Masihkah anda ingat lagi mengenai tragedi menyayat hati kemalangan bas di KM3.5 Jalan Genting Highland 21 Ogos lalu? Mungkin ada dari kalangan kita yang sudah lupa mengenainya. Pihak-pihak yang 'opportunist' juga sudah tidak lagi kedengaran 'salakan' mereka. Yang saling tuding-menuding 'mengalah' tak mahu bertanggungjawab juga senyap terus. Tapi buat mereka yang kehilangan orang tersayang akibat kejadian tersebut, pastinya masih berbaki sisa kesedihan.
Sememangnya normal sebenarnya insiden bas terjunam jatuh gaung ini hanya menjadi perkara yang paling diambil berat oleh rakyat Malaysia tatkala berlaku insiden tersebut. Seminggu dua kemudian, senyap sunyi cakap-cakap mengenainya.
Namun bagi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak begitu. Amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya sentiasa dipastikan dapat dilaksana sebaik mungkin.
Walaupun insiden 21 Ogos itu semakin dilupakan, namun SPAD tidak sekali-kali mengambil sikap serupa. Suruhanjaya itu buat masa ini sedang bertungkus-lumus menjalankan siasatan dalaman ke atas syarikat bas yang terlibat dengan kemalangan tersebut.
Menitikberatkan aspek keselamatan bagi pengendali bas di kawasan tanah tinggi, SPAD juga telah mengeluarkan Pekeliling mengenai pelaksanaan kod amalan industri.
Pekeliling ini adalah amat crucial sebagai makluman dan rujukan semua pengendali bas di kawasan tanah tinggi berhubung dengan pelaksanaan Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD - Keselamatan.
Antara kandungan pekeliling tersebut yang wajib dipatuhi adalah Pemasangan Global Positioning Satelite System (GPS), Anti-lock Braking System (ABS), CCTV kamera di ruang ‘dashboard’ atau ruang yang bersesuaian, sistem keselamatan brek seperti Engine Retarder/exhaust brake dan pematuhan peraturan keselamatan antarabangsa mengenai keselamatan super structure kenderaan (U.N.E.C.E Rule 66/A.D.R.) serta tali pinggang keledar untuk semua kerusi penumpang (U.N.E.C.E Rule 80).
Untuk rekod, SPAD ICOP-SHE telah berkuatkuasa sejak 9 September lalu yang menyaksikan pegawai keselamatan dan penyelia syarikat diwajib memantau pemandu dan kenderaan sebelum perjalanan dimulakan.
Langkah kawalan tambahan yang dikuatkuasakan oleh SPAD ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk menangani kelemahan-kelemahan dari aspek keselamatan operasi di kalangan pengendali bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tanah tinggi.
Dan pada masa sama, SPAD juga telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Inkuiri Kes Kemalangan Bas – Genting susulan kejadian yang disebut awal tadi.
Jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh En Mohd Nur Ismal Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD dan dianggotai oleh pihak PDRM, JPJ, MIROS dan lain-lain agensi yang berkaitan.
No comments:
Post a Comment