Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Monday, August 26, 2013

Ops Cantas: Lebih 1,000 ditahan dalam seminggu



Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan lebih 1,000 individu, kebanyakannya gangster, sejak seminggu operasi untuk membendung aktiviti jenayah dan kekerasan dilancarkan.

Operasi itu yang dikenali sebagai 'Ops Cantas Khas' bertujuan membanteras penjenayah dan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata kira-kira 1,018 individu ditahan dalam serbuan di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Johor sejak 17 Ogos lalu.

"Kebanyakan mereka yang ditahan adalah ahli kumpulan Geng 36, Geng 08 dan Geng 04," katanya.

Menurut beliau, polis turut merampas 13 senjata api termasuk pistol, parang dan pisau serta menjumpai 36 kereta curi.

Jalil berkata orang ramai turut memberikan maklum balas positif dan maklumat penting sejak operasi itu dilancarkan.

"Kira-kira separuh berjaya ditahan hasil maklumat yang diberikan kepada kami. Kerjasama orang ramai banyak membantu sepanjang operasi terbabit.

"Walaupun banyak maklumat diterima, kami menyemaknya dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kesilapan ketika melakukan tangkapan," katanya.

Antara maklumat sama yang diterima adalah mengenai pengumpulan individu meragukan di sebuah rumah atau tempat awam tertentu.

Jalil berkata kira-kira 920 anggota polis ditugaskan di bawah operasi berkenaan untuk melakukan sekatan jalan raya dan memburu penjenayah dikehendaki.

Katanya, operasi yang dilakukan antara tengah malam dan 5 pagi setiap hari adalah untuk mengurangkan jenayah serius dan mencegah jenayah lain daripada berleluasa.

"Pada minggu lalu, kami melakukan pemeriksaan ke atas 50,245 orang dan 22,956 kereta kebanyakannya motosikal. Kami tidak akan menghentikan operasi itu sehingga kami berpuas hati dengan kadar penurunan jenayah bagi memastikan negara berada dalam keadaan selamat," katanya.

Ops Cantas Khas membabitkan pegawai dan anggota JSJ dari Bukit Aman, polis kontinjen negeri dan daerah berkaitan.

"Kami menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 untuk menahan suspek," katanya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...