Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Wednesday, April 17, 2013

Fokus PRU13 - Kerusi-kerusi yang dijangka 'panas'




'Ibu Segala Pilihanraya' - Itulah ibaratnya pilihanraya umum Malaysia edisi yang ke-13 yang bakal berlangsung awal Mei ini. Pilihanraya kali ini dianggap akan menjadi satu pilihanraya yang bakal dikenang untuk jangka waktu yang lama oleh rakyat di negara ini.

Malas nak ulas panjang, berikut adalah kerusi-kerusi yang pada pendapat Ketam bakal menjanjikan pertembungan yang sengit di antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (Pakatan) dan juga 'individu merajuk' @ 'perasan' yang ingin bertanding atas tiket bebas..

*Dengar cerita ada 'geng merajuk' buat sidang media umum nak tanding bebas pagi ni..haish..bila kepentingan diri mengatasi parti, inilah jadinya..

Takpe..Layan dulu list ni k..


Parlimen Gelang Patah – Datuk Abdul Ghani Othman (BN) vs Lim Kit Siang (DAP)

Tak dapat dinafikan, pertembungan dua calon 'heavyweight' ini merupakan salah satu pertembungan yang paling menarik yang bakal kita saksikan menjelang PRU13 nanti. DAP terlebih dahulu mengumumkan Kit Siang, seorang veteran parti itu, sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat di Gelang Patah. Pengumuman ini secara tidak langsung menunjukkan keseriusan mereka untuk menamatkan penguasaan BN di negeri di selatan tanahair itu.

Dan sebagai respon, Ghani sebagai penyandang Menteri Besar telah mengambil tindakan berani dengan menawarkan dirinya untuk menentang Kit Siang sebagai usaha menghalang pakatan pembangkang dari 'menceroboh' kubu kuat BN itu. Tindakan ini disifatkan berani memandangkan Gelang Patah mempunyai bilangan pengundi Cina melebihi 50 peratus. Sekaligus ia juga memberi tamparan kepada Kit Siang yang dilihat tidak berani menongkah arus apabila mengambil pendekatan 'play safe' dengan memilih kerusi yang dirasakan selesa dan mempunyai peluang untuk dimenangi.


Parlimen Shah Alam – Datuk Zulkifli Noordin (BN) vs Khalid Samad (PAS)

Pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pencalonan 'Sahabat BN', Datuk Zulkifli Noordin ini menyaksikan satu pertembungan 'epik' antara dua orang 'musuh ketat' bakal tercetus di Shah Alam. Zulkifli, bekas orang kuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya bercita-cita mahu menentang Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad itu. Dan hasratnya itu telah dimakbulkan Najib. Beliau yang juga Naib Presiden Perkasa itu, terkenal dengan 'kenakalan' ketika berbicara. Namun begitu, lawan beliau iaitu Khalid juga mempunyai kenakalan yang setaraf dengannya. Walaupun kita sering melihat mereka bertikam lidah di Parlimen, tapi Ketam meramalkan pertikaman lidah yang bakal disaksikan pada pilihanraya nanti akan menjadi lebih hebat lagi.


Parlimen Arau - Datuk Seri Shahidan Kassim (BN) vs Datuk Dr Haron Din (PAS)

Para pengundi di Arau pasti sedang pening ketika ini..tak tahu samada mahu memberikan undi mereka kepada mantan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim ataupun Datuk Dr Haron Din. Masakan tidak, kedua-dua calon ini mempunyai kelebihan masing-masing. Namun jika dilihat dari segi kredibiliti, Ketam berpendapat mungkin ianya sedikit memihak kepada Shahidan berdasarkan pengalamannya mentadbir negeri kecil itu selain beberapa persatuan sukan di negara ini.


DUN Sungai Limau - Mohd Fadzillah Mohd Ali (BN) vs Datuk Seri Azizan Abdul Razak (PAS)

'Air dicincang tak akan putus' - Harapnya begitulah nanti yang berlaku di antara penyandang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan sepupunya, Mohd Fadzillah Mohd Ali selepas PRU nanti. Kedua-dua mereka dijangka akan bertemu sesama sendiri pada pilihanraya nanti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau. Walaupun dilihat 'underdog', namun Fadzillah yakin mampu menggugat Azizan yang menyandang kerusi tersebut sejak dari tahun 1995. Sementara Azizan pula ketika ini dilihat bukan setakat perlu berdepan dengan sepupunya sendiri, bahkan kalangan penyokong partinya juga. Krisis kepimpinan yang sedang melandanya ketika ini sekiranya tidak diselesaikan dengan baik, mahu tidak mahu akan sedikit sebanyak menggugat peluang beliau mempertahankan kerusi DUN tersebut.


