Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Tuesday, February 12, 2013

Tun M: Melayu diingatkan kekalkan kuasa politik



SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan kaum Melayu betapa peri pentingnya untuk mengekalkan kuasa politik yang dimiliki selama ini.

Beliau berkata demikian pada program ‘Santai Bersama Y.A.Bhg Tun Dr. Mahathir Mohamad’ di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) baru-baru ini, dengan menjelaskan bahawa kedudukan Melayu di negara ini hanya boleh diperbaiki sekiranya kuasa politik kekal di tangan mereka.

Katanya, sebagai contoh Malaysia telah berusaha keras sejak negara mencapai kemerdekaan lagi pada tahun 1957 untuk mempertingkatkan kedudukan orang Melayu dengan berbekalkan ilmu pengetahuan agar mereka tidak lagi bergantung harap kepada kerajaan meskipun terpaksa menelan kos yang tinggi.
“Tujuan kita hendak kuasa politik ialah supaya kita dapat memperbaiki kedudukan kita.

“Sebab itulah apabila kita merdeka, maka kita berusaha membekalkan orang Melayu dengan ilmu pengetahuan. Perbelanjaan yang cukup banyak ditumpukan kepada perbekalan ilmu supaya orang Melayu tidak lagi bergantung kepada kerajaan,” katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan usaha-usaha yang dijalankan kerajaan setakat ini masih belum mencapai matlamatnya.

Meskipun mengakui terdapatnya orang Melayu yang berjaya di dalam perniagaan dan menjawat jawatan penting di dalam syarikat-syarikat korporat, namun menurut Dr Mahathir yang mentadbir negara ini selama 22 tahun, jumlah mereka masih lagi kecil berbanding kaum lain.

Justeru katanya, dengan memiliki kuasa politik jurang di kalangan masyarakat yang tidak seimbang ketika ini akan dapat diperbetulkan.

“Tetapi kita dapati kita tidak mencapai matlamat kita sepenuhnya. Sementara ramai juga yang dapat biasiswa, ilmu pelajaran, dapat pegang jawatan tinggi, bahkan dapat berniaga dengan jayanya. Tapi jumlah mereka sangat kecil.

“Sebab itu kita kena membantu mereka yang belum mempunyai kekuatan. Untuk itu, kita perlu berkuasa dalam bidang politik..politik memberi kuasa kepada kita untuk memperbetulkan jurang di dalam masyarakat kita..keadaan tidak seimbang dalam masyarakat kita,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan masyarakat Melayu di negara ini supaya tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Sebaliknya, beliau menggesa orang Melayu untuk lebih berdikari dan memajukan diri supaya ia akan lebih disegani oleh lain-lain kaum di negara ini.

“Orang yang kuat tak perlu pertolongan..sebaliknya orang yang lemah perlu mendapat bantuan. Jadi kalau kita nak tentukan nasib kita, kita boleh bergantung kepada bantuan yang mana kadang-kadang datang kadang-kadang tidak..

“Sebaliknya kalau kita perkuatkan diri kita, sampai orang pun takut tengok badan kita begitu tegap sekali, kita tak perlu kepada bantuan lagi,” katanya.

Dipetik dari Antarapos




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...