Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh memberi amaran kepadanya untuk berhenti dedahkan 'rahsia' parti membuktikan pendedahannya sebelum ini adalah benar.
"Apa maksud rahsia dalaman parti oleh Karpal? Adakah dengan ini, beliau mengaku semua pendedahan saya sebenarnya benar dan tidak seharusnya diceritakan kepada masyarakat umum? Mereka cuba 'menghancurkan' keamanan negara ini dan saya harus menutup mulut?
"Siapa Karpal untuk mengarahkan saya 'tunduk' kepada kemahuan beliau? Saya tidak sekali pun gerun dengan amaran ini, saman saya dengan segera pada bila-bila masa, saya tidak takut dengan ugutan kebudak-budakan seperti ini," katanya kepada akhbar Utusan Malaysia.
Tunku Aziz berkata demikian mengulas amaran Karpal kepadanya agar menghentikan segala cerita yang menjadi 'rahsia' dalam parti itu kepada umum.
Karpal yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata, beliau juga akan mengemukakan saman di mahkamah sekiranya Tunku Aziz tidak menghentikan perbuatan memburukkan DAP.
Tunku Aziz turut mengingatkan Karpal bahawa beliau tidak pernah menjual 'maruah dan suara hatinya' sehingga terpaksa tunduk kepada golongan hipokrit serta pentingkan diri dalam parti tersebut.
"Saya sertai DAP kerana terpedaya dengan retorik parti itu, dan kerana tidak tahan 'diperhambakan' serta diperbodohkan oleh orang-orang ini, saya telah keluar. Adakah Karpal, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang ingat saya boleh dibeli dan diugut seperti ini?
"Apakah maksud Karpal dengan menuduh saya mendedahkan rahsia parti? Andai rahsia itu membawa musibah kepada negara dan rakyat di negara ini, saya akan teruskan perjuangan saya. Saman saya beratus kali sekalipun, saya sedia hadapinya," ujarnya.
Sambung
No comments:
Post a Comment