Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, May 02, 2013

Berkhalwat selepas undi awal

Gambar Hiasan



Seorang penjawat awam wanita yang baru sahaja melaksanakan undi awal ditahan bersama pasangannya di salah sebuah hotel bajet sekitar daerah ini dalam  operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Wanita terbabit yang bekerja di utara tanah air merayu kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Daerah Batu Pahat supaya tidak ditahan dalam serbuan itu.
Dia memberi alasan bimbang untuk pulang sekali gus mendorongnya mendaftar masuk hotel bajet berkenaan bersama teman lelakinya.

“Kes ini akan melibatkan kerjaya saya. Tak bolehkah kita 'settle' tepi bang,” katanya.

Timbalan Penguatkuasa JAIJ Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, wanita berusia 20an itu didapati berada dalam keadaan yang mencurigakan bersama pasangannya.

Menurutnya, anggota dan pegawai penguatkuasa juga terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pasangan berkenaan membuka pintu bilik hotel bajet tersebut.

“Semasa pintu bilik berkenaan dibuka, kami menemui seorang lelaki hanya memakai tuala, manakala pasangannya memakai pakaian lengkap.

“Pemeriksaan lanjut  mendapati, mereka ini tidak mempunyai hubungan yang sah dan turut menyatakan baru sahaja berkenalan sekitar enam bulan lalu serta berhasrat untuk bernikah.

“Pada awalnya, pelbagai alasan diberikan pasangan itu terutama wanita terbabit kerana bimbang penahanan itu akan memberi kesan kepada kerjayanya sebagai penjawat awam,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, pasangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya kerana berada dalam keadaan berkurung di dalam bilik hotel dan melakukan perkara yang mencurigakan.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Pasangan berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut sebagai pengajaran kepada mereka.

“Semua pihak dinasihatkan tidak melakukan maksiat atau berada dalam keadaan mencurigakan bagi mengelak ditahan. JAIJ akan terus mengadakan lebih banyak serbuan dan pemeriksaan bagi memastikan daerah ini bebas daripada maksiat,” katanya.

Sumber






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...