Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Saturday, October 05, 2013

Pemilihan Umno 2013, Angkat Juga Golongan Agamawan



Di antara pelbagai parti-parti politik yang wujud di Malaysia, diakui PAS telah berjaya menonjol dan mengukuhkan imejnya sebagai sebuah parti berideologikan Islam. Penampilan ramainya tokoh-tokoh agama Islam di dalam barisan kepimpinan parti itu adalah antara faktor yang menyebabkan orang ramai melihatnya sebagai 'islamik'.

PAS sendiri tentunya menyedari akan hakikat tersebut. Dan atas kesedaran itulah ia terus memanipulasikan imej Islamik yang 'dimenangi' untuk sewenang-wenangnya menuduh lawannya dalam politik, Umno, sebagai tidak Islamik.

Persoalannya, apakah benar Umno yang menerajui BN itu tidak Islamik? 

Ketam cuba melihatnya dari pelbagai sudut. Pertamanya, bukan Islamkah individu yang diangkat sebagai Presiden parti itu? Dan bukankah individu yang menjawat jawatan Presiden Umno itu juga adalah individu yang sama diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia? Apakah bukan parti Umno itu yang mempunyai kuasa untuk mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan? Mengapa tidak saja diubahnya jika dikatakan ia tidak Islamik?

Selain itu, bukankah Umno yang memimpin pentadbiran kerajaan ini juga yang telah memastikan wujudnya institusi-institusi Islam seperti Tabung Haji, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan sebagainya.

Dan jika dilihat dari segi sejarahnya, bukankah PAS itu sendiri merupakan pecahan sayap-sayap agamawan Umno..lantas, akibat keluarnya PAS dari Umno maka Umno itu tidak Islamik lagi? Hanya PAS sahaja yang sebenar-benarnya Islamik, berjuang di atas landasan Islam yang benar?

Ya..benar Umno tidak melaksanakan hudud..Itu tidak dapat disangkal..tapi apakah sistem yang diterapkan ketika ini berlaku zalim terhadap rakyatnya, kita? Apakah sistem yang ada ketika ini membelakangkan Islam secara total? Pastinya tidak..

Dan di dalam menolak dakwaan yang mengatakan Umno itu tidak Islamik, Ketam juga tidak menolak yang usaha perlu dijalankan parti keramat orang Melayu itu untuk membuktikan yang ia sememangnya tidak meminggirkan golongan ulama dan agamawan.

Benar Ketam ada tampilkan beberapa contoh institusi-institusi agama tadi, tapi itu dari sudut pentadbiran kerajaan. Dari sudut kepartian sendiri sebenarnya Ketam rasakan Umno perlu melakukan sedikit perubahan.

Para pemimpin mungkin boleh beretorik menyebut 'kerajaan Umno', 'kerajaan Umno'..tetapi rakyat tetap melihat yang 'kerajaan' itu adalah kerajaan dan 'Umno' itu adalah Umno. Ertinya, kerajaan dan Umno itu dua entiti yang berbeza.

Gesaan supaya parti itu mewujudkan sayap ulama pernah diutarakan sedikit waktu dahulu..dan baru-baru ini desakan yang hampir serupa telah ditimbulkan semula. Mungkin boleh Ketam guna pepatah ini, 'kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang'.

Ketam percaya, desakan tersebut wujud kerana hakikatnya ramai mungkin di kalangan agamawan dan ulama yang menyokong dan ingin menyumbang sesuatu kepada Umno yang melihat platform untuknya menyumbang itu seakannya tiada. Lihat PAS, 'permainan' mereka mewujudkan sayap ulama telah berjaya meyakinkan orang ramai kononnya mereka mengangkat martabat golongan tersebut. Walhal, ia tidak lebih dari sekadar kosmetik semata-mata.

Umno itu sendiri juga sebenarnya tidak kurang memiliki sokongan tokoh-tokoh agamawan yang hebat. Namun kebanyakan mereka ketika ini hanya terlibat dengan NGO semata-mata. Hakikatnya golongan agamawan ini tidak ramai yang menyerlah membawa nama Umno. Justeru timbullah salah anggap yang ia meminggirkan golongan agamawan seperti yang dimomokkan oleh PAS.

Oleh yang demikian, Ketam beranggapan Umno tidak lagi boleh membiarkan situasi ini berterusan. Tindakan segera wajar diambil di dalam membetulkan salah anggap tersebut. 

Ya mungkin saranan mewujudkan sayap ulama itu memerlukan masa untuk penelitian. Tapi menjelangnya Pemilihan Umno tidak lama lagi, alangkah bagusnya sekiranya kesemua personaliti-personaliti agamawan yang menyertai pemilihan ini berjaya terpilih menjawat jawatan di dalam parti itu. Ia sekaligus secara tidak langsung dapat untuk setidak-tidaknya memulihkan sedikit salah anggap yang dikatakan tadi dalam jangka pendek.

Untuk rekod, personaliti-personaliti agamawan yang menyertai pemilihan kali ini bukan calang-calang orangnya. Antaranya adalah Ustaz Dr Fathul Bari Mat Jahya, Pengerusi ILMU. Ulama muda ini pada pemilihan nanti bertanding untuk salah satu jawatan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Seorang lagi personaliti yang bakal bertanding adalah Ustazah Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Ketua Wanita Umno Bahagian Baling ini pada pemilihan nanti bertanding untuk jawatan Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia. 

Bicara soal dr Mashitah pula, Umno sebenarnya boleh dikatakan bertuah memiliki personaliti hebat ini. Ini kerana di saat-saat sektor agama ini dimonopoli oleh kaum lelaki, beliau masih lagi berjaya untuk menonjolkan dirinya. Ketam percaya, namanya dikenali di serata negara sebagai pakar motivasi yang hebat.

Justeru Ketam percaya kehadirannya di dalam barisan kepimpinan Umno bakal membuahkan manfaat terutamanya buat sayap wanita parti itu. 

Untuk itu, Ketam menyeru para perwakilan yang bakal memilih nanti agar dapat mengangkat wanita ini di dalam barisan kepimpinan parti. Jika wanita Umno benar-benar ingin mengukuhkan institusi kekeluargaan, amatlah pelik jika nama Dr Mashitah 'tertinggal' ketika pengumuman keputusan pemilihan nanti...

Adios!!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...