Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Monday, July 01, 2013

Pertikai Kredibiliti Ketua Menteri, Shamsul Iskandar Cabar Idris Haron Berdebat




Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin hari ini mempersoalkan kredibiliti Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Idris Haron apabila didakwa gagal membangunkan negeri itu.

Malah, ketika ditemui Antarapos baru-baru ini, Shamsul mendakwa pentadbiran kerajaan negeri Melaka di bawah Idris seolah-olah bertindak berlandaskan emosi dalam membuat sesuatu keputusan sekali gus menyifatkan beliau sebagai ‘pembuli’ rakyat khususnya di kawasan yang tidak dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Menurut Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), ini jelas terbukti apabila Idris cuba untuk menutup salah satu kawasan pelancongan di negeri tersebut iaitu Jonker Walk.

Kata Shamsul, tindakan kerajaan negeri cuba menutup kawasan itu juga disifatkan sebagai tidak munasabah.


“Saya fikir soal penutupan Jonker Walk ini adalah satu tindakan yang tidak wajar. Dan tentunya ini adalah satu tindakan yang menghapuskan bukan sekadar peluang perniagaan untuk peniaga-peniaga kecil.

“Dan ia dianggap sebagai salah satu tempat pelancongan..dan Melaka ini dikenali sebagai negeri pelancongan. Jadi dengan penutupan itu tentunya akan menutup satu lagi legasi pelancongan di negeri Melaka ini.

“Saya tidak faham mengapa Ketua Menteri bersungguh-sungguh untuk menutup tempat itu. Apakah beliau ingin menjadikan itu sebagai salah satu daripada 100 hari pencapaian beliau sebagai Ketua Menteri, iaitu dengan menutup salah satu tempat pelancongan,” katanya kepada Antarapos.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan negeri menghormati pilihan rakyat melalui proses demokrasi.

“Ini adalah satu perkara yang tidak munasabah dan saya rasa ini zalim kepada peniaga-peniaga dan juga kepada rakyat di negeri Melaka dan juga peluang-peluang perniagaan serta pendapatan untuk rakyat Melaka.

“Kita jangan jadikan Melaka atau Malaysia ini politiknya seperti politik ala komunis. Kerana kita ada satu sistem dipanggil sistem demokrasi. Dan apabila rakyat buat pilihan untuk pilih mana-mana parti, jadi tidak wajarlah mereka dihukum kalau tidak mengundi kerajaan,” katanya lagi.

Selain itu, Shamsul berpendapat alasan yang diberikan kerajaan negeri berhubung isu tersebut menguatkan lagi persepsi di kalangan masyarakat yang menganggapnya sebagai satu tindakan politik.

“Dan alasan yang diberikan adalah satu alasan yang pada saya akan menyebabkan orang lagi marah dan tidak rasional iaitu selama 13 tahun Jonker Walk itu berada, tidak timbul isu kesesakan jalan raya.

“Pastilah apabila alasan-alasan yang tidak munasabah ini diberikan, maka orang akan membuat kesimpulan bahawa ini adalah satu tindakan politik.

“Jadi bila satu tindakan politik bermakna ianya seolah-olah dilihat satu hukuman ataupun dalam istilahnya, pembulian kepada mereka yang tidak memilih parti Umno dan BN,” ujar beliau.

Jelas Shamsul lagi, selain Jonker Walk, Taman Cempaka juga turut menjadi mangsa buli kerajaan negeri apabila terpaksa ditutup setelah lebih 13 tahun beroperasi ekoran mendapat arahan supaya berpindah ke tapak yang baru menjelang musim perayaan ini.

“Taman Cempaka merupakan satu lagi destinasi pelancongan terutamanya apabila musim perayaan.

“Kawasan itu memang dikenali sebagai tempat orang berkumpul selama 13 tahun yang lalu untuk peniaga-peniaga kecil ini mengembangkan perniagaan dengan mendapatkan sedikit keuntungan hasil daripada Hari Raya.

“Jadi saya fikir dengan pembekuan lesen untuk mereka berniaga di situ dan memindahkan ke satu tempat yang lain, itu juga satu bentuk (tindakan) yang boleh dilihat sebagai satu pembulian ataupun hukuman kepada pengundi di kawasan itu yang kebetulannya berada dalam kawasan Parlimen Bukit Katil,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai satu tindakan yang serius di mana kerajaan negeri seolah-olah sengaja mahu mewujudkan masalah di kedua-dua kawasan tersebut yang dimenangi Pakatan Rakyat ketika pilihanraya Mei lalu.

“Jadi sebagai ahli Parlimen Bukit Katil, saya anggap ini satu tindakan yang serius kerana sekarang ini seolah-olah diwujudkan masalah di dua-dua kawasan ini, pengundi di Bukit Katil dengan pengundi-pengundi di Kota Melaka..

“Tempat-tempat lain tidak ada masalah..,” ujar beliau.

Justeru itu, Shamsul mencabar Idris untuk berdebat ataupun mengadakan satu forum bagi membincangkan mengenainya.

“Saya cabar Ketua Menteri Melaka untuk jawab perkara-perkara ini..dan kalaupun dia perlu kepada satu perdebatan ataupun forum, saya bersedia untuk berdebat dengan beliau untuk kepentingan rakyat.

“Pada saya apa yang dibuat ini salah dan tidak satu pengarahan yang jelas,” tegas beliau.

Sumber

Video





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...