Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, March 28, 2013

Korea Utara hala roket ke AS




Tentera Korea Utara meletakkan unit roket strategiknya dalam persediaan berperang semalam dan memperbaharui ancaman untuk menyerang sasaran Amerika Syarikat di tanah besar, Hawaii dan Guam, selain Korea Selatan.

Tindakan itu dibuat ketika Korea Selatan menyambut ulang tahun ketiga tragedi kapal tentera lautnya, Cheonan, karam disebabkan apa yang ditegaskan Seoul sebagai kapal selam Korea Utara.

“Semua pasukan artileri termasuk unit roket strategik dan unit artileri jarak jauh diletakkan dalam kedudukan tempur kelas A,” kata Pemerintah Tertinggi Tentera Rakyat Korea Utara dalam satu kenyataan.

Unit itu akan bersedia untuk menyerang semua pangkalan Amerika di rantau Asia Pasifik termasuk tanah besar Amerika, Hawaii dan Guam serta Korea Selatan.

Retorik dari Korea Utara yang mengancam Amerika dengan perang nuklear dan melakukan latihan serangan pesawat kawalan jauh ke atas Korea Selatan serta reaksi tegas Washington menimbulkan kebimbangan China, sekutu kuat Pyongyang, yang berkata keadaan itu sensitif.

Pyongyang berkata, sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dipersetujui selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear ketiganya Februari lalu, sebahagian daripada rancangan diketuai Washington untuk menumbangkan kepemimpinannya.

Arahan berkenaan dikeluarkan dalam kenyataan dari pemerintah agung tentera Korea Utara.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, ia tidak melihat sebarang petanda tindakan ketenteraan oleh Korea Utara dan kebanyakan penganalisis tentera berkata, Pyongyang tidak akan mengambil risiko mencipta konflik dengan Amerika Syarikat yang tidak akan dimenanginya.

Tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat melakukan latihan sehingga akhir April ini, yang ditegaskan bersifat pertahanan. Korea Utara menuduh Washington melakukan persiapan perang dengan penggunaan pengebom B-52 yang terbang di semenanjung Korea sebagai sebahagian latihan dan ia memansuhkan perjanjian gencatan senjata yang mengakhiri Perang Korea pada tahun 1950 hingga 1953.

Pegawai berkata, Jepun dan Australia merancang menyekat Bank Perdagangan Asing Korea Utara sebagai sebahagian usaha diketuai Amerika menyasarkan dana Pyongyang untuk program nuklearnya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...