Siapa tidak kenal Datuk Seri Azalina Othman? Kelantangan beliau menjawab tohmahan-tohmahan dan fitnah-fitnah puak Pakatan Rakyat membuatkan dirinya digeruni. Tanyalah mana-mana pemimpin Pakatan, hatta 'Mak Lampir' (Zuraida Kamarudin) pun terhenti mengilai dek 'libasan maut' Azalina.
Kelantangannya itu bahkan membuatkan YB-YB Pakatan yang gemar menyampuk tatkala YB-YB di sebelah Barisan Nasional berucap, seakan-akan menikus tiap kali Azalina yang berucap. Jika ada yang cuba 'buat-buat berani' menyampuk, pasti bertakung air mata menyesal dengan cubaan yang dilakukan.
Begitulah kehebatan Azalina, ahli Parlimen Pengerang yang juga mantan Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia yang pertama. Beliau adalah di antara sejumlah kecil wakil rakyat BN di Dewan Rakyat yang masih ditakuti puak-puak pembangkang. Maka tidak keterlaluan sebenarnya jika Ketam menggelarkannya 'mawar berduri'.
Keputusan Azalina menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Wanita Umno itu disusuli pengumumannya untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Jika diukur dari segi kredibiliti dan reputasi yang ditonjolkan selama beliau bergiat dalam politik, Ketam yakin beliau sememangnya layak untuk diangkat sebagai salah seorang daripada MT Umno.
Jangan kita lupa yang sebelum ini beliau merupakan satu-satunya wanita yang menjadi Ketua Umno Bahagian iaitu di kawasan yang diwakilinya, Pengerang.
Dan selaku Ahli Parlimen Pengerang, konsistensinya di dalam memperjuangkan hak rakyat telah terbukti. Lihat sahaja bagaimana beliau bersendirian berhadapan dengan tohmahan serta fitnah puak pembangkang dalam isu projek RAPID.
Akibatnya puak pembangkang kecut perut dan terkedu ketika berbahas di Parlimen mengenai isu tersebut.
Alasannya yang tegas mempertahankan projek tersebut mudah, beliau mahu memastikan kebajikan rakyat di Pengerang terpelihara dan tidak ketinggalan dari arus pembangunan. Ia penting supaya sosio ekonomi warga Pengerang terus berkembang dengan terwujudnya lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan untuk anak muda di sana melalui projek RAPID itu.
Lantaran itu, mudah untuk kita faham mengapa beliau sudah tiga kali berturut-turut diangkat mewakili penduduk Pengerang di Dewan Rakyat. Terkini pada PRU-13, beliau menang dengan majoriti lebih 20 ribu undi.
Sedikit latar belakang mengenai Azalina, beliau mendapat pendidikan awal undang-undang di Universiti Malaya pada tahun 1988 sebelum melanjutkan pengajiannya di London School of Economics and Political Science di United Kingdom pada tahun 1990 dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Undang-undang.
Sebelum bergiat aktif dalam politik, beliau memulakan kerjaya sebagai Pembantu Undang-undang di Messr Raja Darryls & Loh. Setelah itu menjadi rakan kongsi di syarikat guaman Azalina Chan & Chia (1994) dan Messrs Skine (2001).
Mula berkhidmat sebagai Ketua Penaja Puteri Umno Malaysia pada April 2001 dan kemudiannya menjadi Ketua Puteri Umno yang pertama dilantik pada 1 November 2002 hingga 2004.
Pada tahun 2004, beliau dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan dan kemudiannya pada tahun 2008, dilantik pula sebagai Menteri Pelancongan.
Selain itu, ketokohannya turut diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ketika Forum Ekonomi Dunia, di Davos, Switzerland pada tahun 2003, beliau telah menerima anugerah 'Global Leader for Tomorrow'.
Dan sekiranya dunia mengiktiraf Azalina sebagai seorang tokoh masa hadapan, maka Ketam tak nampak mengapa para pemilih pada Pemilihan Umno tidak lama nanti tidak memilihnya menganggotai MT Umno.
Sesungguhnya Ketam percaya sekiranya Umno benar-benar ingin melaksanakan transformasi dan menarik sokongan generasi muda, maka tidak lain tidak bukan, Azalina adalah antara individu yang menepati citarasa anak muda.
Adios!!
No comments:
Post a Comment