Tiada pilihan selain tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mengeluarkan kenyataan biadap di media-media sosial tegas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.
Di dalam ucapannya pada majlis kunjungan pertama beliau ke Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) hari ini, Nazri menjelaskan ia sebagai langkah bagi mengelakkan perkara tersebut daripada menjadi budaya masyarakat di negara ini.
Mengingatkan kemajuan media sosial memberi kesan terhadap masyarakat dan budaya, justeru beliau menyatakan sokongan kuatnya terhadap sebarang tindakan yang diambil pihak berkuasa di dalam menanganinya.
"Kita akan beri sokongan yang kuat kepada pihak berkuasa memandangkan ia tidak boleh dibiarkan menjadi budaya masyarakat Malaysia," ujar Nazri.
Menurut beliau, sikap yang ditampil oleh generasi muda masa kini di dalam menguruskan laman Facebook masing-masing telah banyak menjejaskan nilai kebudayaan masyarakat di negara ini.
Rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa katanya kini sudah hilang nilai tersebut malah semakin biadap dan kurang ajar.
"Rakyat Malaysia terkenal berbudi bahasa..tapi (kini) tiada lagi sikap berbudi bahasa malah biadap, kurang ajar," tegas ahli Parlimen Padang Rengas ini.
Mengulas mengenai portfolio baru beliau, Nazri menyatakan keazamannya untuk memastikan mereka yang benar-benar pakar dan profesional mengenai budaya sahaja yang dilantik menduduki lembaga pengarah di mana-mana balai budaya yang ada setakat ini.
"Saya akan cuba untuk pastikan pelantikan lembaga pengarah di mana-mana balai budaya, saya mahu melihat individu yang benar-benar profesional sahaja duduk di dalam lembaga pengarahnya.
"Jadi Menteri ini saya bukan boleh lantik sesiapa yang saya suka. Jadi untuk memastikan apa yang saya lakukan berada di tahap memuaskan, saya akan melantik mereka yang ahli dalam bidang itu untuk duduk dalam lembaga berkenaan.
"Saya percaya (cadangan tersebut) dapat pastikan kita maju dalam kerja-kerja kita," katanya lagi.
Sumber
No comments:
Post a Comment