Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Friday, May 10, 2013

K'jaan perpaduan alternatif terbaik pasca PRU13





Oleh Tumingan Suration

[ULASAN] Kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa penggantinya Datuk Seri Najib Razak adalah pemimpin paling layak menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu mempunyai asas yang kukuh.

Walaupun gagal mendapat majoriti dua pertiga dan hanya memperoleh undi popular sekitar 47 peratus, tetapi sistem pilihan raya negara ini memberikan beliau mandat yang agak selesa untuk memerintah selama lima tahun lagi.

Justeru, ini masa terbaik bagi Najib mempamerkan kemampuannya mentadbir negara dan menolak politik partisan. Beliau perlu membuktikan dirinya berkecuali dan tidak memihak jika ikhlas mahukan penyatuan nasional.

Najib juga mesti membebaskan dirinya daripada dipengaruhi seorang lagi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperlihatkan pendirian seolah-olah beliau adalah perdana menteri bayangan.

Jasa Mahathir tidak menikam Najib seperti apa yang dilakukannya kepada Abdullah pada PRU-12, 2008 amat dihargai tetapi sudah sampai masanya bagi Mahathir melepaskan cengkamannya ke atas politik negara, khususnya Umno.

Walaupun Mahathir pernah berkata pencapaian Najib lebih teruk berbanding Abdullah, namun hakikatnya anak bekas perdana menteri Tun Abdul Razak itu itu berjaya menerajui BN untuk menang di 133 kerusi sekalipun diasak hebat oleh pembangkang.

Najib perlu dibebaskan daripada pengaruh dan cara Mahathir yang seringkali menggunakan isu perkauman untuk memancing undi, termasuk menjadi penaung kumpulan pendesak Melayu, PERKASA.

Sebaliknya, usaha Najib untuk menyatukan penduduk berbilang kaum di negara ini melalui konsep 1Malaysia yang diterajuinya perlu diberi peluang tetapi dilakukan dengan beberapa penambahbaikan.

Tugas Najib bagi menyatukan negara semula bukan mudah.

Lebih-lebih lagi pada PRU-13 lalu, semua kerusi di ibu negeri dan kawasan sekitarnya, kecuali Perlis, jatuh ke tangan pembangkang. Selaku pengerusi BN, Najib semestinya sedar keputusan PRU-13 menunjukkan hampir separuh daripada pengundi menolak BN dan dasar-dasar negara.

Walaupun pembangkang hanya mendapat 89 kerusi Parlimen, namun sokongan rakyat terhadap mereka, khususnya di bandar dan pinggir bandar, adalah kukuh. Justeru, apa sahaja keputusan mahupun dasar yang bakal dibuat oleh kerajaan akan menerima kritikan dan bantahan rakyat.

Perpaduan memerlukan pengorbanan

Oleh itu, tidak keterlaluan jika Najib mempertimbangkan cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan dan berkongsi kuasa dengan pembangkang. Ini boleh dimulakan dengan Umno dan PAS duduk semeja dan membincangkan kepentingan agama Islam yang diperjuangkan oleh kedua-dua parti itu.

Selain dengan PAS, Najib juga harus mempertimbangkan kemungkinan membawa DAP yang mempunyai 38 kerusi menganggotai BN. Sebagai parti Cina yang terkuat, tanpa penyertaan DAP, kabinet Najib tidak akan kukuh. Jika DAP sudi menyertai BN, maka kerajaan perpaduan itu menjadi lebih mantap dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.

MCA dan GERAKAN yang kini hanya 'nyawa-nyawa ikan' tidak dapat dijadikan sandaran untuk memperkukuhkan penyatuan yang cuba dibawa oleh Najib itu.

Kerajaan perpaduan sebenarnya memerlukan pengorbanan dan tolak ansur serta saling persefahaman yang jitu oleh semua pihak. Oleh itu, ia tidak mudah dicapai. Namun dalam jangka masa panjang, ini membawa kebaikan kepada Malaysia, termasuk usaha mengurangkan defisit dan hutang negara yang dianggap kritikal, sekarang.


Sambung baca






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...