Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Friday, July 05, 2013

Sejarah Sebalik PRK Kuala Besut




Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini telah mengumumkan tarikh untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang mana 12 Julai ini ditetapkan sebagai tarikh bagi penamaan calon manakala bagi hari pengundian pula ditetapkan pada 24 Julai.

Sedikit latarbelakang, kerusi DUN Kuala Besut dalam DUN Terengganu ini kosong selepas penyandangnya, Datuk Dr A. Rahman Mokhtar daripada Barisan Nasional meninggal dunia 26 Jun lalu. 

Allahyarham yang meninggal akibat kanser paru-paru itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, 5 Mei lalu mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Dan pengumuman SPR itu menerusi Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ibarat pengulangan sejarah bagi 17,683 pengundi berdaftar di dalam kawasan tersebut.

PRK kali ini merupakan yang kedua bagi kerusi DUN Kuala Besut. Kali pertama ia diadakan ialah pada 34 tahun yang lalu.

Menariknya, PRK pertama di kerusi tersebut dijalankan pada bulan puasa, yang mana untuk kali ini, ia juga bakal berlangsung tatkala umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga itu.

PRK pertama 34 tahun lalu itu terpaksa dibuat berikutan kematian penyandangnya ketika itu, Zakaria Muda. 

Allahyarham Zakaria meninggal dunia pada tarikh 26 Jun, tarikh yang sama Allahyarham Dr A. Rahman meninggal minggu lepas.

Pada PRK tersebut, BN telah berjaya mempertahankan kerusi yang dimenangi Allahyarham Zakaria menerusi calonnya, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman.

PRK kali ini boleh dikatakan menarik memandangkan BN ketika ini hanya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri iaitu dengan hanya berbekalkan 17 daripada keseluruhan 32 kerusi DUN.

Pakatan Rakyat ketika ini mempunyai 15 kerusi di mana 14 daripadanya adalah milik PAS dan satu PKR.

Kegagalan BN untuk mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut ini memungkinkan berlaku keadaan dewan tergantung apabila kedua-dua parti memperoleh jumlah kerusi yang sama.

Namun begitu BN dijangka tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi tersebut memandangkan ianya merupakan kubu kuat parti itu.

Walaubagaimanapun, sejarah menunjukkan kerusi DUN Kuala Besut pernah menjadi milik Pas sebanyak tiga kali iaitu pada 1959, 1969 dan 1999.

Justeru, Ketam ingin mengingatkan para pimpinan BN samada di peringkat negeri mahupun nasional supaya tidak memandang ringan keupayaan lawannya kali ini.

Apapun, bersempena dengan kesucian Ramadhan diharapkan proses berkempen PRK ini berlangsung dalam suasana yang baik dan harmoni serta tiada elemen-elemen fitnah-memfitnah di kalangan parti-parti yang bertanding.

Para penyokong juga diharapkan tidak terdorong dengan emosi yang boleh menjejaskan ibadah puasa mereka.

Adios!!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...