Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Tuesday, July 02, 2013

Batal kontrak pengendali AES, kata bekas MP




Bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mahu kerajaan membatalkan kontrak kepada syarikat yang menguruskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan bukannya membatalkan sistem berkenaan.

Ini kerana katanya, penganugerahan kontrak kepada syarikat-syarikat yang menguruskan sistem tersebut dilakukan melalui satu prosedur yang menimbulkan syak wasangka.

Menurut beliau, apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana kontrak itu boleh dianugerahkan sekitar tahun 2005 atau 2006 ketika Tan Sri Chan Kong Choy menjadi Menteri Pengangkutan sedangkan akta mengenainya hanya diluluskan di Parlimen pada Jun 2012.
 
"AES ini sepatutnya bukan dimansuhkan... tapi dikaji semula dari segi kontrak-kontrak yang diberi kepada beberapa syarikat.

"Mereka dipilih untuk kendalikan AES (pada) 2005 atau 2006, masa Tan Sri Chan Kong Choy Menteri Pengangkutan.

"Maksudnya adalah, (teknologi) sistem 2005, 2006 telah lama..kerana Akta Pengangkutan (diluluskan pada tahun) 2012, sudah enam tahun," ujar beliau yang adalah seorang peguam.

Tempoh enam tahun ujar beliau merupakan satu jangka masa yang amat panjang lebih-lebih lagi apabila melibatkan sesuatu sistem yang berlandaskan teknologi maklumat (IT).

Untuk itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sistem AES yang dilaksanakan kerajaan ketika ini sebenarnya sudah ketinggalan ataupun tidak boleh diguna pakai.

Justeru, beliau menggesa kerajaan supaya membatalkan kontrak yang telah dikeluarkan dan membuka satu tender baru secara terbuka supaya satu sistem yang terbaik dapat digunakan.

"Apa-apa sistem yang melibatkan IT, enam tahun amat lama dan kemungkinan besar adalah tak boleh pakai.

"Kerajaan perlu buat satu kajian baru untuk keluar tender baru supaya dapat sistem baru, yang terbaik," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Sehubungan dengan itu, saman-saman yang dikeluarkan melalui AES juga katanya perlu dibatalkan.

"Mengenai saman-saman yang telah dikeluarkan, ia juga perlu dibatalkan.

"Ia kerana kontrak (telah) diberi kepada syarikat tak ikut prosedur," jelasnya.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam memberitahu Dewan Rakyat bahawa saman AES masih berkuatkuasa dan pemandu perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan ke atas mereka.

Hishammuddin berkata saman itu perlu dibayar kerana notis yang dikeluarkan kepada pesalah adalah mengikut peruntukan undang-undang.

Sumber



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...