Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Friday, April 12, 2013

Sukarnya Wan Azizah menjadi isteri Anwar Ibrahim




Oleh Abu Hassan Adam

[ULASAN]  Memang besar pengorbanan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada suami dan partinya. Beliau sanggup menjadi “pemanas” kerusi Presiden parti bagi memberi laluan kepada pihak suaminya, Anwar Ibrahim memerintah PKR tanpa perlu bertanding.

Malah beliau juga sanggup, atas arahan Anwar, untuk memendamkan hasratnya bertanding dalam pilihanraya umum kali ini. Kak Wan sudah buka mulut pada media bahawa beliau mungkin bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor sahaja.

Seperti biasa Kak Wan dengan takzimnya cakap berlapik. Beliau berkata, keputusan muktamad sama ada beliau jadi atau tidak bertanding bergantung pada keputusan pimpinan PKR, walhal beliau adalah presiden parti.

Demi Anwar, Kak Wan terpaksa akur. Namun bagaimana pula pendirian Kak Wan sebagai presiden PKR? Tidakkah beliau perlu bertegas bahwa demi parti, beliau perlu juga bertanding.

Jika tidak umum akan percaya bahawa dakwaan Setiausaha Politik Ketua Wanita PKR, Mohd Fareez Kamal Intidzam bahawa Kak Wan tidak berusaha memelihara maruah parti kerana tidak bertanding dalam PRU adalah benar

Namun hasrat Kak Wan bertanding lebur apabila Anwar dalam wawancara dengan stesen televisyen satelit Al Jazeera menegaskan bahawa Kak Wan tidak akan bertanding dalam PRU kali ini.

Sedihnya dalam PRU ke 13 ini Kak Wan tidak boleh bertanding kerusi parlimen kerana pada 2008 beliau melepaskan kerusi parlimen Permatang Pauh kepada Anwar sebelum penggal khidmatnya tamat. Kini untuk bertanding kerusi DUN Selangor Anwar tidak benarkan.

Lebih mengkagumkan Kak Wan yang dikurniakan anugerah Siti Khadijah sempena nama isteri Rasulullah s.a.w. oleh Angkatan Belia Islam (Abim) itu hanya menerima dan redha sahaja “penjelasan” Pengarah Pilihanraya PKR, Azmin Ali yang juga Timbalannya dalam parti.

Azmin berkata PKR lebih memerlukan khidmat Kak Wan terutama dalam menyertai kempen di seluruh negara bagi mencapai matlamat lebih besar iaitu menuju Putrajaya.

“Presiden mempunyai pengaruh yang kuat terutama di kalangan wanita. Parti secara keseluruhannya memerlukan beliau dalam konteks yang lebih besar.

“Jadi mengapa kita perlu sekat Presiden hanya di satu kerusi DUN sahaja sedangkan semua pihak di seluruh negara perlukannya,” kata Azmin.

Mungkin kenyataan ini berniat baik. Namun jika diambil kira kenyataan pengasas PKR, Ng Lam Yong, Azmin sebenarnya melihat keadaan itu peluang baginya mempersiapkan diri bertanding jawatan presiden dalam kongres PKR akan datang.

Bagi Azmin, buat masa ini biarlah Kak Wan selesa dengan “harapan tinggi” yang disandarkan kepadanya untuk meraih undi pengundi wanita buat PKR dalam PRU kali ini.

Peranan peraih undi dan simpati ini mudah lekat pada imej Kak Wan seorang Presiden yang mempunyai perwatakan keibuan untuk menjadi “pom pom girl” PKR sahaja. Maka akan lebih mudah Azmin mengatur langkah merampas jawatan nombor satu itu kelak.

Namun nasib Kak Wan tetap mendapat pembelaan. Anak sulungnya yang juga seorang Naib Presiden PKR, Nurul Izzah bingkas menolak kenyataan bapanya Anwar Ibrahim dan alasan Azmin yang meremehkan sumbangan Kak Wan.

“Itu hanya cakap-cakap politik…itu kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP). Setakat ini tidak ada perancangan sebegitu dan ia akan dimuktamadkan semasa hari penamaan calon,” kata Nurul Izzah mengulas laporan portal berita rasmi PKR, Keadilandaily.com.

Mungkin hanya Nurul Izzah memahami bahawa maruah ibunya sebagai Presiden parti diperlekehkan sedemikian rupa hingga dikatakan tidak layak disenaraikan sebagai calon kerusi dewan undangan negeri dalam PRU kali ini.



Dipetik Dari Sini




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...