Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Saturday, April 13, 2013

Fokus Manifesto BN: Perkasa Sektor Pengangkutan Awam Elemen Utama




Bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil baru-baru ini, manifesto Barisan Nasional telah dengan secara rasminya diumumkan di hadapan lebih 15,000 penyokong yang hadir serta berjuta lagi menyaksikannya menerusi siaran langsung yang dibawakan oleh beberapa stesyen televisyen tempatan.

Ketika mengumumkannya, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak telah memberikan jaminan beliau bahawa manifesto yang diumumkan itu adalah janji dan komitmen kerajaan kepada rakyat yang akan dilaksanakan dalam masa lima tahun akan datang jika terus diberikan kepercayaan oleh rakyat dengan memberikannya mandat baru pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Antara janji yang dimuatkan dalam manifesto itu adalah sasaran kerajaan untuk menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada RM500 kepada RM1200 bagi setiap keluarga yang berpendapatan RM3000 ke bawah, membina satu juta unit rumah mampu milik, termasuk 500 ribu unit rumah PR1MA dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru dengan 2 juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi.

Bertemakan 'Menepati Janji Membawa Harapan', manifesto ini menumpukan kepada 17 bidang utama yang dilihat hampir memenuhi kehendak dan keperluan rakyat merangkumi transformasi ekonomi, politik dan  sosial, sehingga kepada menjunjung hak asasi manusia dan demokrasi.

Dan menyedari pengangkutan awam adalah nadi penting kebanyakan rakyat di negara ini, justeru industri ini tidak ketinggalan dari turut disenarai sebagai salah satu elemen penting yang difokuskan kerajaan sejajar dengan komitmennya untuk meringankan beban rakyat selain memacu negara ke arah yang lebih maju lagi.

Justeru itu, Najib di dalam ucapannya menegaskan bahawa salah satu agenda BN untuk penggal akan datang ialah untuk mengembangkan perkhidmatan sistem bas Rapid ke setiap ibu negeri yang lengkap dengan kemudahan untuk golongan berumur dan kurang upaya.

Selain itu, laluan bas juga akan disusun semula untuk memastikan perkhidmatan lebih cekap dan memudahkan rakyat.

BN juga berjanji untuk memperluaskan sistem rel Transit Pantas Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter, dan membina terminal bas, rel dan teksi bersepadu di semua pekan dan bandar.

Selain itu BN juga berhasrat meningkatkan jumlah permit teksi individu serta melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi serta memperluaskan sistem landasan kereta api berkembar.

Tegas Perdana Menteri itu lagi, kerajaan BN, sejak menerajui Malaysia selama 55 tahun telah berusaha membuat pelbagai pembaharuan dan strategi baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Nyata ia bukan sekadar omong kosong semata. Lihatlah langkah yang diambilnya di dalam memfokuskan bidang pengangkutan sebaik sahaja mengambil-alih tampuk pemerintahan negara daripada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Antaranya adalah memperkenalkan sebuah suruhanjaya bebas iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi melihat dengan lebih mendalam isu yang menyelubungi industri ini dan seterusnya mencadangkan dasar dan rancangan polisi yang melibatkan pengangkutan awam, dan membangunkan strategi selaras dengan dasar dan rancangan yang telah diluluskan kerajaan.

Walaupun terdapat suara-suara sumbang (yang sememangnya lazim didengari setiap kali kerajaan melaksanakan sesuatu dasar baru) yang mempertikaikan kewujudan suruhanjaya ini sebagai sebuah badan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dikatakan tidak sejajar dengan peranannya sebagai sebuah badan yang bebas, namun apa yang pasti ialah ketetapan itu kini terbukti membuahkan hasil apabila mutu perkhidmatan pengangkutan awam kini telah semakin baik dan menunjukkan perkembangan yang positif.

Menurut pandangan Ketam, rasionalnya Najib meletakkan SPAD di bawah JPM itu ialah ia menunjukkan komitmen beliau untuk menyelesaikan permasalahan yang wujud. Operasi suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar itu dapat beliau pantau secara terus di mana langkah yang lebih proaktif dapat dilaksanakan.

Dan manifestasinya, lihat sahaja perkara-perkara yang diperuntukkan kerajaan yang memfokuskan kepada elemen-elemen mempertingkatkan mutu perkhidmatan sektor ini.

  • Mengembangkan perkhidmatan Sistem Bas Rapid ke setiap ibu negeri yang lengkap dengan kemudahan untuk golongan berumur dan kurang upaya.
  • Terus memperluaskan sistem rel MRT, LRT dan Komuter.
  • Membina Terminal Bas, Rel dan Teksi Bersepadu di semua pekan dan bandar.
  • Menyusun semula laluan bas untuk memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan memudahkan rakyat.
  • Meningkatkan jumlah permit teksi individu.
  • Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi dan memperluaskan sistem landasan kereta api berkembar.

Justeru, kesempatan ini Ketam ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada BN di bawah pentadbiran Najib yang tidak putus-putus melaksanakan dasar-dasar yang tujuannya tiada lain selain mementingkan rakyat. Pengumuman manifesto tersebut juga Ketam sambut dengan syukur dan berterima kasih kerana sesungguhnya ia merupakan tawaran yang rasional dan diakui relevannya oleh para pengkaji dan pakar ekonomi.

Adios!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...