Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, July 04, 2013

Menteri Gesa Lapor Kepada SPAD Jika Terjumpa Pemandu Teksi Warga Asing




Orang ramai digesa supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sekiranya terjumpa dengan warganegara asing yang menjadi pemandu teksi.

Menegaskan bukan warganegara tidak dibenar untuk memandu teksi di negara ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nancy Shukri turut menjelaskan bahawa mereka juga tidak layak untuk mendapat permit teksi.

"Jadi saya minta kerjasama semua untuk laporkan perkara ini sekiranya nampak ada pemandu warga asing yang membawa teksi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) di Dewan Rakyat hari ini sama ada rakyat asing diberi permit teksi secara individu atau diambil oleh syarikat-syarikat teksi berdaftar.

Menjawab soalan tambahan daripada Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) mengenai langkah penguatkuasaan yang dijalankan dalam menangani isu itu, SPAD sebagai agensi yang bertanggungjawab mengenainya ujar beliau sentiasa melaksanakan pemantauan berkala di mana tindakan tegas akan diambil terhadap rakyat asing atau syarikat yang melantik rakyat asing menjadi pemandu teksi.

"Memang sudah ada penguatkuasaan dan tangkapan dibuat dalam kes ini misalnya satu kes di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada awal tahun ini apabila seorang warganegara Pakistan ditangkap dan didakwa di mahkamah.

"Ada juga melibatkan warga Iran. Jadi kita tidak nafi perkara ini memang ada, tetapi ia bukan dibenarkan," tegas beliau.

Pemandu teksi rakyat asing jelasnya lagi, boleh didakwa kerana menyalahgunakan permit kemasukan ke negara ini.

Selain itu, isu monopoli teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menurut ahli Parlimen Batang Sadong ini tidak lagi timbul selepas dasar terbaru membenarkan teksi bandar untuk beroperasi di situ sejak Mei lalu.

"Teksi-teksi bandar kini dibenarkan untuk beroperasi di tingkat 1 KLIA. Langkah ini bagi mengelakkan kewujudan ulat-ulat teksi yang melobi pelanggan untuk menggunakan teksi mereka yang tidak berdaftar," katanya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...