Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Wednesday, February 20, 2013

PAS masih mabuk dibuai umpan kuasa?




Zainal Salleh


[ULASAN] Mustahil pemimpin dan penyokong PAS tidak tahu dalam keadaan mana umat Islam digalak dan diizinkan untuk bekerjasama dan bergabung dengan orang bukan muslim untuk mencapai kesejahteraan bersama.

Mustahil juga bagi pemimpin dan penyokong PAS untuk tidak faham bila umat Islam diizin, malah dituntut untuk memisahkan diri dan melupuskan perjanjian dengan orang kafir, musyrik, munafik dan fasiq, akhirnya memerangi mereka.

Surah unik dalam Al-Quran (kerana tidak dimulakan dengan kalimah bismillahirahmanirrahim), At-Taubah atau Al-Baraah dengan tegas mengingatkan umat Islam hingga tahap mana kerjasama dan setiakawan dengan kafir, musyrikin, munafiq dan fasiq, boleh dijalin.
 “(Inilah pernyataan) pemutusan hubungan daripada Allah dan Rasul-Nya kepada orang-orang musyrik yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka).

Maka berjalanlah kamu (kaum musyrikin) di bumi selama empat bulan dan ketahuilah bahawa kamu tidak dapat melemahkan Allah dan sesungguhnya Allah menghinakan orang-orang kafir”. (surah At-Taubah ayat 1 dan 2).

Negara demokrasi-liberal di Malaysia

Sememangnya sahih arahan dan sunnah Rasulullah S.A.W. bahawa umat Islam boleh berkongsi wawasan untuk membina sebuah Negara-bangsa dengan penganut agama lain.

Maka jika itu dijadikan hujah untuk bekerjasama dengan DAP, sebuah parti yang mahu membina sebuah Negara demokrasi-liberal di Malaysia, ia adalah satu alasan yang halal.

Namun Allah dan Rasul-Nya, Muhammad S.A.W. juga menetapkan bahawa kerjasama dan perkongsian ini boleh dibatalkan dan patut dibatalkan jika bukan muslim berkenaan enggan memenuhi tanggungjawab mereka. Paling penting jika mereka berbaik dengan tujuan untuk melemah dan melondehkan kelemahan umat dan menconteng kemuliaan Islam.

Ambil contoh isu kalimah Allah. Lebih 50 tahun sejak negara merdeka umat Islam di Malaysia hidup rukun dan harmoni dengan bukan Muslim. Mereka menghormati adat resam, budaya dan pegangan agama umat Islam.

Namun mutakhir ini, apabila berasa ia sudah berdaya untuk menipiskan pegangan tauhid umat Islam seraya mengukuhkan persepsi bahawa negara ini lebih mirip sebuah negara secular daripada sebuah negara yang agamanya Islam, mereka mula menguji sensitiviti umat.

Tanpa alasan yang sahih mereka mahu menjadikan kalimah Allah, Tuhan mutlak bagi umat Islam, sebagai hanya satu perkataan biasa yang boleh diguna untuk menterjemahkan kaedah Tuhan yang selama ini mereka kenali sebagai Lord, God, Yahweh dan sebagainya.

Isu kalimah Allah sengaja dibangkitkan ketika umat Islam alpa dan terbuai dek drama politik

Hal ini dilakukan ketika umat Islam dilihat alpa dan terbuai oleh drama politik mahu menawan Putrajaya. Cabaran ini dibuat kerana mereka menilai ada orang Islam Melayu yang telah terlalu mabuk mahu berkuasa di bumi Malaysia. Yang lebih benar ialah mereka mahu orang Islam bangkit untuk menuntut perubahan pemerintahan. Namun yang tersiratnya ialah mereka mahu perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai jiwa negara diubah!

Atas nama mahu bergabung kekuatan menentang kezaliman, salah guna kuasa dan kronisme, mereka menusuk jarum untuk menguji keimanan ummah. Kali ini mereka menuntut “hak” sebagai warganegara Malaysia untuk menamakan Tuhan-tuhan mereka sebagai Allah. Mereka berasa galak kerana ada orang Melayu yang mengaku beragama Islam menyokong tuntutan mereka.

Bagi umat yang benar-benar beriman, kalimah Allah ialah nama khas yang dipilih oleh si Maha Pencipta untuk memperkenalkan zat-Nya. Bagi yang sudah mabuk kuasa dan hilang pertimbangan imannya, tuntutan itu tidak membawa apa-apa signifikan dan mengizinkan sahaja.

Lulus jarum lulus kelindan sehinggalah PAS yang mengaku sebuah gerakan politik Islam sedar akan ancaman ini dan Majlis Syura Ulamanya bertindak dengan menfatwakan kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh diterjemah untuk pengertian Tuhan-tuhan lain, lebih-lebih lagi dalam Bible bahasa Melayu.

Fatwa kalimah Allah tidak diterjemahkan ke dalam tindakan

Namun malangnya, fatwa ini tidak diterjemahkan ke dalam tindakan. Demi menjaga hati rakan seperjanjiannya, DAP dan PKR, parti orang Islam itu menggolekkan tanggungjawab melaksanakan fatwanya sendiri kepada musuhnya Umno-Barisan Nasional (BN).

Selepas fatwa 13 Januari 2013, PAS mahu Umno bertindak terhadap tuntutan kafirun DAP supaya kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible bahasa Melayu bagi menggambarkan Tuhan mereka yang tiga itu.

Jika itu bukan satu penghinaan terhadap kepercayaan Tauhid umat Islam apakah dia namanya? Islam agama lengkap. Sebab itu disyariatkan oleh Allah bila persefahaman, kerjasama dan kongsi kuasa boleh dibuat dengan umat bukan muslim. Allah juga menggariskan bila perjanjian ini wajib dibatalkan.

DAP kini cuba menekan umat Islam

Belumpun berkongsi kuasa mentadbir Malaysia, DAP kini cuba menekan umat Islam supaya mengizinkan Allah disama-ertikan dengan beberapa unsur lain yang diertikan sebagai Tuhan. Anehnya, PAS sekelumitpun tidak rasa tercabar bahawa tunggak iman umat Islam sedang diconteng dengan pelbagai imej Tuhan lain.


Baca selebihnya di Mychannel13.com



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...