Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin baru-baru ini telah menyenaraikan empat sebab yang dipercayai akan mengakibatkan kegagalan PAS di dalam mendapatkan kepercayaan rakyat.
Seperti yang dilaporkan media sedikit waktu dahulu, keengganan PAS menyelesaikan isu Amanat Hadi dan kesanggupan bersekongkol dengan DAP telah disenaraikan oleh Dr Abdullah sebagai antara penyebab utama parti itu gagal mendapat kepercayaan majoriti umat Islam di negara ini.

“Selain itu elemen Khawarij yang masih diamalkan dalam PAS yang mudah menyalahkan orang lain tanpa memandang secara positif akan sesuatu isu atau perkara juga menjadi penyebab," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran RM1,000 kepada 383 Veteran Tentera Tidak Berpencen daerah Besut dan Setiu di dewan sivik Jabi dekat sini baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut menambah bahawa keengganan PAS bersatu dengan UMNO yang dituduh tidak Islamik sebaliknya memilih DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menjadi tanda tanya masyarakat Islam berhubung pendirian parti itu.

Dan untuk itu, beliau menyimpulkan bahawa keempat-empat perkara pokok itu menyebabkan masyarakat Islam dewasa ini telah semakin hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap PAS ditambah pula dengan sikap pemimpinnya yang sentiasa berdolak dalik dan sering berubah pandangan berhubung sesuatu isu membuktikan ia sebagai parti yang tiada pendirian dan mudah menurut telunjuk terutama dari DAP.
No comments:
Post a Comment