Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Raja Fitnah apabila mendakwa 500,000 undi awal anggota pasukan keselamatan dimanipulasi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana jumlah sebenar pengundi berdaftar untuk kategori itu, cuma kira-kira 230,000.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata Anwar melakukan pembohongan besar semata-mata untuk mengejar cita-cita peribadi bersama perasaan dendam, sehingga berterusan menjadikan suruhanjaya itu sebagai kambing hitam.
Beliau menegaskan, jumlah sebenar dalam daftar pemilih yang sah untuk proses pengundian awal pada 30 April lalu adalah kira-kira 230,000 membabitkan anggota pasukan keselamatan dan pasangan masing-masing.
"Macam mana dia (Anwar) tahu kononnya sehingga 95 peratus anggota tentera dan polis nak pergi mengundi dia... tidak masuk akal, adakah dia fikir anggota tentera dan polis tidak ada perasaan langsung dengan pelbagai isu berbangkit?
"Dia adalah raja fitnah. Biarlah undang-undang yang menangani segala kerenah Anwar ini. Orang yang banyak memfitnah dan melakukan pembohongan ini, insya-Allah Tuhan akan tunjuk," katanya kepada BH, semalam.
Anwar pada ceramah di Padang Kota, Georgetown, malam kelmarin, dilaporkan mendakwa 500,000 undi awal anggota pasukan keselamatan dimanipulasi pada PRU-13 untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dengan menuduh SPR terbabit dalam penipuan itu.
No comments:
Post a Comment