Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Friday, May 17, 2013

Tsu Koon Letak Jawatan Presiden Gerakan




Selain bintang bola sepak antarabangsa, David Beckham, yang ketika ini beraksi di Liga Perancis mengumumkan persaraannya daripada sukan tersebut, seorang lagi individu yang tak berapa nak terang sangat bintangnya ketika ini iaitu Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, semalam telah secara rasminya mengundurkan diri meletak jawatan sebagai Presiden Gerakan, satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Untuk rekod, Dr Koh telah menceburkan diri dalam arena politik Malaysia selama lebih daripada 30 tahun atau lebih tepat lagi sejak menyertai Gerakan pada tahun 1982 sebagai calon parti itu di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-6 yang menyaksikannya menang di kerusi Parlimen Tanjong selepas mengalahkan Chian Heng Kai @ Chin Soo Ha dari DAP dengan majoriti 834 undi.

Tahun berikutnya, 1983, beliau telah dilantik pula sebagai pengerusi kebangsaan Sayap Pemuda Gerakan pada hingga Jun 1990.

PRU 7 pada tahun 1986 menyaksikannya gagal untuk mempertahankan Parlimen Tanjung apabila tewas kepada Lim Kit Siang, veteran DAP kini, dengan majoriti 11,690 undi.

Kekalahannya itu bagaimanapun tidak menamatkan karier politiknya apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu bermula September 1986 hingga 1990.

Selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bunga pada PRU 9 pada Oktober 1990, Koh kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketiga.

Susulan pengumuman mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik untuk bersara sebagai Presiden Gerakan pada tahun 2007, Dr Koh telah diberikan amanah untuk memangku jawatan berkenaan. Tahun berikutnya beliau telah dipilih tanpa bertanding sebagai presiden untuk penggal 2008/2011.

Pada PRU 2008, Koh memutuskan untuk tidak bertanding bagi kerusi DUN, sebaliknya bertanding bagi kerusi parlimen Batu Kawan, bagaimanapun, beliau kalah kepada calon DAP, P. Ramasamy.

Beliau kemudian mengangkat sumpah sebagai Senator dan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi) dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.

Untuk PRU13, beliau telah awal-awal lagi mengumumkan hasratnya supaya tidak disenaraikan sebagai calon BN.

Justeru, peletakan jawatannya ini sememangnya telah dijangka apatahlagi apabila Gerakan hanya menang satu kerusi parlimen (Simpang Renggam, Johor) daripada 11 kerusi yang ditandingi pada PRU13, 5 Mei lepas.

Manakala untuk kerusi DUN pula, parti itu hanya memperoleh tiga kerusi iaitu Pemanis di Johor serta Tanjong Papat dan Elopura di Sabah daripada keseluruhan 31 kerusi yang ditandingi.

Pencapaian itu lebih buruk jika dibandingkan dengan rekod mereka pada PRU 2008 di mana parti itu menang dua kerusi parlimen dan empat kerusi DUN.

Susulan peletakan jawatannya itu, Datuk Chang Ko Youn yang sebelum ini merupakan timbalannya akan memangku tugas presiden sementara menunggu pemilihan parti pada 26 Oktober. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...