Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Friday, May 10, 2013

Krisis Pelantikan MB Selangor - Kata Ramai Calon Berwibawa, Ni Apa Kes Berantakan Pula?




Seperti yang dijangkakan, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali telah menamatkan 'drama konon-konon letak jawatan' menerusi 'skrip' yang 'klise'. Macam yang Ketam katakan dalam posting terdahulu, unsur-unsur 'heroic' tidak ketinggalan daripada diterapkan di dalam jalan cerita tersebut.

Dan seperti yang dijangka juga, untuk mengalihkan perhatian orang ramai tentang cerita 'komedi romantik' ini, Azmin sudah kasi 'trailer' untuk 'sekuel' cerita ini dengan memberi gambaran yang kesinambungan cerita itu nanti adalah bergenre 'komedi seram' pula.

Pada sidang medianya tadi, Ahli Parlimen Gombak ini menegaskan tidak akan keluar parti atau meletakkan semua jawatannya seperti yang digembar-gemburkan beberapa hari ini.

Sedikit 'trailer' yang diumumkan beliau pada sidang media tersebut adalah mengenai kepimpinan PKR yang didakwa tidak mengamalkan ketelusan dalam memilih calon Menteri Besar Selangor.

Kenyataannya ini seolah-olah membayangkan Tan Sri Khalid Ibrahim sudah confirm dikekalkan menjawat jawatan kerusi panas itu. Ibarat seseorang yang meroyan, Azmin membangkitkan soal kewibawaan seseorang personaliti itu di dalam menyelesaikan masalah-masalah yang lama tertunggak di negeri Selangor sewajarnya menjadi kriteria utama pemilihan.

Ini jika diteliti betul-betul, beliau sebenarnya bukan sahaja sudah mencabar kredibiliti Khalid Ibrahim, tetapi juga individu-individu yang dikatakan menyokong pakar ekonomi itu mengekalkan jawatannya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Nurul Izzah Anwar.

Dan jika diimbas sidang media tersebut, jelas bahawa Azmin menerima sokongan yang agak kuat daripada barisan kepimpinan PKR negeri apabila majoriti mereka menemani Azmin di dalam memberikan penjelasan kepada media.

Melihatkan kepada situasi ini, maka tidak salah jika kita menyimpulkan bahawa krisis dalam PKR ini sebenarnya begitu meruncing. Bayangkan implikasinya terhadap pentadbiran kerajaan negeri apabila individu yang dilantik mengetuainya tidak menerima sokongan daripada barisan kepimpinan lain.

Perkembangan terbaru ini membuatkan Ketam sedikit tertanya-tanya sebenarnya akan mengapa isu ini dilihat begitu meruncing sekali. Sedangkan jika kita imbas kembali siri kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PKR sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Anwar selaku Ketua Umum, Wan Azizah selaku Presiden, Azmin sendiri selaku Timbalan Presiden dan beberapa pemimpin parti yang lain begitu yakin sekali mendakwa kononnya mereka mempunyai ramai calon yang berkredibiliti untuk dilantik sebagai Menteri Besar. Jika benar itu keadaannya, lantas kenapa kini situasinya begitu kritikal sekali?

Jawapan kepada persoalan tersebut amat mudah sekali. Berdasarkan apa yang berlaku sekarang, mudah untuk kita simpulkan sebenarnya yang individu-individu yang dikatakan 'pemimpin' ini telah mengambil ringan soal jawatan Menteri Besar ini. Bahkan Ketam percaya, bukan dalam soal ini sahaja, tetapi dalam kebanyakan isu sebenarnya mereka ini terlalu mengambil ringan atau terlalu bersikap lepas tangan, ambil mudah.

Dan amatlah malang sebenarnya apabila mengenangkan kumpulan sambil lewa ini telah menjadi pilihan di kalangan rakyat untuk diberikan mandat mentadbir negeri Selangor. Tidak menyalahkan pengundi sepenuhnya, mungkin mereka merasakan puak lepas tangan ini sudah mempelajari selok-belok pentadbiran negeri melalui pengalamannya pada penggal yang lepas. Namun berdasarkan apa yang sedang berlaku ketika ini, Ketam rasa sebenarnya mereka langsung tidak kisah tentang aspek memperbaiki kelemahan diri sebaliknya rakus memikirkan soal memperluaskan kuasa masing-masing. Sedihlah!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...