Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, May 23, 2013

‘Otai’ Warning DAP Jangan Politikkan SPAD!



Baru-baru ini Ketam ada terbaca artikel tentang Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong yang mencadangkan agar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang ketika ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dipindahkan ke Kementerian Pengangkutan.

Dan kesempatan bertemu dengan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar kelmarin, Ketam tak lepaskan peluang untuk meminta respon beliau berhubung gesaan itu. Respon yang diberikan amat mudah sekali untuk difahami. Dah kalau Ketam yang hingusan ni boleh faham, tak taulah kot-kot pemimpin DAP tak reti bahasa pulak dan akan terus mempolitikkan perkara ini.

Menurut Tan Sri Syed Hamid, beliau tak melihat perkara yang dibangkitkan Chin Tong itu sebagai satu isu. Ini memandangkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) suruhanjaya itu dinilai di bawah Kementerian Pengangkutan.

Dah kalau gitu, kenapa tak letak je bawah Kementerian Pengangkutan? Logik jugak persoalan tu. Tapi sedarkah kita yang selama ini sistem pengangkutan awam kita ini sering menjadi sasaran kritikan rakyat Malaysia terutamanya dari kalangan pemimpin parti pembangkang? Lantas sebagai langkah untuk menangani permasalahan dan kekurangan di dalam sistem pengangkutan awam di negara ini selain menyedari kepentingannya kepada rakyat, maka kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil inisiatif menubuhkan SPAD pada tahun 2010.

Seperti yang Ketam katakan tadi, kerajaan sedar akan kepentingan pengangkutan awam untuk jutaan rakyat Malaysia. Menyedari hakikat itulah Ketam percaya, Perdana Menteri benar-benar ikhlas mahu menangani sebarang isu berkaitannya termasuk menyedia dan menaiktaraf kemudahan sistem pengangkutan yang ada. Meletakkan SPAD di bawah pengawasan JPM itu menunjukkan keseriusan Perdana Menteri mengenainya.

Perkara ini dipersetujui oleh Tan Sri Syed Hamid yang berpendapat tujuan ia diletakkan di bawah JPM memandangkan fungsi suruhanjaya tersebut yang merentasi kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

“Tujuan spad diletakkan di bawah JPM dan menterinya adalah Perdana Menteri, oleh kerana fungsi kita merentasi kementerian dan agensi..dan orang yang mengawasi keseluruhan kementerian dan agensi adalah Perdana Menteri.

“Tapi kita bekerja rapat dengan Kementerian Pengangkutan pasal NKRA kita adalah NKRA kementerian pengangkutan. Jadi kita bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya yang bakal genap tiga tahun mengepalai SPAD 1 Jun ini.

Mengenai saranan DAP itu, Syed Hamid memberitahu yang beliau sedikit pelik mengapa parti itu tiba-tiba ‘sayang’ sangat dekat Kementerian Pengangkutan sedangkan selama ini mereka bukan main balun lagi kementerian itu.

Dan kepada pemimpin-pemimpin DAP, Syed Hamid menasihatkan mereka agar berhenti daripada terus mempolitikkan SPAD sambil mengingatkan mereka bahawa peranan dan tanggungjawab suruhanjaya itu merentasi politik.

Kalau ada apa-apa yang tak puas hati katanya, DAP boleh membangkitkan ketidakpuasan mereka mengikut saluran perundangan yang ada seperti mencadangkan agar ia dipinda.

“Pada saya kita hanya ikut undang-undang. Kalau dia nak undang-undang ditukar, dia kena bawa pindaan. Jangan politikkan SPAD.

“Kita punya tugas dan fungsi kita mengatasi politik. Tetapi kita kena bertanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah,” tegas beliau.

Ketam amat bersetuju dengan kenyataan Tan Sri itu. Betul jugak apa yang dia kata. Kalau asyik sibuk nak berpolitik je sampai bila-bila pun masalah berkaitan pengangkutan awam ni takkan selesai. Layan pembangkang yang tak pernah puas hati dengan apa juga usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk rakyat ini buang masa je.

Dan itulah yang ditunjukkan oleh Tan Sri Syed Hamid sepanjang tiga tahun menerajui SPAD. Walaupun ia seringkali menjadi sasaran kritikan dan serangan pemimpin pembangkang, namun Tan Sri Syed Hamid bersama team beliau di SPAD telah membuktikan keupayaan suruhanjaya itu di dalam meningkatkan taraf industri pengangkutan awam di negara kita.

Pelbagai inisiatif menaiktaraf mutu perkhidmatan pengangkutan awam telah diperkenalkan SPAD yang terbukti keberkesanannya. Yang lebih unik lagi adalah apabila setiap inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan itu tidak sekali pun meminggirkan penglibatan pihak yang terlibat secara langsung dengannya.

Justeru, seperti yang pernah Ketam nyatakan sebelum ini, Ketam percaya masa depan sistem pengangkutan awam di negara ini bakal cerah dengan kewujudan suruhanjaya seperti SPAD. Apatah lagi apabila ia diterajui oleh seseorang yang berwibawa seperti Tan Sri Syed Hamid dan ditambah pula dengan pasukannya yang dedikasi dan komited di dalam melaksanakan tanggungjawab berat yang diamanahkan kepada mereka.

Adios!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...