Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, September 12, 2013

Ke mana hilangnya keranda bahasa Anwar Ibrahim ?



Oleh Abu Hassan Adam

[ULASAN] Perjuangan pihak yang sering bersilang pendapat dengan kerajaan di Malaysia lazimnya dipenuhi dengan retorik dan simbol. Pelbagai perkakas dan warna serta cogan kata digunakan untuk menyemarakkan penentangan dan kritikan mereka.

Ketika kebangkitan gerakan pejuang-pejuang bahasa yang paling mengesankan ialah apabila keranda diarak dalam demonstrasi mahu selamatkan Bahasa Melayu dan mengangkatnya sebagai bahasa Kebangsaan secara tuntas.

Keranda membawa simbol kematian. Apabila kerajaan dilihat mengabaikan pembangunan dan kurang azam untuk mensinonimkan bahasa Melayu dengan jatidiri Malaysia di dalam negara dan juga di persada antarabangsa, maka para demonstrans pun mengusung keranda berisi jenazah bahasa Melayu. 

Anwar ketuai rombongan keranda Bahasa Melayu

Antara protaganis dalam gerakan itu termasuklah Ketua Pembangkang hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu beliau adalah pemimpin pelajar yang seangkatan dan sepemikiran dengan sosialis seperti Hishamuddin Rais yang kemudian menjadi pelarian politik dan berkelana ke seluruh dunia mahu menegakkan kefahamannya mengenai soal bernegara.

Hishamuddin cuma kembali ke tanah air apabila keadaan menjadi “lebih selamat” baginya ketika Anwar sudahpun menjadi orang besar kerajaan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dalam tempoh memanjat tangga politik dalam Umno dan kerajaan Anwar nampaknya masih tekal dengan pendirian bahawa kedudukan bahasa Melayu perlu didaulatkan. Apabila berpeluang menjadi Menteri Pendidikan, Anwar memperkenalkan konsep sebutan baku agar lebih cepat proses Bahasa Melayu dinusantarakan.

Bahasa baku tenggelam selepas Anwar dipecat

Malangnya, keazaman politik di kalangan pemimpin Melayu dan pencinta bahasa Melayu tidak teguh. Konsep baku untuk menyulam keakraban dan kesefahaman di kalangan peminat dan pencinta bahasa itu segera luntur apabila Anwar tidak lagi duduk di kerusi menteri berkenaan.

Dalam era cintailah bahasa kebangsaan itu, Bahasa Melayu menjadi subjek wajib lulus demi melayakkan seseorang itu menyambung pelajaran di peringkat pasca menengah dan ke menara gading. Bagi mengukuhkan lagi azam, sesiapa yang tidak lulus subjek Bahasa Melayu tidak layak berkhidmat dengan kerajaan.

Keadaan amat nyaman di jiwa pencinta bahasa Melayu ketika itu. Meskipun ada rungutan di kalangan rakyat bukan keturunan Melayu, kerajaan tegas dalam melaksanakan peraturan berkenaan. Lantaran dedikasi dan komitmen tinggi, protes dan rungutan terhadap kedudukan bahasa Melayu menjadi malap.

Sebagai langkah proaktif dan (mungkin) patriotisme rungutan diterjemahkan kepada kesungguhan untuk menguasai bahasa Melayu di kalangan pelajar bukan Melayu. Natijahnya mengkagumkan. Lebih ramai pelajar bukan Melayu mencatat keputusan peperiksaan lebih baik berbanding anak Melayu.

Namun rasa tidak puas hati tetap berbahang ibarat api dalam sekam. Apabila kepemimpinan orang Melayu retak dan berpuak dek pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan keputusan pilihan raya 1999 menyebabkan kerajaan Barisan Nasional kehilangan kuasa di Kelantan dan Terengganu serta terancam pula di Kedah, pemimpin BN ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed insaf bahawa ia perlu sokongan rakyat bukan Melayu.

Perkasa Bahasa Inggeris untuk pujuk rakyat

Satu cara memujuk dan membelai sokongan mereka ialah dengan menunaikan tuntutan mereka yang sekian lama merungut bahawa penekanan terhadap Bahasa Melayu telah menyebabkan penguasaan bahasa lain, terutama Bahasa Inggeris di kalangan pelajar semakin merosot.

Justeru diperkenalkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini amat menggirangkan pengundi bukan Melayu. Sokongan mereka diterjemahkan dengan kemenangan terbesar BN dalam sejarah politik Malaysia pada 2004.

Namun sukar hendak dipastikan sama ada sokongan kepada Tun Abdullah Badawi ketika itu ialah kerana meraikan kembalinya penekanan pembelajaran bahasa Inggeris atau kerana Tun Mahathir sudah bersara selepas 22 tahun memerintah dan menidakkan kepentingan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Namun ternyata kecintaan pada Bahasa Melayu belum pudar. PPSMI tidak disenangi oleh pejuang Bahasa Melayu. Desakan, rungutan dan protes mereka kembali menyedarkan kerajaan bahawa demi jatidiri bangsa, bahasa Melayu perlu didaulatkan. Maka PPSMI dihentikan.

Yang mewarisi kecelaruan ini ialah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Pemimpin kementerian pendidikan hari ini menyifatkan pelan ini adalah rangka kerja terbaik yang pernah dilahirkan untuk meningkat mutu pendidikan negara.

Penambahan masa mengajar Bahasa Melayu dibantah

Namun sekali lagi ada pihak yang kurang senang. Penekanan kepada tambahan masa pembelajaran Bahasa Malaysia masih diungkit. Malah ia diperbandingkan dengan pengajaran bahasa ibunda bukan Melayu.Ini dirumuskan sebagai usaha mengkhianati bahasa ibunda.

PPPM juga mempersembahkan beberapa kompromi. Antaranya ialah soal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang akan menjadi subjek wajib lulus sebelum melanjutkan pelajaran dan mencari pekerjaan di sektor awam. Kompromi ini nampaknya tidak disambut baik. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...