Oleh Abdul Rahman Malik
Hendak memuji biarlah bertempat. Usahlah terlalu pemurah dengan pujian jika itu hanya sekadar untuk menayangkan keakraban dan membelakangkan keikhlasan. Puji-pujian janganlah dijadikan modal politik demi mengaburi mata kawan dan lawan.
Gelagat seperti yang ditunjukkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini ketika cuba menyemarakkan semangat penyokong Pakatan Rakyat sebenarnya telah mencemar integritinya dan mempamerkan sikap kurang adilnya yang sering menghamburkan pujian tidak kena pada tempatnya.
"Saya orang Melayu Pulau Pinang, tapi saya bangga Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri saya. Sebab Guan Eng berusaha menunjukkan kepimpinan yang telus. Baru-baru ini beliau umumkan projek pembinaan rumah mampu milik hampir setengah bilion ringgit.
"Guan Eng contoh terbaik bagi Pakatan Rakyat. Guan Eng bukan sebarang Cina, beliau Cina DAP...yang digambarkan sebagai melampau," katanya.
Pujian Anwar tidak jujur
Ukuran DAP adalah bukan Cina biasa, jika menurut Anwar, adalah Cina yang sanggup mengumumkan projek perumahan mampu milik setengah bilion ringgit. Di situ nampak jelas kurang tepat dan kurang jujurnya pujian Anwar.
Bukankah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan suatu masa dahulu, Anwar juga memimpin menteri-menteri Cina yang bukan sahaja mengumumkan banyak projek untuk rakyat tetapi melaksanakannya dengan jaya projek hingga berbilion ringgit, termasuk projek perumahan mampu milik?
Apakah Cina MCA dan Gerakan (termasuk Jimmy Chua Jui Meng) ketika beliau memimpin Umno dan BN itu kurang baik berbanding Guan Eng?
Malah jika Anwar berlaku adil, ia sepatutnya menyesali tindakan Guan Eng melengah-lengahkan projek perumahan mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang sejak 2008 lagi.
Pengumuman Guan Eng hanya untuk mengaburi mata rakyat
Mengapa hampir tamat tempoh perkhidmatan kerajaan DAP Pulau Pinang baru Guan Eng baru hendak mengumumkan projek perumahan berkenaan?
Ini membuktikan sebenarnya Guan Eng tiada pun kecenderungan untuk melaksanakan projek berkenaan. Beliau hanya sanggup sekadar mengumumkan projek perumahan itu apabila menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Mustahil Anwar tidak mampu memahami bahawa pengumuman Guan Eng itu sama seperti apa yang selalu beliau tohmahkan terhadap Barisan Nasional (BN) yang kononnya memperkenalkan pelbagai projek meningkatkan mutu kebajikan pada rakyat, hanya di hujung penggal menjadi kerajaan.
Anwar tonjol sikap 'membodek'
Dalam konvensyen itu Anwar sebenarnya jelas menonjolkan sikap “membodek” rakan-rakan Pakatan Rakyat dengan harapan mereka tidak akan mempertikaikan kedudukannya sebagai pemimpin pakatan pembangkang itu.
Sikap yang sama ditunjukkan Anwar terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipujinya kerana meningkatkan rizab kerajaan negeri kepada RM2.6 bilion.
Sebagai bekas Menteri Kewangan, Anwar tentu dapat “mengaudit” watak, keikhlasan dan pekerti Khalid Ibrahim. Jika tidak mengapa beliau sendiri mengambil tindakan drastik melucutkan Khalid daripada jawatan Ketua Perhubungan PKR Selangor dan menggantikannya dengan Azmin Ali?
Sepatutnya Anwar perlu bertanya benarkah kerajaan Selangor pimpinan Khalid ada rizab RM2.6 bilion. Tentunya Anwar insaf bahawa jumlah pelaburan baru di Selangor semakin merosot sejak Khalid menjadi Menteri Besar.
Anwar juga perlu mengaudit kenyataan Khalid bahawa jika benar beliau berhasil meningkatkan rizab Selangor hingga RM2.6 bilion mengapakah penyenggaraan kemudahan awam di Selangor semakin merosot.
Mungkin Anwar terlalu sibuk berkempen ke seluruh pelosok negara sejak lima tahun kebelakangan ini sehingga beliau tidak sedar mutu jalan raya dan penyenggaraan parit serta tali air terlalu daif sehingga menyebabkan banyak kes banjir kilat di Selangor.
"Khalid Ibrahim merupakan tokoh korporat. Beliau mencipta rekod apabila dalam keadaan ekonomi Malaysia sakit tenat, Selangor mampu catat lebihan dana RM2.6 bilion," ujar Anwar.
Namun apalah maknanya rizab besar jika ternyata Khalid sering tidak bercakap benar. Apa sudah jadi dengan janji menjamin hendak meningkatkan pendapatan minimum RM1,200 sebulan bagi nelayan dan petani di Selangor?
Anwar membisu terhadap janji-janji Khalid
Anwar menuduh bahawa di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kerajaan BN akan mengumumkan banyak projek mega untuk melambangkan kesejahteraan rakyat tetapi Anwar membisu terhadap janji Khalid Ibrahim mahu melaksanakan projek RM10 bilion demi menjadikan Sungai Kelang sebagai satu sumber pekerjaan dan ekonomi baru! Sehingga hari ini langsung tiada riak di Sungai Klang bahawa projek itu akan dilaksanakan.
Meningkatkan rizab memang satu perkara baik. Namun adakah jumlah itu benar? Apa gunanya rizab besar tetapi apa yang telah diumumkan sebagai hak rakyat tidak disampaikan?
Mengapa hanya pada tahun kelima pemerintahannya baru Khalid mahu menyampaikan hak anak-anak tadika di Selangor mendapat bantuan RM50 sebulan? Itupun tidak semua yang menerimanya.
Mengapa tidak semua rakyat Selangor menikmati bekalan air percuma 20 meter padu sebulan? Mengapa hak ibu tunggal mendapat sara bulanan kerajaan Negeri juga tidak dilunaskan?
Adakah tabiat Khalid untuk berbohong?
Adakah tabiat Khalid untuk berbohong? Atau, adakah itu memang strategi berdalih yang diarahkan oleh Penasihat Ekonomi Selangor sendiri?
Anwar harus sedar tidak semua perkara harus dipolitikkan. Ahli dan pemimpin PKR pun faham hakikat ini. Mereka pun sudah lali dan maklum apabila Anwar puji melangit seseorang itu bermakna Anwar sedang mengatur langkah untuk menyahkannya daripada senarai “orang-orang kanannya”.
Baca selebihnya di sini
No comments:
Post a Comment