Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Saturday, July 06, 2013

BN Umum Calon PRK Kuala Besut Minggu Depan



Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 9 Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengumuman itu akan dilakukan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut.

Muhyiddin dilantik sebagai Pengarah PRK Kuala Besut yang mana tarikh penamaan calon diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam pada 12 Julai 2013 manakala tarikh mengundi adalah 24 Julai 2013.

DUN Kuala Besut kosong selepas penyandangnya Dr Abdul Rahman Mokhtar dari BN meninggal dunia awal minggu lalu akibat kanser paru-paru.

Pada PRU13, 5 Mei lalu, Allahyarham mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 17 kerusi, PAS menguasai 14 kerusi manakala PKR satu kerusi.

Pilihan raya kecil ini dijangka sengit kerana kegagalan BN mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut memungkinkan berlaku keadaan dewan tergantung apabila kedua-dua parti memperoleh jumlah kerusi yang sama.

Sekiranya Pakatan memperoleh kemenangan di DUN Kuala Besut ia akan menyaksikan masing-masing BN dan Pakatan menguasai 16 kerusi. - DUN Terengganu memperuntukkan 32 kerusi.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar yang majoritinya berbangsa Melayu. SPR juga menanggarkan kos untuk pilihan raya kecil itu berjumlah sebanyak RM760 ribu.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...