Parlimen Lembah Pantai - Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (BN) vs Nurul Izzah Anwar (PKR)

Sejak kegagalan Datuk Seri Shahrizat Jalil mempertahankan kerusi Lembah Pantai pada 2008 untuk BN kepada calon baru ketika itu, Nurul Izzah Anwar, penduduk sekitar kawasan tersebut pasti dapat melihat betapa Menteri Wilayah, Datuk Raja Nong Chik tidak henti-henti menjalankan tanggungjawabnya memberikan perkhidmatan kepada masyarakat. Dan berbekalkan itu mungkin, beliau telah diberikan tanggungjawab oleh Datuk Seri Najib untuk merampas semula kerusi yang tradisinya milik BN itu. Sementara itu, Nurul Izzah juga dilihat tidak kurang memberikan khidmat beliau sebaik mungkin. Karakternya yang mudah mesra itu mungkin akan menjadi senjatanya yang paling kuat kerana tidak dapat dinafikan, sesiapa yang bertemu beliau pasti akan menyenanginya. Secara peribadi Ketam berpendapat Izzah mungkin mempunyai sedikit kelebihan untuk mempertahankan kedudukannya di Lembah Pantai. Ini berdasarkan pemerhatian Ketam di mana wujud sedikit 'unsur sentimen' di kalangan pengundi di kawasan tersebut memandangkan nama 'anak raja' yang dibawa oleh Nong Chik. Mungkin beliau perlu kerja lebih sikit untuk buktikan yang beliau benar-benar berjiwa rakyat dan tidak menunjukkan 'kebangsawanan' beliau ketika bertemu pengundi.


Parlimen Jempol - Tan Sri Isa Samad (BN) vs Wan Aishah Wan Ariffin (PAS)

Satu lagi pertembungan yang menarik, kali ini di Negeri Sembilan. Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad pernah melalui zaman kejatuhannya apabila didapati bersalah atas tuduhan membabitkan politik wang. Namun begitu peluang kedua yang diberikan kepadanya setakat ini tidak disia-siakan. Respon yang Ketam terima dari sahabat-sahabat mengatakan komitmen yang ditunjukkan Isa di dalam memberikan khidmat kepada masyarakat bukan sahaja di kawasannya, begitu tinggi sekali. Berbekalkan pengalamannya yang luas, maka lawan beliau, bekas penyanyi popular yang kini 'berhijrah' menyertai PAS, Aishah, dilihat akan mengalami sedikit kesukaran. Namun begitu popularitinya sebagai seorang selebriti sebelum ini dijangka akan memberikan sedikit pengaruh terhadap kempen dan sokongan kepadanya.


Kerusi Parlimen Bukit Katil - Datuk Seri Mohd Ali Rustam (BN) vs Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR)
Setelah beberapa penggal menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam untuk pilihanraya kali ini telah beberapa kali menekankan hasratnya untuk bertanding di peringkat Parlimen. Ini katanya bagi membuka ruang kepada pimpinan baru untuk menyambung kerja-kerjanya membangunkan negeri bersejarah itu. Lawannya pula adalah seorang peguam muda yang disifatkan ketuanya sebagai 'tak cukup tinggi', Shamsul Iskandar. Kesungguhan anak jati Melaka ini telah memikat hati ahli-ahli partinya yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk mengetuai sayap pemuda PKR di mana beliau telah menewaskan calon yang mendakwa dirinya berpengaruh di kalangan anak muda, Chegu Bard. Justeru BN tidak boleh memandang ringan pencalonan beliau menentang Ali yang dilihat lebih berpengalaman. Keupayaan beliau menjadi Ketua AMK Pusat adalah testimoninya yang paling kuat sekali. Ini kerana Melaka, sebuah negeri yang tradisinya boleh dikatakan kubu kuat BN terutamanya Umno, sudah lama tidak mempunyai seorang pemimpin Melayu di sebelah pembangkang yang dikenali di peringkat Nasional. Justeru, Ali tidak harus sekali-kali mengambil ringan atau memandang Shamsul ini sebagai 'budak hingusan'.


Permatang Pauh - Dr Mazlan Ismail (BN) vs Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) vs Papagomo (bebas)

Mungkin yang paling menarik sekali pada PRU kali ini. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar, selain akan menerima tentangan daripada calon BN, Bekas Naib Presiden Telekom Malaysia Bhd yang juga bekas jentera beliau sendiri, Dr Mazlan Ismail, blogger sensasi Papagomo juga telah menyatakan hasrat beliau untuk bertanding di Permatang Pauh. Situasi ini pastinya menggugat kedudukan Anwar memandangkan kedua-dua calon tersebut mendakwa mempunyai 'senjata' untuk menundukkan beliau di kubu kuatnya itu. Mazlan dalam kenyataan beliau seperti yang dilaporkan media menegaskan yang dirinya tidak gentar dengan Ketua Umum PKR itu dan bersedia untuk mendedahkan apa yang dikatakan sebagai 'kepincangan' Anwar berdasarkan pengalamannya sebagai penyokong pembangkang. Sementara Papagomo pula, beliau sememangnya terkenal sebagai seorang blogger kontroversi yang tidak putus-putus menyerang sudut moral Anwar. Mungkinkah kejutan akan berlaku di Permatang Pauh kali ini? Sama-sama kita nantikan..





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...