Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Friday, February 22, 2013

Pakatan tidak sepakat penuhi harapan rakyat



Oleh Yassin Salleh

[ULASAN] Tidak semua rakyat boleh dibeli dengan wang ringgit. Tidak semua rakyat boleh dicairkan oleh kata-kata fitnah dan gosip berkenaan skandal pemimpin serta tohmahan rasuah. Tidak semua rakyat boleh digugah emosi mereka dengan isu-isu yang membabitkan agama.

Namun majoriti rakyat mengimpikan keadaan hidup yang lebih damai, sejahtera dan makmur. Impian itu lumrah. Naluri manusia memang cenderung kepada hidup yang lebih rukun, sopan dan teratur.
Justeru apabila diberikan pilihan, rakyat lebih senang membuai harapan. Maka pada umumnya, rakyat mahu menjana harapan setiap kerajaan yang akan diberi mandat untuk memerintah Negara akan berusaha memelihara dan memekarkan harapan mereka menjadi kenyataan.

Persaingan negatif

Parti-parti politik yang bersedia memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 sedar dan insaf akan hakikat ini. Namun lazimnya dorongan ego dan congakan bahawa jika ia boleh menampilkan imej yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, rakyat makin teruja untuk menaruh keyakinan pada perjuangan parti mereka dan lantas memesongkan mereka dari realiti.

Demi mempotretkan imej yakin diri, ahli-ahli politik sering lupa diri – alpa menjaga kesopanan dan sikap memandang rendah terhadap daya pihak saingan politik mereka berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat semakin membuak.

Kedua-dua pihak baik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat cuba meraih sokongan rakyat dengan menayangkan kelemahan pihak saingan. Kempen mereka semakin negatif. Jika pihak lawan boleh digambarkan lemah peribadi, kurang daya fikir dan juga kemaruk kuasa, mereka menyangka peluang menang menjadi lebih besar.

Manifesto pilihanraya: Adakah Pakatan memahami impian dan harapan rakyat?

Setakat ini Barisan Nasional belum bersedia mengumumkan tema manifestonya. Mungkin kerana ia parti yang memerintah dan mempunyai keistimewaan menentukan bila pilihan raya umum akan diadakan maka ia nampaknya cuba berlengah-lengah melontarkan kepada rakyat apakah inti perjuangannya.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat nampaknya lebih tangkas mengatur strategi pilihanrayanya. Isnin hadapan ia akan mengadakan konvensyen khas di Shah Alam untuk melancarkan garis besar perjuangan dan janji pilihanrayanya.

Tema manifestonya 'Pakatan Harapan Rakyat' akan diarak sebagai slogan pilihanrayanya. Dengan teliti pemimpin-pemimpin pakatan berusia lebih empat tahun itu memilih perkataan “harapan” sebagai kesinambungan istilah “Harapan Baru” yang digunakan oleh PKR dalam PRU 2008.

Yang menjadi persoalan, adakah benar pakatan pembangkang ini memahami apakah impian dan harapan rakyat? Dan, yang lebih penting, apakah dalam tempoh lebih empat tahun kebelakangan ini, pakatan tiga parti – PAS, DAP, dan PKR tahu dan Berjaya menjalin kesepakatan untuk memenuhi harapan rakyat?

Perselisihan pandangan daripada kesefahaman Pakatan

Di penghujung kempen PRU ke-13 yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini, Pakatan Rakyat (PR) lebih banyak mempamerkan perselisihan pandangan daripada kesefahaman.

PKR dan DAP masih bertelagah dalam soal pembahagian kerusi yang akan ditandingi di Johor, Sabah dan juga Sarawak. PAS pula makin rimas diasak oleh DAP supaya bersikap lebih “liberal” dan mengetepikan “pantang larang” agama Islam supaya PR kelihatan bersatu hati.

PKR pula mula menunjukkan sikap jengkelnya terhadap PAS kerana sering berbalik kepada pemikiran agama “konservatif” dalam isu hudud, serta penggunaan nama Allah dalam bible. Paling pedih bagi PAS, PKR yang dipimpin oleh bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah tidak mengendahkan martabat Majlis Syura Ulamanya.

PAS sedia keluar Pakatan

Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang pula mula membayangkan bahawa beliau dan partinya sentiasa peka akan naluri dan sensitiviti umat. Rungutan bahawa perkongsian kudrat politik PAS dengan parti kafir DAP akan merugikan umat Islam dan Melayu, didengarinya.

Lantas, Haji Hadi memberi reaksi bahawa jika dakwaan itu ada kebenarannya beliau tidak akan teragak-agak untuk memimpin PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Malah ulama PAS semakin resah menunggu bila Hadi akan mengajak mereka merundingkan kemungkinan ini.

Sifir PAS mudah. Dalam kecamuk isu akidah dan kepentingan Melayu mungkin terhakis jika PAS berhasil menubuhkan kerajaan pusat bersama DAP, hanya PAS sahaja yang boleh menawarkan diri sebagai juara Melayu-Islam yang tulen. Ini kerana tidak semua Melayu boleh dibeli dengan wang ringgit.

Kempen teratur Asal Bukan Umno (ABU)

Kempen teratur Asal Bukan Umno (ABU) nampaknya banyak memamah rekod dan kewibawaan Umno. Lantas bagi rakyat yang hanya mengidamkan ketelusan dan kezuhudan para pemimpin politik, PAS lebih mudah meminang kepercayaan mereka. Ini kerana PAS tidak pernah berpeluang memerintah sebuah kerajaan pusat atau negeri yang majmuk di segi agama dan bangsa. Maka ia tiada rekod untuk dibandingkan dengan Umno yang semakin dipersoalkan kewibawaannya.


Baca selebihnya di portal berita Mychannel13





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...