Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menolak dakwaan sesetengah pihak yang melabel beliau sebagai 'diktator' dalam memimpin parti berkenaan.
Beliau mengulas kenyataan Timbalannya Datuk Seri Liow Tiong Lai, seperti tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan yang dilakukan olehnya yang melibatkan kepentingan dan perjalanan parti.
"Saya bukan diktator. Di dalam setiap hal parti yang penting, saya akan pastikan Liow ada sekali dan bercakap menyuarakan pendapatnya.
"Ada yang boleh tersenyum, ada yang boleh buat lawak tetapi ada juga yang tidak mampu berbuat demikian," katanya semasa di sidang media parti berkenaan di ibu pejabatnya, petang tadi.
Beliau berkata demikian mengulas serangan secara terbuka Liow terhadap kepimpinannya yang dianggap sebagai 'diktator' dan tidak menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Kemelut dalaman MCA semakin terserlah apabila Liow semalam mendesak parti itu mengadakan mesyuarat agung tergempar dalam tempoh seminggu ini.
Ia bertujuan menguatkuasakan kembali hukuman gantung tiga tahun terhadap Exco kerajaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Keong.
Tee disifatkan sebagai penyokong kuat Chua dan digantung kerana menerima jawatan di dalam pentadbiran negeri itu.
MCA sebelum ini melarang ahli-ahlinya menerima sebarang jawatan atas kekalahan teruk parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment