Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Tuesday, March 26, 2013

Lesen Teksi Individu 'Lebih Adil' Berbanding Hapus Syarikat Teksi






Untunglah pemandu-pemandu teksi di Malaysia ni..lepas satu, satu lagi ‘durian runtuh’ dinikmati mereka. Dah rezeki katakan..

Jika sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian tayar kepada mereka melalui TR1MA, baru-baru ini beliau umum pula pemberian 1000 lesen teksi individu di mana 200 pemandu teksi bertuah terpilih menjadi penerima pertamanya pada program 'Majlis Janji Ditepati - Pemberian Lesen Teksi Individu".

Berlokasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Najib di dalam ucapannya kepada ribuan pemandu teksi yang hadir pada hari tersebut memberitahu bahawa mereka berpeluang untuk menerima geran bernilai RM5,000 bagi pembelian kenderaan MPV Proton Exora untuk digunakan sebagai teksi seperti mana yang dinikmati kesemua 1000 individu pertama yang menerima lesen tersebut.
"Ini satu lagi komitmen kerajaan untuk memastikan pemandu teksi dapat menyediakan kenderaan yang sesuai bagi kemudahan dan keselesaan penumpang," katanya disambut oleh sorakan gembira para pemandu teksi yang hadir.

Dengan pemberian geran tersebut yang disalurkan melalui Yayasan Rakyat 1MDB, ia bererti bahawa pemandu-pemandu teksi akan berpeluang untuk memiliki Proton Exora dengan harga Cuma RM59,000 berbanding harga asalnya iaitu RM64,000.

Sementara itu Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar pula di dalam ucapannya menjelaskan bahawa lebih banyak lesen teksi individu akan dikeluarkan pada masa hadapan.

Justeru, beliau menyeru agar pemandu-pemandu teksi yang permohonan mereka masih belum diluluskan jangan terlebih dahulu berasa kecewa.

“Kerajaan sememangnya mahu lebih banyak lesen individu diberikan kepada pemandu-pemandu teksi dan berharap kepada mereka yang permohonannya belum diluluskan, agar tidak hampa.

“Seperti yang diumumkan, lebih banyak lesen teksi individu akan dikeluarkan selepas ini,” katanya.

Namun begitu ujar beliau, setiap individu yang memohon akan dinilai terlebih dahulu berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh pihaknya sebelum dianugerahkan lesen tersebut.

“Walaubagaimanapun, pemberian lesen teksi individu adalah berdasarkan merit dan kriteria-kriteria tertentu seperti rekod yang bebas jenayah, kesalahan trafik, rekod pemanduan baik dan telah memandu lebih lima tahun,” jelas beliau.

Nyata usaha yang dijalankan oleh kerajaan melalui SPAD ini lebih rasional jika dibandingkan dengan Pakatan Rakyat menerusi manifesto mereka yang diumumkan sebelum ini. Pakatan di dalam manifesto mereka antara lainnya mahu menghapuskan sistem permit teksi yang diberikan kepada syarikat teksi tertentu.

Permit teksi seperti yang dinyatakan di dalam manifesto tersebut, akan diberikan terus kepada pemandu teksi dengan tujuan melahirkan lebih ramai usahawan teksi.

Secara peribadi Ketam beranggapan cadangan Pakatan itu sedikit tidak rasional. Apakan tidak, menghapuskan terus syarikat teksi ini pada Ketam boleh diibaratkan seperti menutup periuk nasi pengusaha-pengusaha syarikat tersebut.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Tan Sri Syed Hamid di mana pada sidang medianya selepas majlis tersebut, beliau menyatakan bahawa cadangan Pakatan itu tidak sejajar dengan konsep ekonomi yang diamalkan di negara ini di mana kerajaan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menutup operasi sesebuah syarikat.

Menegaskan kerajaan sentiasa menitik beratkan soal keadilan sosial di dalam setiap keputusannya, justeru berbeza dengan pembangkang yang mengambil jalan mudah mahu menghapuskan syarikat teksi sepertimana yang dinyatakan, kerajaan kini menyediakan pilihan kepada pemandu-pemandu ini sama ada mahu bernaung di bawah syarikat ataupun memiliki lesen teksi sendiri.

“Kalau kita lihat kepada pembangkang punya cadangan, mereka kata mereka nak hapuskan syarikat (teksi)...mereka nak hapuskan syarikat, bagaimana mereka nak hapuskan? Kerana, persyarikatan di bawah sistem ekonomi negara, kita tidak boleh mengharta-negarakannya sesuka hati.

“Jadi syarikat-syarikat ini berhak untuk mengambil tindakan terhadap mereka jika mereka sesuka hati nak hapuskan. Jadi cara yang hendak dilakukan mesti betul...sebab itu kita mengambil sistem memberikan pilihan,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Untuk itu, bekas Menteri Dalam Negeri itu menyifatkan manifesto tersebut tidak lebih dari sekadar untuk memancing sokongan rakyat menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Mengingatkan rakyat supaya tidak lupa bahawa Pakatan mempunyai rekod tidak menunaikan janji-janji mereka, apa yang dinyatakan di dalam manifesto tersebut juga katanya sekadar meniru langkah-langkah yang sememangnya telah dilaksanakan kerajaan seperti keistimewaan kepada golongan kelainan upaya yang menggunakan pengangkutan awam.

“Pada saya, janji-janji mereka itu, mereka tahu bahawa mereka tidak akan mampu untuk melaksanakannya..ianya sekadar kaedah mereka untuk meraih undi. Dan mereka ada rekod untuk tidak melaksanakan janji-janji mereka..jangan lupa..

“Mereka meniru apa yang kita telah lakukan, tapi mereka tidak menyatakan bagaimana mereka mahu melaksanakannya,” ujar penyandang kerusi Parlimen Kota Tinggi itu.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...