, kata orang.
Posting kali ini Ketam ingin mengulas mengenai satu gejala yang ibaratnya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Malar hijau sepanjang masa umpama penyakit yang masih tidak ditemui vaksin untuk menyembuhkannya. Masalah pemandu teksi yang masih degil tidak menggunakan meter.

Ketam percaya, majoriti rakyat Malaysia mempunyai pengalaman sendiri ditipu pemandu teksi yang meletakkan harga sewenang-wenangnya walaupun untuk perjalanan yang singkat. Alasan yang diberikan juga cukup tidak masuk akal seperti jalan sesak. Kalau kita rakyat Malaysia sendiri jadi mangsa penyangak macam ni, apatah lagi pelancong asing.
Diakui, bukan semua pemandu teksi yang bersikap tidak bertanggungjawab ini. Hanya segelintir sahaja. Tapi, bak kata pepatah, 'hanya nila setitik, rosak susu sebelanga'. Tindakan puak tidak bertanggungjawab yang segelintir inilah yang mengakibatkan imej perkhidmatan teksi di negara ini dipandang negatif.

Impaknya khidmat yang baik jika diamalkan, bukan setakat akan memuaskan hati penumpang, imej perkhidmatan awam juga akan bertambah baik selain pemandu teksi itu sendiri akan menerima 'insentif' tersendiri..Ikhlas di dalam pekerjaan pastinya Allah akan memurahkan rezeki kita. Percayalah..
Tidak menyalahkan agensi yang bertanggungjawab memantau sektor ini, tapi selagi mana masih ada di kalangan pemandu teksi ini yang bersikap tidak bertanggungjawab, tamak dan ingin mengaut keuntungan lebih melalui cara yang salah ini, tak kira apa juga inisiatif yang dilaksanakan sekalipun tidak akan berjaya membawa imej perkhidmatan pengangkutan awam ke tahap yang lebih baik sampai bila-bila.
Amat sayang sekali apabila sikap sebegini masih lagi wujud di saat pelbagai usaha sudah, sedang dan bakal dilaksanakan SPAD di dalam meningkatkan mutu pengangkutan awam Malaysia. Dan sangatlah merugikan apabila pelbagai inisiatif-inisiatif tersebut terus hilang dari minda masyarakat hanya kerana segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Ibaratnya dalam seribu kebaikan dilakukan SPAD, apabila seorang pemandu teksi buat hal, habis semua kebaikan SPAD itu dilupakan dan ia akan ditibai habis-habisan terutamanya oleh pihak berkepentingan.
Dalam hal ini, Ketam percaya SPAD ada melakukan pemantauan dari masa ke semasa. Tapi harus diingat bahawa di negara ini terdapat hampir 80,000 pemandu teksi berdaftar di mana majoritinya beroperasi di Lembah Klang. Tentu sahaja SPAD tidak menang tangan di dalam memantau kesemuanya.

Kalau tak nak bantu pun, tapi ia adalah hak kita sebagai pengguna untuk menerima servis yang sepatutnya. Kalau ia boleh berlaku kepada kita, tak mustahil ia akan berlaku kepada orang lain pula. Justeru, gunakan hak kita dengan melaporkan perkara tersebut ke talian 1800-88-9600.
Pastikan butir maklumat seperti nama pemandu, nombor pendaftaran teksi, jenis teksi, warna, kesalahan yang dilakukan, kalau boleh ambil gambar dan segala maklumat yang dirasakan berguna bagi memudahkan kerja pendakwaan dilakukan di mahkamah.
Untuk rekod, Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali, untuk kesalahan tidak menggunakan meter.
Sama-samalah kita berusaha ke arah membendung gejala yang merosakkan imej negara ini.
Adios!!
*Geram membaca kisah sahabat mengenai Pemandu Teksi Samseng
Aku hari-hari guna meter malah free je kalau dekat sangat,itu pon tak ramai naik-nasib2!
ReplyDelete