Peranan Umno dan rakan-rakannya iaitu MCA dan MIC dalam sejarah kemerdekaan negara tidak boleh disangkal. Muafakat di antara ketiga-tiga parti ini yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang berdedikasi serta komited di dalam perjuangan masing-masing adalah kunci yang membawa kepada kestabilan serta kekukuhan negara sehingga berjaya memacu Malaya, yang kini gah seantero dunia dengan nama Malaysia, menjadi sebuah negara yang disegani selain dicemburui terutamanya di kalangan tetangga.
Tapi itu jika disingkap kembali sejarah Malaysia tercinta ini. Kini, 2013, di era kita menuai hasil semaian berdekad-dekad lamanya oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, pemimpin-pemimpin yang dihormati serta disanjungi atas kewibawaan serta keprihatinan yang ditampilkan mereka, sayangnya komitmen serta kredibiliti pewaris-pewaris tampuk kepimpinan ketiga-tiga parti ini berada di tahap yang dipertikaikan oleh kebanyakan ahli masyarakat hari ini.
Untuk menilai generasi masa kini sebagai tidak mengenang budi, tidak bersyukur atau tidak menghargai apa yang dinikmati hari ini sebenarnya adalah sangat-sangat tidak adil. Ingin ditegaskan sekali lagi, sangat-sangat tidak adil untuk membuat penilaian sedemikian rupanya. Sebaliknya barang diingat, generasi yang ada hari ini adalah generasi yang menganalisa setiap perkara yang dilihat atau dirasai sendiri.
Justeru di sebalik penolakan yang berlaku terhadap parti-parti yang banyak berjasa (dan banyak mengungkit-ungkit) ini, adalah baiknya pemimpin-pemimpin parti banyak (ungkit) jasa ini bermuhasabah diri melihat semula sikap yang ditampilkan selama ini di sebalik (ungkitan-ungkitan) jasa-jasa yang begitu kerap menggetarkan gegendang telinga majoriti generasi baru sejak dari sekolah lagi.
Mudah saja untuk kata-kata budak hingusan/kencing bercabang macam Ketam ini dipersetankan oleh pemimpin-pemimpin parti gah banyak (ungkit) jasa. Tapi percayalah, sebagai individu yang tergolong dalam kelompok generasi baru dan selalu mendapat feedback dari rakan sama hingusan/kencing bercabang, gaya lagak (tidak semua) ala bangsawan, buat kerja/jasa tak seberapa tapi diwar-war (ungkit) satu semesta itulah punca kepada mengapa berlaku penolakan yang signifikan generasi Ketam ini terhadap BN (terutamanya MCA dan MIC) + (Bukan bermaksud Umno tidak, cuma kurang).
Sekadar budak hingusan/kencing bercabang mahu mencuba nasib menasihati pemimpin negaranya, kot-kot nasib baik artikel ini dapat dibaca mereka, Ketam (dan Ketam percaya majoriti rakan sebaya mempunyai tanggapan serupa) ingin menyarankan mana-mana pimpinan yang ada sekarang agar mencontohi sikap yang ditampilkan oleh pemimpin-pemimpin lama yang benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib rakyat.
Biarpun berat untuk dinyatakan, tapi hakikatnya tidak salah jika dikatakan barisan kepimpinan yang ada ketika ini baik di peringkat nasional mahupun negeri (tak kira mana negeri - *tak kira hang BN ka Pakatan) yang layak dilihat sebagai negarawan/patriot. Jujurnya generasi Ketam cuma melihat pemimpin yang ada cuma lebihnya berjuang untuk kepentingan sendiri baik yang sini atau yang sana. Jujurnya..Ini yang generasi Ketam rasa. *Ketam rasalah.. :p
Dan walaupun Ketam ini kategori hingusan/kencing bercabang, tapi tidak bermakna Ketam tidak kenal pemimpin-pemimpin lama negara. Adapun satu yang boleh direspek dan wajar dicontohi pemimpin kini yang ada ialah, betapa jika hati benar-benar ikhlas dan dedikasi di dalam berjasa, walau jasad sudah lama tiada tapi segala usaha tetap dirasa generasi muda.
Satu contoh pemimpin tulen yang layak digelar patriot ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba. Ketam beruntung kerana sempat mengenali serta mengikuti beliau secara dekat selain pernah mengikuti siri rapat umum Allahyarham sebelum faktor keuzuran sedikit membataskannya.
Paling lama berkhidmat sebagai ahli Parlimen dengan mewakili lapan kerusi Parlimen yang berbeza, beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tertua ketika mewakili DUN Tanjung Kling pada usia 76 tahun.
Dilahirkan pada 18 Februari, 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, inilah contoh negarawan yang patut dijadikan model ikutan pemimpin-pemimpin yang ada sekarang ini. Sepanjang hayatnya, beliau mendedikasikan dirinya untuk berkhidmat kepada negara dengan semangat yang tidak berbelah bahagi.
Ketam percaya, generasi yang lebih muda dari Ketam pastinya akan turut dapat terasa aura pemimpin kesayangan terutamanya rakyat Melaka ini sekiranya membaca sejarah hidup beliau.
Datang dari keluarga yang miskin, Ghafar tidak seperti sesetengah pemimpin Umno yang ada sekarang ini, yang mana kepentingan diri melebihi parti (contohnya jadi calon bebas apabila tidak terpilih menjadi calon pada PRU13 lalu), beliau sepanjang hayatnya tetap setia bersama Umno walaupun diuji seberat mana sekalipun termasuklah kena game dengan seorang tokoh penghasut perosak anak muda bernama Anwar Ibrahim.
Kesetiannya itu cukup untuk membuktikan bahawa beliau sememangnya tidak semata-mata menyertai Umno untuk mengambil kesempatan sebaliknya hidupnya adalah semata-mata didedikasikan untuk berkhidmat kepada rakyat walaupun tanpa jawatan! Inilah permata yang sukar untuk dicari ganti apatah lagi pada zaman sekarang ini. Amatlah beruntungnya rakyat negara ini atau sekurang-kurangnya ahli Umno sekiranya parti keramat orang Melayu itu mempunyai seorang dua lagi pemimpin yang benar-benar tulen berjiwa rakyat begini.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa veteran-veteran Umno yang masih ada hari ini juga tidak kurang berjiwa besar seperti Allahyarham Tun Ghafar. Sebaik-baiknya mana-mana pemimpin muda Umno yang ada ketika ini, juga MCA dan MIC, hargai kelompok veteran ini bukannya terus hanyut dengan kuasa yang ada sekarang kerana ingatlah sebagaimana jika anda abaikan veteran-veteran ini, begitu jugalah satu hari nanti bagaimana anda juga bakal diabaikan bahkan mungkin lebih sadis lagi berdasarkan kedudukan parti anda yang realitinya sedang goyah ketika ini.
Banyak nama yang boleh disebut antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Sabaruddin Chik, Tan Sri Zainuddin Maidin, Tan Sri Syed Hamid Albar, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ramai lagi.
Walaupun mungkin mereka tidak mempunyai pengalaman seperti Tun Ghafar yang terlibat secara langsung di dalam proses kemerdekaan negara, tetapi nama-nama tersebutlah yang meneruskan legasi generasi Allahyarham Tun Ghafar yang telah membawa negara ke arah apa yang dicapainya hari ini.
Adios!!
*Al-fatihah untuk ahli keluarga yang telah meninggalkan kita serta seluruh pemimpin-pemimpin negara tidak kira haluan mana juga perajurit-perajurit yang gugur mempertahankan negara sepanjang zaman...
No comments:
Post a Comment