Rasanya sudah berkali-kali Ketam nyatakan keyakinan dan kepercayaan Ketam bahawa sistem pengangkutan awam di negara ini sedang berada di landasan yang betul di dalam menjadi tunjang ke arah mengangkat taraf Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Dan setiap kali Ketam menyatakan sedemikian, ada saja insan-insan yang memandang remeh atau mempertikaikan. Tidak kurang juga yang memberikan respon sinikal. Mentaliti sebegini, Ketam percaya adalah gambaran kepada tanggapan kebanyakan rakyat di negara ini berhubung perkhidmatan ataupun industri pengangkutan awam negara.
Ibaratnya, tidak mengiktiraf segala usaha kerajaan untuk kebaikan negara itu sudah menjadi gaya hidup masyarakat Malaysia sekarang ini. Sudah jadi ‘trend’..’ikut-ikutan’..Mungkin seseorang itu akan dianggap sudah ketinggalan zaman atau tak ‘up to date’ kalau tidak mengamalkan ‘gaya hidup’ ini.
Ambil contoh pengangkutan awam, kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sentiasa memikirkan usaha mengangkat taraf perkhidmatan bidang ini yang selama ini dikritik hebat oleh pelbagai pihak. Inisiatif yang diambil pula meliputi pelbagai aspek di mana kita boleh melihat setakat ini berdasarkan program-program yang dilaksanakan SPAD, ia sedaya upaya cuba untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak yang tertinggal dari menikmati tranformasi yang dilaksanakan.
Tapi walau sekeras mana sekalipun usaha yang digerakkan, pasti akan tetap ada pihak yang tidak berpuas hati dan terus mengkritik termasuk individu-individu yang secara langsung terlibat dalam industri ini. Maklumlah, dah jadi gaya hidup.
Gambaran mengenai realiti ini boleh kita lihat seperti yang berlaku setelah SPAD melaksanakan Sistem Teksi 2-Tier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal bulan lalu. Di kala kebanyakan pemandu-pemandu teksi bandar mengalu-alukannya, ‘akhbar pojok nombor satu di Malaysia’ hanya berselera untuk melaporkan ketidakpuasan hati dua-tiga orang pemandu teksi yang mengeluh tak dapat penumpang sahaja. Apa tidak dilaporkan yang beratus-ratus pemandu lain dapat penumpang sekejap sahaja?
Di sebelah pemandu teksi yang mengadu pula, apakah tiada istilah bersyukur dalam diri itu sehinggakan gelap hati tak nampak apa inisiatif-inisiatif yang khusus untuk pemandu teksi yang telah dilaksanakan SPAD dalam tempoh tiga tahun ini? Dah macam-macam usaha dijalankan SPAD untuk membantu meringankan dan melicinkan urusan mencari rezeki pemandu-pemandu teksi di negara ini. Dan ramai yang bersyukur serta berterima kasih. Tapi yang seorang dua ini mungkin nak sampai ke tahap Tan Sri Syed Hamid Albar (Pengerusi SPAD) tolong carikan penumpang agaknya baru mereka puas hati. Ataupun mungkin mereka nak duduk goyang kaki di rumah sahaja, Tan Sri Syed Hamid yang pergi pandu teksi diorang, cari penumpang bagai..bulan-bulan dapat duit. Itu baru mereka puas kot.
Walaupun mungkin usaha-usaha yang dilaksanakan itu tidak diiktiraf oleh rakyat negara ini yang mungkin tahap piawaian ‘ISO’ mereka ‘terlampau ketat’, tapi komitmen suruhanjaya ini terhadap usaha meningkatkan mutu pengangkutan awam di Malaysia begitu dikagumi di peringkat antarabangsa. Siap diberikan pengiktirafan di atas komitmen-komitmennya dalam tiga tahun ini.
Baru-baru ini di Geneva, SPAD telah diangkat sebagai penerima Anugerah Komitmen Politik Asia Pasifik dari Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP) ketika kongres persatuan itu 29 Januari lalu.
Anugerah berprestij itu adalah sebagai pengiktirafan UITP terhadap usaha gigih SPAD merealisasi dan melaksanakan mercu tanda baru dalam projek-projek pengangkutan awam di Malaysia menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti MRT, perkhidmatan bas GO-KL di Pusat Perniagaan Bandar (CBD), sistem Teksi 2 Peringkat KLIA, Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) dan Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF).
Kejayaan ini Ketam percaya bakal dijadikan pemangkin oleh SPAD untuk terus mengusahakan lebih banyak inisiatif-inisiatif yang menguntungkan rakyat sambil tidak lupa untuk memastikan usaha-usaha yang sudah dijalankan benar-benar mencapai matlamatnya. Kalau inisiatif banyak sangat pun tak guna juga jika pelaksanaannya sekadar melepaskan batuk di tangga kan.
Ketam sangat yakin SPAD bukannya dahagakan anugerah ataupun pujian. Tapi kita yang melihat, menikmati, bahkan menerima faedah ini sekurang-kurangnya ‘mengakui’ usaha-usaha kerajaan melalui suruhanjaya ini. Tidak salah mengkritik, tapi biarlah krtikan yang berasas serta tidak menafikan kerja keras yang telah digerakkan. Dan lebih penting lagi yang perlu diperakui ialah, bagaimana pesatnya industri pengangkutan awam di negara ini membangun walaupun hakikatnya SPAD baru berusia tiga tahun. Bayangkanlah apa yang mampu lagi dilaksanakan suruhanjaya ini dalam tempoh tujuh tahun akan datang..2020!
Adios!
No comments:
Post a Comment