Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Friday, July 05, 2013

PRK Kuala Besut Berlangsung Pada Bulan Puasa



 
Sah pilhan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut bakal berlangsung pada bulan Ramadhan.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri enam anggota panel lain sejak pagi tadi.

SPR katanya menetapkan 12 Julai sebagai tarikh penamaan calon manakala 24 Julai pula ditetapkan sebagai hari untuk para pengundi berdaftar di kawasan tersebut menunaikan tanggungjawab mereka mengundi.

"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada YDP pada 27 Jun berhubung kekosongan kerusi berikutan kematian Adun Dr Abdul Rahman pada 26 Jun 2013.

"Berikutan itu SPR telah mengadakan perbincangan dan menetapkan PRK perlu diadakan pada kekosongan kerusi tersebut.

"SPR telah menetapkan tarikh-tarikh seperti berikut, tarikh penamaan calon 12 Julai, tarikh pengundian awal pada 20 Julai, tarikh undi biasa (PRK pada 24 Julai)," katanya.

Enam anggota panel tersebut ialah Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Datuk Mohd Ramli Ali, Datuk Dr. P. Manogram, Datuk Christopher Wan Soo Kee, Datuk Md Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin.

Pengundian awal pula ditetapkan pada 20 Julai untuk anggota polis dan tentera.

DUN Kuala Besut kosong selepas penyandangnya Dr Abdul Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) meninggal dunia awal minggu lalu akibat kanser paru-paru.

Pada PRU13, 5 Mei lalu, Allahyarham mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 17 kerusi, PAS menguasai 14 kerusi manakala PKR satu kerusi.

Pilihan raya kecil ini dijangka sengit kerana kegagalan BN mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut memungkinkan berlaku keadaan dewan tergantung apabila kedua-dua parti memperoleh jumlah kerusi yang sama.

Sekiranya Pakatan memperoleh kemenangan di DUN Kuala Besut ia akan menyaksikan masing-masing BN dan Pakatan menguasai 16 kerusi. - DUN Terengganu memperuntukkan 32 kerusi.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar yang majoritinya berbangsa Melayu. SPR juga menanggarkan kos untuk pilihan raya kecil itu berjumlah sebanyak RM760 ribu.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...